Header Ads

Header ADS

Keputusan DNAA Riza dibuat lepas dapat taklimat DPP kata AG


Peguam Negara, Idrus Harun, berkata beliau memberi persetujuan untuk menerima tawaran anak Rosmah Mansor, Riza Shahriz Abdul Aziz, selepas mendapat taklimat daripada timbalan pendakwa raya (DPP) yang mengendalikan kes berkenaan.

Menjelaskan isu itu dalam satu kenyataan pagi ini, Idrus berkata, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, peguam negara terdahulu, Tommy Thomas, bersetuju secara prinsip untuk menerima representasi daripada Riza.

"Perkara ini telah dibentangkan kepada saya setelah saya dimaklumkan tentang pendirian terdahulu Tan Sri Thomas.

"Setelah ditaklimatkan oleh timbalan-timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perkara ini, saya bersependapat dengan pandangan mantan peguam negara sebagaimana yang telah ditaklimatkan kepada saya, dan telah bersetuju untuk menerima tawaran Riza tertakluk kepada pematuhan yang ketat terhadap semua terma dan syarat," katanya.

Menurut Idrus lagi semenjak pertuduhan difailkan di mahkamah, Riza mengemukakan beberapa representasi ke Jabatan Peguam Negara melalui peguam cara penerbit filem itu, Tetuan Scivetti & Associates.

Menjelaskan hal itu beliau menyenaraikan kronologi perkembangan kes berkenaan.

Katanya pada 18 Nov 2019, peguam cara Riza menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk memohon agar semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dikaji semula.

Surat representasi itu - antara lain - mencadangkan agar Riza menyerahkan haknya ke atas tiga hartanah yang disita oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan memberi kerjasama untuk mengembalikan harta-harta tersebut atau nilainya kepada kerajaan Malaysia.

Sedia beri pertimbangan

Hartanah tersebut adalah, seunit banglo di Beverly Hills, California; seunit pangsapuri di New York; dan seunit rumah bandar di London, United Kingdom.

Riza juga bersetuju agar wang yang dirampas daripadanya - dan menjadi hal perkara dalam satu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.

Selain itu Riza sedia membayar sejumlah kompaun selaras dengan peruntukan seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

"Saya telah dinasihatkan bahawa Thomas - setelah meneliti surat representasi itu melalui satu minit bertarikh 19 Nov 2019 - memohon pandangan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram, dan turut menyatakan berdasarkan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas, bersedia untuk memberi pertimbangan kepada representasi tersebut.

"Saya selanjutnya dinasihatkan bahawa Gopal - setelah berbincang dengan ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya - mencadangkan agar cadangan-cadangan yang dinyatakan di dalam representasi tersebut diterima oleh SPRM.

"Saya juga dinasihatkan bahawa Thomas telah secara prinsip bersetuju dengan cadangan tersebut," katanya.

Tommy Thomas

Isu berkenaan timbul selepas SPRM pada 14 Mei lalu mendakwa keputusan untuk memohon agar Riza dilepas tanpa dibebaskan mendapat persetujuan Thomas.

Thomas kemudian tampil menafikan dakwaan tersebut dan menganggapnya sebagai suatu pembohongan. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, kemudian dipetik sebagai berkata, beliau mempertahankan kenyataan berkenaan.

Riza adalalah anak tiri Najib Razak yang berdepan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB.

Hasil persetujuan yang dicapai itu, kerajaan dijangka menerima semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Ringankan beban bayar hutang 1MDB

Riza merupakan pengerusi syarikat Red Granite Pictures yang menghasilkan filem The Wolf of Wall Street dan mendapat sentuhan pengarah terkenal, Martin Scorsese, serta dibintangi ramai pelakon kelas A Hollywood.

Menurut Idrus pada 16 April lalu SPRM membalas surat peguam cara Riza yang secara asasnya menyatakan bahawa pendakwa raya bersedia untuk memohon perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) ke atas kelima-lima pertuduhan Riza.



Katanya ia tertakluk kepada langkah yang diambil Riza untuk memastikan semua wang dan harta yang disita dikembalikan kepada kerajaan Malaysia dan seterusnya membayar kompaun.

Pada 21 April pula katanya SPRM menulis kepada peguam cara Riza untuk mengarahkan tertuduh turut melepaskan hak, hak milik dan kepentingannya ke atas satu lagi aset, Metropolis Poster yang merupakan sekeping poster tiga helai berwarna litograf berbingkai ciptaan seorang pelukis Jerman bernama Heinz Schulz-Neudamm.

Poster berkenaan dihasilkan untuk filem senyap bertajuk Metropolis yang telah diterbitkan pada 1927.

Pada 13 Mei lalu, kata Idrus SPRM sekali lagi menulis kepada peguam cara Riza bagi mengarahkannya memindahkan sejumlah AS$14,087,072.76 - yang berada dalam satu akaun escrow di Huntington National Bank di AS - kepada Kerajaan Malaysia.

"Dengan perkiraan ini, kerajaan Malaysia dijangka akan menerima kembali kira-kira AS$108 juta (tertakluk kepada harga jualan sebenar aset-aset dan penolakan apa-apa kos) untuk dikreditkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.

"Ini adalah tambahan kepada AS$57,036,688.68 yang telah dilucut hak pada April 2019 daripada Red Granite iaitu syarikat yang dimiliki bersama oleh Riza yang dananya dapat dikesan berkaitan dengan 1MDB," katanya.

Menurut Idrus, perkiraan yang diambil itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan mendapatkan kembali aset-aset berkaitan 1MDB.

"Saya telah dimaklumkan bahawa rundingan dengan beberapa pihak pada tahun-tahun lalu - terutama berkaitan dengan aset yang berada di luar negara - dengan jayanya mendapatkan kembali serta pemulangan wang-wang yang akan meringankan beban kerajaan membayar hutang 1MDB.

"Rundingan tersebut adalah amat rumit, memerlukan kerjasama erat dengan pihak berkuasa di luar negara, dan masih berterusan," katanya.



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.