Header Ads

Header ADS

Siri 10 Memori Ustaz Hassan Shukri - Kasut Masuk Dalam


Ketika berlaku penyertaan beberapa pemimpin IRC (Islamic Representative Council) ke dalam PAS selepas Pilihan Raya Umum 2004, Ustaz Hassan bersembang dengan saya tentang kebimbangannya terhadap kegiatan beberapa tokoh IRC dalam PAS. Perubahan ini berlaku ekoran kekalahan Parti Keadilan Nasional (PKN, sekarang PKR) dalam pilihan raya tersebut. Sebelum itu, kebanyakkan mereka terlibat dalam PKN sejak 1999, setelah terlebih dahulu bergerak dalam Gerakan KeADILan Sosial (ADIL) pada era Reformasi pada 1998.

"Ustaz kenal ke dia orang semua tu," saya cuba mendapatkan kepastian.

"Lebih dari kenal. Dulu masa tahun '80-an, mereka dah pernah buat hal dalam PAS. Kamu semua masih budak-budak masa tu. Ana Setiausaha Agung PAS masa zaman Pak Yusof Rawa. Orang-orang IRC ni kita ajak mereka bersama dalam PAS untuk kembangkan fikrah Ikhwan di bawah Ustaz (Tuan Guru Haji Abdul) Hadi (Awang). Antara yang masuk PAS masa tu termasuklah Abu Urwah (Saari Sungib), Ustaz Alias (Othman), Mustafa Kadir, Fauzi Shafie. Lepas tu kita dapat kesan kegiatan sulit depa dalam PAS, sebab tu tahun '88 tu kita suruh dia pilih, nak PAS atau IRC.

"Macam mana bentuk pergerakan mereka tu, Ustaz?" saya terus memancing.

"Dia orang tu ada jamaah bawah tanah yang mengawal pergerakan mereka dalam badan-badan Islam termasuk PAS. Sebelum PAS, mereka pernah menyelusup dalam ABIM. Ana tak pikir mereka masuk PAS gitu saja sekarang ni," kata Ustaz Hassan yang ketika itu adalah Timbalan Presiden PAS.

"Ana tau benar style pergerakan IRC ni. Sebab tu dia orang boleh je masuk Umno, PKN dan macam-macam yang menjadi wujuhul jamaah mereka. Ana dah lama lalui pengalaman pergerakan seperti ni di Iraq dulu," Ustaz terus menyebut tentang ancaman dalaman yang dihadapi oleh PAS itu.

"Apa kaitan mereka dengan Iraq, Ustaz," saya terus bertanya.

"Masa Ana pergi ke Iraq tahun '64 dulu, Presiden Abdul Salam masih berkuasa. Dia orang Ikhwan. Lepas dia mati jatuh helikopter tahun '66 tu, puak-puak (Parti) Ba'ath semakin kuat. Mereka ni puak sosialis yang pro Soviet (Union). Mereka tekan gerakan Islam, terutama Ikhwan, dibunuh ulamak-ulamak. Sebab tu cara pergerakan Islam di Iraq berbeza. Ana ikut tarbiyah Ikhwan di Iraq. Kami lalui tekanan yang berat ni," Ustaz mula membawa kami menziarahi pengalaman tarbiyah di Iraq zaman 1960-an.

"Masa Ana sampai di Baghdad dulu, kami telah menubuhkan Persatuan Melayu Iraq. Kami yang 10 orang menjadi anggota, Ana jadi Setiausaha Agung. Anak-anak Melayu dari Pattani dan Singapura ikut sekali. Lepas tu kawan-kawan Indonesia juga. Persatuan kami berdaftar dengan kerajaan. Kami ada mesyuarat agung dan bergerak secara sah. Yang ni takde masalah.

"Dalam masa yang sama kami ikut tarbiyah Ikhwan. Dr Abdul Karim Zaidan tu pensyarah di jabatan kami. Dia pernah jadi Ketua Jabatan Diiniah di Fakulti Adab. Oleh kerana kami masuk ke Iraq melalui Pak Yusof Rawa, jadi kami disusun untuk ikut tarbiyah Ikhwan. Tapi kami bergerak secara senyap-senyap sebab kami ditaja oleh Kerajaan Iraq, lagi pula puak-puak Gamal Nasser tengah memberi tekanan kepada Ikhwan di Mesir. Gamal Nasser sama fikrah dengan Parti Ba'ath," terang Ustaz kepada saya. Perbualan kami turut disertai oleh beberapa kawan lain kemudiannya.

"Sape murabbi Ustaz masa tu," saya bertanya lagi.

"Ada beberapa ulamak Ikhwan. Dr Karim Zaidan tu kira Muraqib Am. Antara murabbi yang lain ialah Sheikh Muhammad Mahmud Sowwaf dan Sheikh Abdul Aziz Badri. Masa tekanan tengah kuat selepas tahun '66 tu, seorang murabbi kami, Sheikh Abdul Mun'im Soleh Ali telah diugut bunuh. Dia lari dengan berjalan kaki melintasi sempadan Iraq. Masuk ke Kuwait. Dari Kuwait, di naik flight ke London. Ramai pemimpin Ikhwan ditangkap, diseksa, dipenjara dan dibunuh.

"Pada era ini, pergerakan tarbiyah sangat mencabar. Kami terpaksa adakah kegiatan secara senyap-senyap, bersembunyi. Musuh Ikhwan banyak. Kami sangat menjaga rahsia pergerakan. Kadang-kadang kami terpaksa buat program jauh dari bandar. Kadang-kadang kami naik kereta bersama dan berusrah dalam kereta saja.

"Antara pengalaman Ana yang menarik, pernah satu kali, kami tidak diberitahu lokasi perjumpaan. Kami hanya diarahkan naik kereta sahaja. Selepas jauh bergerak, kami bertukar kereta. Last sekali kami turun kereta dan berusrah di rumah sebelah rumah kami. Begitulah mereka menjaga kerahsiaan.

"Bila kami berkumpul, sama ada berusrah atau untuk mendengar pengisian dari murabbi kami, bila sampai di tempat program, kami diarahkan supaya semua orang bawa kasut masuk dalam. Jadi kasut letak dalam rumah, pintu kunci. Kami kena tepati masa, nanti tak dapat masuk. Bila program dah mula dalam rumah, macam takde apa-apa berlaku, sebab kasut semua masuk dalam rumah. Takde tanda-tanda ada perhimpunan," Ustaz mula bercerita detail tentang cara-cara mereka menjaga kerahsiaan.

Ustaz sebenarnya sangat prihatin terhadap kerahsiaan jemaah. Beliau agak kesal dengan sikap ahli-ahli PAS yang terlalu terbuka. "Semua nak cerita kat orang, kenapa?" rungut Ustaz bila melihat ada program dalaman parti dibuat live oleh sesetengah pemuda ketika itu. Satu hari, dalam tahun 2009, saya tunjukkan kepada Ustaz satu laporan perisikan British yang baru direlease oleh Arkib British. Ia mengandungi butir-butir mesyuarat Umno di Pulau Pinang tahun 1948. Kata Ustaz, "Kalau tahun '50-an pun risikan musuh begitu cekap, zaman teknologi ni kalau kita tidak berhati-hati, bocor semua rahsia kita," kata Ustaz sambil menceritakan bagaimana Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang dahulu diintip oleh musuh.

"Macam mana pula kaitan kisah Ikhwan di Iraq dengan cara pergerakan IRC," saya membawa semula Ustaz kepada perbincangan asal tadi.

"Sheikh Soleh Ali yang lari ke Kuwait dengan berjalan kaki tu, dia pergi ke England. Sheikh Soleh Ali ni naqib Ana. Ana kenal sangat dia. Dia berjalan kaki merentas padang pasir tu supaya perisikan Iraq tidak dapat kesan dia, dan dia boleh lolos ke Kuwait tanpa melalui imigresen. Lepas tu dia terbang ke London. Kerana sangat menjaga rahsia, Sheikh Soleh Ali selalu guna nama samaran, Abu Ammar.

"Beberapa tahun lepas dia sampai di London, berlaku 13 Mei (1969) di negara kita. Kerana DEB (Dasar Ekonomi Baru), kerajaan hantar pelajar kita ke England. Ada satu kumpulan pelajar kita ikut tarbiyah dengan Sheikh Soleh Ali. Group ni lah yang dikenali sebagai IRC. Geng Khalid Samad ikut tarbiyah Jamaat Islami, orang panggil Suara (Islam).

"Pendekatan Abu Ammar Soleh Ali ini adalah secara bawah tanah, kerana pengalaman dia bergerak di Iraq. Tekanan sangat kuat. Semua kegiatan dibuat secara rahsia, underground. Hanya orang tertentu sahaja yang tahu sape pemimpin sebenar jemaah. Ni betul-betul model Iraq. Nama-nama mereka juga... tidak guna nama sebenar," jelas Ustaz lagi. Kami mulai faham apa yang Ustaz maksudkan.

"Patutlah geng IRC semua guna nama 'Abu.' Abu Urwah, Abu Iman, Abu Aiman," jampuk seorang sahabat. "Mereka terikut pendekatan Iraq rupanya."

"Cara mereka bergerak dengan jemaah bawah tanah, yang dipanggil IRC atau Majlis Syura tu pun cara Iraq. Sedangkan suasana dakwah di negara kita berbeza. Walaupun Umno banyak juga menekan, tetapi kita masih boleh bergerak. Masih boleh masuk pilihan raya, boleh buat surat khabar, ceramah, program di masjid surau ada. Di Iraq langsung tidak boleh. Ulamak ditangkap, dibunuh," Ustaz mula menolak pendekatan dakwah bersembunyi IRC yang dianggap tidak kena dengan waqi' Malaysia.

"Mereka pun pernah menyelusup dalam ABIM dan PAS, lepas tu UMNO. Hari tu sokong Anwar, sekarang patah balik balik kepada PAS. Mereka cuba jadikan kita ni sebagai alat pergerakan mereka. Ana rasa mereka nak menguasai dan membuat kacau dalam PAS. Kalau enta panjang umur, enta boleh tengok kerja buat mereka untuk rosakkan PAS," Ustaz mula membuat unjuran terhadap masa depan PAS ekoran kemasukkan orang-orang IRC pada 2004 itu.

"Semua kegiatan IRC ni kira-kira dalam poket Ustaz lah. Patutlah orang IRC cukup marah dengan Ustaz," ulas seorang kawan lagi. Dia merujuk kepada usaha beberapa pemimpin PAS Selangor yang berlatar belakang IRC yang turun naik Taman Melewar pada 2003 untuk menyekat Ustaz dari dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor. Pada tahun 2003 itu, Datuk Dr Hassan Mohd Ali dilantik menggantikan Ustaz.

Sampai hari ini saya masih memikirkan kaitan cerita-cerita Ustaz ini dengan peristiwa yang berlaku di Kuala Selangor pada 2015 sehingga melahirkan PAN, lima tahun selepas Ustaz pergi meninggalkan kita semua.

Semoga Allah mengampunkan Ustaz. Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Mohd Fadli Ghani
MR :  Kesian Ustaz Hassan menjadi mangsa geng Ikram (IRC)/G18 dalam Muktamar PAS dengan menggunakan Ustaz Nasruddin Mat Isa sebelum dia pula dijatuhkan oleh geng Ikram. Penulis Dr. Fadli pula kesian juga dituduh sebagai blogger Batuapi@Firestone


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.