Header Ads

Header ADS

SOP solat Jumaat, solat berjemaah diketahui Khamis ini


TAPAH - Prosedur operasi standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di Masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka diketahui Khamis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, garis panduan itu akan dibincangkan dan diperhalusi dalam satu mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.

“Hari ini saya nak bincang, jadi esok masuk mesyuarat Kabinet,” katanya pada sidang akhbar Program Inspirasi Musaadah Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Dewan Budiman, Kompleks Penjara Tapah di sini hari ini.

Dr Zulkifli berkata, pandangan berkenaan kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa negara.

“Itulah prosedur kita lakukan dan kita sentiasa mengambil cakna terhadap apa yang disarankan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara untuk SOP yang akan kita bina, insya-ALLAH,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan Perlis membenarkan Solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini, Dr Zulkifli berkata, perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing.

Sementara itu, mengenai solat Hari Raya Aidilfitri beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang mengenai perkara itu secara khusus dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, sehingga kini YaPEIM telah membelanjakan RM1.75 juta daripada Tabung Amanah YaPEIM yang memberi manfaat kepada 76,976 penerima di 365 lokasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga hari ini.

Ia diberikan melalui program Foodbank YaPEIM 2.0 #MUSAADAHCOVID19 dan program Inspirasi Musaadah Ramadan termasuk program Beli dan Sumbang.

"Hari ini seramai 650 keluarga yang dikenal pasti akan menerima sumbangan barang keperluan asas dengan peruntukan RM32,500.

“Sumbangan itu akan diagihkan oleh pihak-pihak yang dikenal pasti seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa agensi kerajaan lain bagi menampung keperluan harian keluarga dan meringankan beban,” katanya.

Terdahulu, Dr Zulkifli turut menghadiri program Ziarah Sahabat Penjara dan Bantuan Musaadah Covid-19 di penjara berkenaan.

Sementara itu di Kuantan, kerajaan Pahang akan membentangkan cadangan SOP bagi membenarkan solat Jumaat berjemaah sepanjang PKPB dengan SOP itu diteliti Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Mufti Pahang.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kesihatan dan keselamatan jemaah menjadi keutamaan dalam perancangan SOP itu supaya tidak berlaku penularan baharu wabak Covid-19.

“Antara lain SOP itu akan mengehadkan jumlah jemaah terdiri daripada mereka yang kurang berisiko. Kita juga bercadang mahu mewajibkan pendaftaran jemaah kerana tidak mahu jemaah yang berisiko seperti warga emas yang uzur dan kanak-kanak turut serta dalam solat,” katanya.

Syed Ibrahim berkata, antara SOP lain yang difikirkan perlu jika solat Jumaat dibenarkan adalah mewajibkan membawa sejadah sendiri dan menggunakan topeng muka.

Cadangan tatacara SOP itu akan dibentang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), untuk menilai kesesuaian pelaksanaannya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan besar kebenaran itu akan diberikan secara berperingkat kepada beberapa masjid terpilih, daripada keseluruhan 650 masjid di negeri ini untuk melihat keberkesanan SOP tersebut terlebih dahulu.

Pahang sebelum ini menangguhkan sepenuhnya aktiviti masjid termasuk solat Jumaat sejak pelaksanaan PKP berkuatkuasa pada 18 Mac lalu sebagai membendung penularan wabak Covid-19. - Bernama




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.