Header Ads

ads header

Flash News

Prinsip perjuangan politik Islam yang malar hijau (evergreen)


Prinsip perjuangan politik Islam yang malar hijau (evergreen), walaupun kerajaan silih berganti:

1. Tujuan politik dalam Islam ialah untuk menjaga agama dan mentadbir dunia berpandukan agama.

2. Islam bukan sekadar agama peribadi. Islam agama yang syumul, merangkumi seluruh cabang kehidupan. Islam adalah agama negara dan negara mestilah beragama Islam. Agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai tanpa provokasi terhadap agama negara daripada anasir yang cuba menggugat keharmonian.

3. Mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama negara dan negeri, sebagai asas ke arah mendaulatkan Islam sebagai rujukan tertinggi falsafah dan perundangan negara satu masa nanti.

4. Tidak halal penyertaan muslim dalam sistem demokrasi yang diamalkan kini kecuali dalam kerangka noktah nombor tiga di atas sebagai matlamat yang besar.

5. Di Malaysia, hegemoni orang Melayu (politik, ekonomi, undang-undang, pendidikan, budaya, sejarah, identiti, bahasa, tulisan, seni dan lain-lain) adalah unsur tonggak dan terpenting dalam binaan Islam bernegara. Islam individu tiangnya solat fardhu, manakala Islam bernegara di Malaysia ini tiangnya ialah hegemoni orang Melayu yang berpaksikan Islam.

6. Oleh sebab itu, Islam tidak akan tertegak melalui sistem pilihanraya yang menukar kerajaan semata-mata. Kerja-kerja membina hegemoni sebuah bangsa beragama dan bertamadun lebih besar skopnya berbanding kerja-kerja memenangi pilihanraya. Pilihanraya boleh jadi alat yang membantu dan boleh juga jadi alat yang meruntuhkan cita-cita Islam itu, bergantung pada misi penggunanya.

7. Perpaduan dan kesepakatan umat Islam di Malaysia mestilah bermula pada titik utama dan dasar syariat. al-Quran dan as-Sunnah mesti dirujuk dan diguna pakai keseluruhannya, bukan secara selektif dan terpisah-pisah demi kepentingan puak. Kedua-duanya mesti dirujuk menurut disiplin (manhaj) ilmu yang berkaitan, oleh mereka yang berkelayakan, secara kolektif.

8. Hubungan akidah Islam jauh lebih mulia dan utama berbanding hubungan politik kepartian. Wala' sesama muslim yang sabit dalam terlalu banyak ayat yang muhkamat adalah satu perkara yang suci, tidak boleh sewenang-wenangnya dilanggar. Hubungan suci ini adalah prasyarat bagi binaan agama bernegara dalam noktah nombor lima di atas. Oleh sebab itu, memandang remeh isu ini atas alasan kepentingan politik kepartian adalah juga sikap sambil lewa seseorang terhadap agama. Ia petanda yang membezakan muslim yang komited / multazim dan muslim yang liberal / longgar pegangan agamanya.

9. Orang yang telah terbukti bersalah dalam isu berkaitan kepentingan awam, seperti salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah, berbohong, memberi persaksian dusta, qazaf, juga orang yang telah berterus terang mendokong dan memperjuangkan ideologi yang bertentangan Islam seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme agama dan sebagainya, tidak boleh diangkat sebagai pemimpin.

 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan