Header Ads

Header ADS

Menjelang sidang parlimen, 3 blok politik adakan 4 perjumpaan berasingan


Ahli-ahli parlimen yang dikaitkan dengan tiga blok politik utama negara mengadakan mesyuarat berasingan hari ini sebagai persiapan persidangan Dewan Rakyat esok.

Persidangan esok merupakan persidangan penuh pertama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pusat pada Mac susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan wakil-wakil rakyat dari PH meninggalkan gabungan mereka dan beralih sokongan.

Walaupun mesyuarat pra-parlimen adalah sesuatu yang biasa bagi kebanyakan parti politik, perjumpaan hari ini sangat penting untuk menjangkakan situasi persidangan esok.

Sejumlah usul dari kerajaan dan pembangkang telah diajukan ke Dewan Rakyat untuk menentukan sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti atau tidak.

Namun usul itu dijangka tidak akan dibentangkan esok kerana ia berada di bahagian bawah senarai Aturan Mesyuarat.

Usul utama yang antara terawal akan dibentangkan esok adalah usul Muhyiddin untuk menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai speaker dan timbalan speaker.

Kedua-dua jawatan itu dilantik ketika pemerintahan PH.

Namun, usul untuk menentukan nasib Mohamad Ariff dan Nga juga dapat memberi gambaran nasib Muhyiddin, kerana ia dilihat sebagai kayu ukur sokongan terhadap perdana menteri itu.

Sekiranya Muhyiddin gagal mendapatkan sokongan yang cukup dari ahli parlimen untuk menyingkirkan Mohamad Ariff dan Nga, ia sekali gus menggambarkan beliau masih belum mempunyai sokongan yang cukup di Dewan Rakyat.

Sebaliknya, jika Muhyiddin berjaya mendapatkan sokongan yang cukup untuk usul itu, beliau akan berada di landasan yang lebih kukuh untuk mempertahankan jawatan perdana menteri.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh Malaysiakini, sekurang-kurangnya empat mesyuarat diadakan oleh ketiga-tiga blok politik hari ini, iaitu PN, PH dan kumpulan ketiga yang terdiri daripada pemimpin Warisan serta bekas ahli Bersatu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad.

Sumber parti memberitahu Malaysiakini bahawa BN, yang merupakan sebahagian daripada gabungan PN, bertemu di Pusat Dagangan Dunia Putra pada pukul 11 pagi hari ini di mana parti komponen yang terdiri daripada Umno MCA, MIC dan PBRS bertemu selama kira-kira tiga jam.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini merupakan pengerusi lembaga penasihat BN.

Mesyuarat BN berakhir kira-kira pukul 1 tengah hari. Setelah itu mereka menuju ke bangunan Puspanitapuri di Putrajaya untuk bergabung dengan ahli parlimen PN lain dari PAS, Bersatu, GPS, PBS, STAR dan bekas kumpulan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Mengikut jadual perjumpaan PN yang dilihat oleh Malaysiakini, perjumpaan itu bermula pada jam 3 petang dengan ucapan dari Muhyiddin dan Azmin.

Wartawan tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan dan diminta menunggu di luar.

Antara wakil rakyat yang dilihat hadir termasuk Najib (Ahli Parlimen Pekan), Menteri Pertahanan Ismail Sabri (Bera), Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan (Pontian) dan Ahli Parlimen PAS Jerai Sabri Azit.

Mesyuarat dijadualkan berlangsung selama dua jam, iaitu hingga 5 petang.

Mesyuarat blok pembangkang dengan Anwar

Di pihak pembangkang pula, Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH, menjemput semua blok pembangkang termasuk kumpulan Mahathir untuk mengadakan mesyuarat.

Mesyuarat bermula pada pukul 3 petang tadi di sebuah hotel di Subang Jaya.

Ahli Parlimen PH termasuk Anwar dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Pandan, kelihatan tiba di hotel kira-kira jam 2.45 petang.

Sumber pembangkang memberitahu Malaysiakini bahawa kumpulan ahli parlimen yang diketuai Mahathir yang turut diundang tidak turut serta dalam mesyuarat itu.

Walaupun blok PH dan Mahathir bekerjasama dalam menentang PN yang diterajui Muhyiddin, mereka masih belum berdamai mengenai isu calon yang harus menjadi pemimpin utama keseluruhan blok pembangkang dan seterusnya menjadi calon perdana menteri jika mereka dapat mengambil alih semula kuasa di peringkat persekutuan.

Anwar dan Mahathir merupakan tokoh utama yang dikaitkan dalam konflik ini.

Seorang pegawai dari blok Mahathir memberitahu Malaysiakini bahawa Anwar, melalui Pejabat Ketua Pembangkang, telah mengundang mereka ke perjumpaan di Subang Jaya tetapi ia ditujukan kepada anak Mahathir, Mukhriz Mahathir, yang merupakan Ahli Parlimen Jerlun, dan bukannya Mahathir sendiri.

Namun, tidak ada anggota parlimen dari kumpulan Mahathir dan Warisan yang dilihat memasuki tempat pertemuan itu, yang tamat sekitar jam 4.30 petang.

Bagaimanapun, pemimpin DAP dan Amanah sudah bertemu dengan blok ketiga semalam untuk menyelaraskan usaha mereka. PKR tidak hadir pada pertemuan itu.

Dimaklumkan bahawa kumpulan Mahathir dan Warisan mengadakan pertemuan terpisah masing-masing hari ini di Lembah Klang.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini DAP dan Amanah bertindak sebagai orang tengah antara kumpulan Anwar dan kumpulan Mahathir.

 


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.