Header Ads

ads header

Flash News

SPR buat persediaan hadapi kemungkinan PRU15 - Takiyuddin


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada bila-bila masa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata persediaan ini merangkumi perancangan yang menyeluruh meliputi aspek seperti belanjawan pilihan raya, peralatan dan logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.

"Ini adalah penting bagi memastikan pengendalian perjalanan pilihan raya itu lancar dan sempurna terutamanya dalam tempoh pasca-Covid-19," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan SPR bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU-15 dan perkembangan cadangan mengaplikasikan kaedah pengundian elektronik (e-undi) sebagai alternatif kepada kaedah konvensional dalam tempoh pasca-Covid-19.

Takiyuddin berkata SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan di daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi dan mengemas kini daftar pemilih dari semasa ke semasa.

Takiyuddin berkata bagi memastikan pilihan raya dijalankan dengan adil dan telus, SPR akan meneruskan penambahbaikan terhadap proses pilihan raya seperti yang telah dilaksanakan dalam pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-14.

"Pada masa ini, proses perjalanan pilihan raya akan disesuaikan mengikut Garis Panduan Pencegahan Covid-19 selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dikuatkuasakan kerajaan dan dilaksanakan semasa PRK Dewan Undangan Negeri Chini," katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan pelaksanaan e-undi dalam pilihan raya, beliau berkata SPR sedang mengadakan libat urus dengan semua pihak yang terlibat dari dalam dan luar negara bagi meneliti kesesuaian kaedah pengundian tersebut.

Katanya penggunaan kaedah itu melibatkan beberapa cabaran baharu khususnya berkaitan isu-isu kerahsiaan, keselamatan, kos dan pendidikan pengundi.

"Dalam hal ini, SPR masih belum berpuas hati dengan isu kerahsiaan dan keselamatan. Justeru, SPR akan terus mengadakan libat urus dengan pihak yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dikemukakan kepada kerajaan," katanya.

Menurut Takiyuddin, sistem e-undi telah diaplikasikan di beberapa negara seperti Brazil, India, Estonia dan Amerika Syarikat tetapi ada laporan menyatakan sistem itu terpaksa dikaji semula dan ada negara yang terpaksa kembali ke sistem manual.

"Keputusan juga dipersoalkan, jadi kita lihat ia (sistem e-undi) masih tidak begitu efektif, (justeru) di Malaysia sistem konvensional ini akan diteruskan buat masa ini (dan) dalam masa sama kita cuba tambah baik," katanya.

- Bernama



Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan