Header Ads

ads header

Flash News

Tak ada istilah keluar PN, UMNO sebelum ini tak pernah menyertai PN kata penganalisis


Penganalisis politik berpandangan Perikatan Nasional (PN) kekal menerajui kepimpinan Negara di bawah Muhyiddin Yassin susulan sokongan ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) serta ahli Dewan Undangan Negeri dalam pembentukan kerajaan pusat dan di beberapa negeri tertentu.

Menurut penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian, walaupun Umno membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional, ini tidak harus menimbulkan kekecohan kerana Umno sememangnnya tidak pernah menyertai PN sejak penubuhan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

“Situasinya masih status quo. PN kekal memerintah,” kata Sivamurugan semasa mengulas pengumuman Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa UMNO tidak akan menyertai PN, sebaliknya mahu mengukuhkan kedudukan Muafakat Nasional bersama PAS.

“Kenyataan Zahid untuk kukuhkan Muafakat Nasional dan ketepikan kolaborasi politik PN. Ini tak bermakna tak bersama kerajaan. Perikatan Nasional itu sendiri adalah tidak formal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut menyifatkan pengumuman Ahmad Zahid itu ada kaitan dengan tekanan yang diterimanya daripada ahli-ahli parti susulan ura-ura PN akan didaftarkan secara rasmi selain keputusan bersalah bekas perdana menteri Najib Razak yang dijatuhkan mahkamah pada Selasa lepas.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata selama ini Umno hanya membawa agenda Muafakat Nasional yang menumpukan kepada penyatuan Melayu dan umat Islam dalam kempen pilihan raya kecil.

"Langkah politik Umno tidak bersama PN adalah pelik, bagaimanapun secara teknikalnya tidak menjejaskan kerajaan sedia ada.

“Implikasinya ialah pada pilihan raya. Ini bermakna Muafakat Nasional dan Bersatu boleh bertanding sesama sendiri. Kalau Bersatu nak masuk Muafakat Nasional, maka Umno dan PAS kena ubah piagam Muafakat Nasional yang selama ini adalah mengenai penyatuan agenda Melayu Islam di antara Umno dan PAS. Jika berjaya dilakukan (Muafakat Nasional + Bersatu), maka percaturan politik di PRU (pilihan raya umum) akan datang lebih mudah,” katanya.

Penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia Dr Syed Agil Alsagoff pula menyifatkan keputusan Umno jelas menunjukkan strategi parti itu untuk memperkukuh pakatan Muafakat Nasional yang didominasinya bersama PAS berbanding PN yang dikuasai Bersatu.

“Namun apa yang saya sangsikan sekarang ialah apa yang akan berlaku kepada parti komponen BN, khususnya MCA dan MIC. Ini kerana Muafakat Nasional adalah mengenai perjuangan Melayu dan Islam.

“Dari segi politik, ini nampak tidak kena kerana berlandaskan kepada persetujuan dan kepercayaan semata-mata,” kata Syed Agil yang tidak menolak kemungkinan bahawa apa yang berlaku hari ini adalah isyarat kepada semua pihak bahawa PRU-15 semakin hampir.


#Kredit :- Bernama    

MR :  UMNO sebelum ini sekadar mengikut keputusan PAS.. video Zahid Hamidi sudah jelas  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan