Header Ads

Header ADS

Terima kasih Bersatu: UMNO Perak

IPOH - UMNO Perak yakin memperoleh kemenangan dengan majoriti yang lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim sekiranya mendapat sokongan penuh kesemua parti di dalam Perikatan Nasional (PN).


Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, seperti yang berlaku pada PRK DUN Chini sebelum ini, Barisan Nasional (BN) dijangka akan dapat mengulangi kejayaan mempertahankan kerusi DUN Slim itu.

Beliau berkata, pihaknya turut menghargai sokongan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizai Azumu yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak yang mengumumkan PN hanya akan meletakkan satu calon pada PRK kali ini.

"Pengumuman yang dibuat itu merupakan satu sokongan yang kita hargai bersama sebab pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) terdahulu calon PH (Pakatan Harapan) diwakili oleh Bersatu jadi sekarang Bersatu tidak lagi bersama PH maka sewajarnya sokongan diberikan Menteri Besar Perak itu kita terima dengan baik.

"Sepatutnya semua penyokong UMNO, BN, Pas dan Bersatu memberi sokongan padu kepada calon BN seperti mana yang berlaku di PRK Chini yang lalu. Insya-ALLAH kita akan menang besar," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO negeri di Bangunan UMNO Perak di sini malam tadi.

Dalam pada itu Saarani berkata, jentera kempen pilihan raya UMNO Perak akan digerakkan sepenuhnya bermula esok

Katanya, selain semua cawangan di DUN Slim, cawangan lain di dalam Bahagian Tanjung Malim akan turut membantu melancarkan kempen.

Beliau berkata, sesi taklimat bagi menghadapi PRK juga turut dijadual diadakan pada hari ini membabitkan jentera Wanita UMNO, ketua-ketua bahagian dan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanjung Malim.

Mengenai calon pula, Saarani berkata, lebih tujuh calon sudah disenarai untuk dipertimbangkan UMNO Pusat sebagai calon.

"Kita mengambil kira semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak terhadap calon yang akan mewakili BN ini.

"Maklumat mengenai calon-calon ini kita kumpulkan dan kita serahkan kepada pimpinan tertinggi untuk meneliti calon yang sesuai," katanya.

Semalam, Bersatu Bahagian Tanjung Malim mengumumkan parti itu membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRK DUN Slim dan akan membantu calon UMNO.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.


MR :  .Kerjasama dlm PN makin baik...........


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.