Header Ads

Header ADS

Hakim Hamid Sultan Abu Backer terima surat tunjuk Sebab


Seorang hakim kanan yang mendakwa berlaku salah laku dalam kehakiman menerima surat tunjuk sebab.

Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer membuat dakwaan berkenaan dalam afidavitnya pada Februari tahun lalu, mendorong kerajaan PH ketika itu mempertimbangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI).

Bagaimanapun, RCI itu tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan PH runtuh pada hujung Februari lalu.

Peguam Hamid Sultan, Joy Wilson Appukuttan mengesahkan anak guamnya menerima surat tunjuk sebab itu, kata laporan Free Malaysia Today (FMT).

"Saya akan membalas notis dalam tempoh 30 hari," katanya, petik FMT.

Laporan itu berkata surat tunjuk sebab dikeluarkan pada Selasa oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang juga mempengerusikan Jawtankuasa Etika Hakim-Hakim.

Selain meminta Hamid Sultan menjelaskan afidavit itu, surat tunjuk sebab tersebut juga mahu Hamid Sultan menjelaskan penghakiman baru-baru ini di mana beliau telah menyatakan bahawa mahkamah perlu memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda terhadap kepentingan umum dan kebebasan asasi, menurut laporan itu.

Hamid Sultan, dalam afidavitnya, antara lain menuduh bahawa hakim tertentu telah campur tangan dalam kes-kes berprofil tinggi.

Bagaimanapun, beberapa bahagian utama afidavit Hamid Sultan telah dikeluarkan.

Hamid Sultan dijadualkan bersara pada tahun depan.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan hak asasi manusia Suaram menyuarakan keprihatinannya terhadap surat tunjuk sebab itu.

"Kegagalan penyiasatan secara terbuka dan telus terhadap dakwaan yang dikemukakan oleh afidavit Hamid Sultan telah membuka keraguan orang ramai terhadap integriti dan kebebasan badan kehakiman kita.

"Keputusan untuk menangani perkara itu terhadap Hamid Sultan dan bukan menyiasat dakwaan berkenaan hanya akan menguatkan tanggapan bahawa tuduhan itu mempunyai merit dan telah ditekan," kata Pengarah Eksekutif Suaram, D Sevan.

Sevan berkata, kebimbangan Hamid Sultan perlu dikendalian melalui suruhanjaya siasatan diraja (RCI).

Beliau juga bimbang surat tunjuk sebab seperti itu dapat memberi kesan yang tidak baik kepada hakim.

 









............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.