Header Ads

ads header

Flash News

Polis buat 6 serbuan terhadap kegiatan perjudian di Sungai Buloh setelah isu ini viral

Polis dilaporkan melakukan enam serbuan terhadap kegiatan perjudian di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh semalam.

Ia dipercayai susulan satu rakaman video yang antara lain berkenaan kegiatan tersebut, yang tular di media sosial petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar, dua lelaki warga Bangladesh turut ditangkap dalam operasi itu.

“Terdapat beberapa premis yang diserbu berkunci dan dipercayai telah lama tidak beroperasi. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian atau penyeludupan diminta untuk terus menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya seperti dipetik Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Shafa'aton turut menafikan tiadanya tindakan terhadap kegiatan perjudian di situ, dengan 40 serbuan dan 132 tangkapan telah dibuat sejak bulan lalu.

“Kali terakhir operasi adalah pada dua minggu lepas dan ini menunjukkan yang dakwaan pemilik akaun tersebut bahawa tiada tindakan diambil adalah satu fitnah dan tohmahan tidak berasas," katanya.

Dia juga memaklumkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap individu dalam video tular itu, selepas laporan polis yang dibuat oleh seorang pegawai kanan polis dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dakwaan penguatkuasaan berat sebelah

Terdahulu, satu video tular berkenaan dakwaan penguatkuasaan berat sebelah terhadap penjaja di Sungai Buloh, Selangor, menarik perhatian ramai.

Rakaman kira-kira 13 minit itu, yang disiarkan di laman Facebook Hot Burger Malaysia serta mendapat lebih empat juta tontotan dan 70,000 kongsian, mendakwa berlaku ketidakadilan dalam penguatkuasaan, dengan membandingkan masalah yang menimpa peniaga burger dengan penjual rokok seludup dan pemilik pust judi haram.

Dalam video tersebut, individu bernama Asri Janggut menunjukkan sejumlah penjaja yang menurutnya bebas berniaga di kawasan yang tidak dibenarkan, berbeza dengan tindakan yang dikenakan terhadap penjual burger di kawasan sama.

"Sekarang cari makan susah, ramai menganggur. Kita beri peluang jual burger untuk cari makan keluarga, tetapi mereka angkut (gerai). Ini bukan masalah untuk beri kerjasama tetapi tiada keadilan," katanya yang merupakan pengasas rangkaian gerai Hot Burger.

Dia turut menunjukkan tapak gerai burger miliknya yang menurutnya telah disita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), serta sebuah lagi gerai burger berdekatan, yang turut ditimpa nasib yang sama.

Pada masa sama, dakwanya lagi, sebuah gerai yang menjual rokok seludup yang terletak di depannya, serta sejumlah gerai yang diletakkan di tempat letak kereta, masih bebas beroperasi.

Dia seterusnya menunjukkan sekurang-kurangnya dua premis yang didakwa menjadi pusat perjudian haram di sekitar kawasan tersebut yang menurutnya beroperasi sehingga pukul dua pagi ketika kerajaan telah menetapkan setiap perniagaan hanya boleh dibuka sehingga tengah malam.

Dia seterusnya mendakwa pernah membuat aduan kepada pihak polis dan MBSA berkenaan operasi pusat judi haram itu bagaimanapun bukan dengan tindakan yang diharapkan.

"Tauke (judi) kuda tahu saya buat laporan dan datang tegur pekerja saya (dan tanya) 'kenapa bos you buat aduan'.

"Macam mana mereka boleh tahu kalau bukan maklumat daripada 'orang dalam'?" soalnya yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung kemungkinan berlakunya rasuah berkaitan perkara itu.

Justeru, dia bimbang akan keselamatan diri dan keluarga selepas membangkitkan perkara itu dan berkata akan menyembunyikan diri buat sementara waktu.

Video tersebut mendapat perhatian Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap dakwaan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.

"Polis akan siasat dakwaan individu terbabit yang mengatakan berlakunya kegiatan perjudian di kawasan itu," katanya seperti dipetik.

Dalam pada itu, MBSA dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan menyita barangan perniagaan adalah kerana selepas tamat operasi, peniaga meninggalkannya sehingga menyebabkan masalah lalu lintas dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

"Sebelum ini, MBSA telah memberi teguran kepada peniaga berkenaan agar tidak meninggalkan peralatan setelah selesai berniaga, tetapi tidak diendahkan.

"Dalam tempoh dua bulan, kami telah dua kali melakukan sitaan terhadap peniaga sama namun dia masih lagi melakukan kesalahan dengan meninggalkan barangan perniagaan di tepi jalan," kata MBSA, sambil menambah dia turut melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP apabila tetap beroperasi selepas pukul 12 tengah malam.

"Berkaitan dengan dakwaan kewujudan premis perjudian, MBSA akan bekerjasama dan membantu polis dalam menjalankan siasatan...Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk kakitangan MBSA, jika berlaku salah guna kuasa atau isu berkaitan integriti," katanya lagi.

Isu tersebut menarik perhatian Adun Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri yang menggesa Datuk Bandar Shah Alam Haris Kasim mengambil tindakan sewajarnya terhadap bahagian penguatkuasaan dan pelesenan, yang didakwanya lemah dalam melaksanakan undang-undang.

Dia juga menyifatkan kenyataan media MBSA berkaitan isu tersebut sebagai "retorik semata-mata".

Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan pula menggesa polis memberi perlindungan kepada Asri dan keluarganya.

"Apa yang menjadi kembimbangan kami adalah keselamatan individu ini dan ahli keluarganya yang berisiko tinggi diancam, diugut dan tidak mustahil juga dibunuh.

"Mohon pihak berkuasa seperti PDRM memberi perlindungan kepada beliau dan ahli keluarga serta jaminan keselamatan untuk mereka," katanya dalam kenyataan.


MR : Tak dengar suara PEMUDA PAS, Jangan lembab!   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan