Header Ads

ads header

Flash News

Jalan Sukar dan Ruang sempit untuk Bersatu


Ketika hubungan Perikatan Nasional (PN) menjadi semakin rumit, dimensi baru dalam hubungan Umno dan Bersatu muncul yang memungkinkan hubungan kerjasama mereka semakin mencabar.

Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini telah menetapkan asas bagi rundingan kerusi parti itu dengan sekutunya mereka dalam Muafakat Nasional (MN), iaitu PAS dan Bersatu.

Anggota MT Umno, Zahidi Zainul Abidin, memberitahu wartawan pada Rabu lalu bahawa BN - sebuah gabungan yang dipimpin Umno - akan meletakkan calon untuk setiap kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Ia bermaksud, calon Umno akan tetap diturunkan di kerusi yang kini dipegang oleh anggota parlimen Bersatu.

Ketika dihubungi Zahidi menjelaskan bahawa asas yang ditetapkan oleh MT Umno untuk perundingan kerusi - membabitkan semenanjung Malaysia - adalah seperti berikut:

  • BN mesti meletakkan calon untuk semua 51 kerusi yang dimenanginya pada 2018;
  • BN tidak akan meletakkan calon untuk 13 kerusi yang dimenangi Bersatu pada 2018; dan
  • BN akan meletakkan calon untuk sebarang kerusi yang dimenangi PKR, DAP dan Amanah pada 2018 dan jumlah undi menunjukkan BN menduduki tempat kedua.

Ketetapan awal oleh Umno dalam isu perundingan kerusi menimbulkan dua masalah besar bagi Bersatu.

Pertama, daripada 31 ahli parlimen Bersatu sekarang, 15 merupakan bekas anggota Umno yang memenangi kerusi berkenaan menggunakan tiket BN sebelum melompat pada 2018 dan 2019.

Kedua, daripada 31 ahpi Parlimen Bersatu itu juga, 10 asalnya memenangi kerusi masing-masing menggunakan tiket PKR dan berada di tempat kedua dari segi jumlah undi ialah BN.

Satu daripada 12 kerusi

Dengan kata lain, Umno mahu BN meletakkan calon mereka untuk 25 kerusi yang kini dipegang oleh Bersatu.

Bagaimanapun ketetapan Umno bahawa BN tidak perlu meletakkan calon di kerusi yang mereka gagal menduduki tempat pertama atau kedua pula membuka beberapa peluang kepada Bersatu.

Berdasarkan keputusan PRU ke-14 lalu, terdapat 12 kerusi yang menunjukkan BN tidak menduduki tempat pertama (menang) atau kedua.

Bagaimanapun, PAS memenangi satu daripada 12 kerusi tersebut, manakala berada di tempat kedua untuk 10 kerusi lain.

Satu-satunya kerusi terkecuali daripada ketetapan yang dibuat Umno itu untuk Bersatu ialah di Keningau, Sabah. 

Masalahnya kemungkinan besar kerusi tersebut tidak akan dituntut Bersatu kerana sekutu PN, Parti Bersatu Sabah (PBS) mempunyai sejarah yang lebih menonjol di situ.

Sekiranya Umno dan BN tidak mahu berganjak daripada pendirian mereka ketika ini, bermakna ruang untuk Bersatu di Semenanjung Malaysia memang ada namun begitu sempit.

Menurut sumber yang dekat dengan Bersatu dan tahu mengenai strategi perundingan kerusi, parti itu akan berusaha mendapatkan peluang yang cukup untuk menang agar tidak tunduk kepada Umno sekiranya PN menang dalam PRU ke-15 nanti.

Selain meminta Umno untuk mengalah, satu pilihan lain ialah Bersatu berunding dengan PAS untuk mendapatkan 12 kerusi tadi.

Pilihan lain yang ada ialah Bersatu menawarkan diri bertanding di kawasan yang mempunyai etnik campuran dan lazimnya Umno dan PAS lemah di kerusi berkenaan.

Oleh itu, sasaran yang ada untuk Bersatu ialah kerusi PKR - yang kini mempunyai 34 ahli parlimen di Semenanjung Malaysia - dengan kebanyakan mereka mewakili kawasan pengundi bercampur-campur dengan jumlah Melayu signifikan.

Sekiranya strategi ini diambil, maka Bersatu akan melakukan anjakan besar berbanding 2018 apabila mereka meletakkan 54 calon di Semenanjung Malaysia bagi kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Apa pun, ketika pemimpin Umno dan PAS terus memalu gendang untuk PRU diadakan segera, detik Bersatu untuk mendapat lebih daripada 13 kerusi yang mereka menangi pada 2018 kini kian suntuk.

Andrew Ong & Hariz Mohd

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan