Header Ads

ads header

Flash News

Muktamar PAS: Hal-hal terpendam dan pesan malar segar


Muktamar PAS kali ke-66 yang berlangsung di Kota Bharu, kelmarin, menyaksikan banyak perubahan pendekatan yang diambil pimpinan dan perwakilan parti itu dalam mengetengahkan agenda serta hala tuju politik mereka.

Dengan tempoh persidangan yang terhad itu ternyata berjaya diambil ruang dan peluang kepada pimpinan untuk mentarbiyah dan meredakan kegelisahan akar umbi dalam seputar isu hangat yang boleh dianggap mencalar ego politik parti itu.

Pada kebiasaannya, perhimpunan tahunan itu menjadi medan lebih terbuka kepada perwakilan membawa suara akar umbi dengan lebih lantang serta berterus-terang.

Bagaimanapun kali ini, rata-rata mereka dilihat mengambil sikap lebih berwaspada walaupun masih kelihatan hal-hal yang terpendam dan tak terluahkan.

Pemerhatian penulis mendapati pemimpin PAS berjaya membilas bara dan ketidakpuasan hati anak-anak buah khususnya selepas parti itu gagal mempertaruhkan sebarang kerusi dalam PRN Sabah.

Penegasan soal walak dan kesetiaan menjadi ubat mujarab dengan pesan mesra yang begitu malar segar sifatnya.

Bagaimanapun, ketidakpuasan dalam isu PRN Sabah sukar disembunyi ke lubuk rasa paling dalam.

Signal acah-acah susulan PRN Sabah

Antara lain boleh ditafsir melalui kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang melontarkan pandangan awal bahawa mereka seboleh-bolehnya mahu membolot dan bertanding di semua kerusi parlimen di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Ia adalah signal (walau sekadar acah-acahan) yang dihantar susulan apa yang berlaku di Sabah dan bagaimanapun PAS terpaksa akur tanpa soal lagi sekali gus menggerakkan jentera untuk turun berkempen bagi pihak rakan-rakan tahaluf siyasi.

Dalam pada itu, muktamar juga menerima usul tanpa bahas yang dikemukakan oleh sayap pemuda supaya PAS dibenarkan bertanding sekurang-kurangnya di 50 kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.

Itu menjadi kayu ukur secara langsung betapa PAS memberi penegasan kepada rakan-rakan sama ada Muafakat Nasional (PN) atau Perikatan Nasional (PN) ketika proses pengagihan kerusi masih berjalan di peringkat jawatankuasa teknikal gabungan terbabit dan tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki.

Jika ketika menjadi pembangkang seperti PRU14 lalu PAS boleh bertanding begitu banyak kerusi di seluruh negara, mengapa tidak ketika sudah bergelar parti kerajaan dan pastinya mempunyai banyak kemudahan waima sumber.

Ia akan menjadi indikator jelas bahawa dalam soal pembahagian kerusi ini, PAS tidak mahu sekadar menjadi 'adik manja' kepada abang-abang besar, apa lagi kepada rakan sekutu baru yang hanya menang satu atau dua kerusi pada PRU lalu.

Senario ini memberi bayangan selera besar PAS yang enggan lagi sekadar tunduk ketika mereka mempunyai segala kekuatan untuk tampil ke hadapan sekali gus memimpin permuafakatan.

'Awas bonggol di depan'

Hal ini dilihat boleh memberi risiko dan cabaran kepada MN dan PN dalam penentuan kerusi menjelang PRU15 dengan kekal tenang. 

Ia seperti wujudnya amaran 'awas bonggol di hadapan' dan masing-masing akan memilih sama ada mahu break mengejut atau terus pecut.

Rentetan itu juga Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man tampil menegaskan agar pimpinan dan perwakilan tidak menimbulkan sebarang polemik dalam soal pengagihan kerusi dan menyerahkan tugas itu kepada pucuk pimpinan tertinggi.

Selain itu, muktamar yang hanya berjalan sehari yang didahului dengan persidangan sayap muslimat dan pemuda itu memberi tumpuan supaya pimpinan PAS di setiap peringkat menjalankan peranan sebagai parti kerajaan, sebaliknya bukan membawa penampilan pembangkang.

PAS memberi arahan supaya pimpinan bergerak dan menjalankan program-program bersifat kerajaan termasuk mengadakan kerjasama dengan agensi dan jabatan kerajaan.

Terdapat juga perwakilan yang menyampaikan pesan supaya tidak terikut dengan gerak kerja pembangkang misalnya amaran dikeluarkan perwakilan Kelantan, Dr Hassan Mohamood tampil menegaskan - pihak yang mempersoalkan pelaksanaan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) disifatkan sebagai 'suara syaitan'.

Dengan ruang serta kehadiran yang terhad dan jangka masa pendek persidangan muktamar kali ini ia pasti membolehkan PAS berjaya mengawal suhu sepanjang kelangsungannya.

Di samping itu, desakan-desakan bersifat untuk meraih markah politik juga tidak ditonjolkan dan dalam banyak keadaan ia hanya bersifat cadangan mesra termasuk kepada kerajaan pusat.

Perwakilan dan pimpinan PAS juga tidak banyak menyentuh soal hubungan dengan rakan-rakan MN dan PN secara terperinci selain mengulangi mengenai kejayaan membentuk perpaduan politik yang membuahkan kerajaan PN.

Sementara itu, tumpuan juga dibangkitkan dalam soal kekuatan jentera penerangan PAS termasuk peranan yang dimainkan oleh tentera siber untuk melawan musuh-musuh politik khususnya melalui media sosial.

Sejauh ini menurut mereka laskar siber PAS yang digelar sebagai mujahid siber didapati tidak bernafsu dan digesa supaya bangkit melawan.

Keseluruhannya, muktamar bertemakan Islam memperkukuh perpaduan itu tidak boleh dipandang ringan bagi mengukur strategi sebenar PAS bagi berdepan kawan dan lawan.

Selebihnya kata orang kampung penulis, muktamar kali ini rasa kurang 'ummphh' sebab Datuk Nik Amar (Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah) tak berucap.

Naik pesawat menuju Sabah,

tengok orang pacak bendera;

kalau dah untung badan bertuah,

rakan taulan menumpang bahagia.

N Faizal Ghazali

MR : PAS perlu bergerak lebih kehadapan dengan Politik Islam   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan