Header Ads

Header ADS

Shafie berbohong demi kekal berkuasa, kata Musa


KOTA KINABALU:
Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman membidas Presiden Warisan, Shafie Apdal yang mendakwa kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinannya memberikan tanah milik Yayasan Sabah kepada orang tertentu.

Musa berkata, Shafie semakin terdesak sehingga sanggup “menjaja pelbagai tohmahan dan pembohongan tidak berasas, semata-mata untuk kekal berkuasa”.

Beliau mendakwa Shafie, menerusi ucapan ala kempen baru-baru ini, tanpa segan silu melemparkan tuduhan liar dan sanggup “memanipulasi isu perkauman” untuk mengelirukan masyarakat.

“Menyebarkan berita palsu kini sudah menjadi ‘resam’ baru kepada Warisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Baru-baru ini, Shafie menuduh pentadbiran kerajaan sebelum ini dengan sengaja memberikan tanah milik Yayasan Sabah kepada segelintir pihak.

“Terang lagi bersuluh, niat Shafie itu amat meragukan kerana sebagai pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, beliau sepatutnya sedar tuduhan itu tidak benar disebabkan kawasan yang dilesenkan kepada Yayasan Sabah tidak boleh diberikan kepada pihak ke-3.

“Sebagai pemegang hak tunggal, Yayasan Sabah hanya boleh menjemput pihak ke-3 mengeluarkan hasil balak menerusi kaedah Pembalakan Kurang Impak (RIL) atau membangunkan kawasan dilesenkan secara kontrak.

“Saya beranggapan mungkin bagi sesetengah ahli politik, berita palsu, penipuan, kempen kotor dan pembunuhan karakter adalah satu-satunya jalan untuk mereka dilantik.”

Minggu lalu, seorang ahli perniagaan Sabah menolak dakwaan Shafie mengenai kehilangan tanah milik Yayasan Sabah.

Ahli perniagaan, Mohemad Amin Azizurahman @ Amin Khan, dilaporkan berkata pelbagai pihak menuduhnya pencuri dan perompak, selepas Shafie membuat dakwaan itu dalam ucapannya sebelum itu, yang dikongsi secara meluas.

Amin berkata, Shafie mendakwa beliau menerima 30,000 ekar tanah di Kalabakan daripada Yayasan Sabah dan kira-kira 600,000 hingga 700,000 ekar tanah milik yayasan itu “hilang”.

Beliau berkata: “Saya tidak pernah menerima 30,000 ekar tanah daripada Yayasan Sabah pada bila-bila masa sekali pun.

“Sejauh yang saya tahu, tanah konsesi yang dipegang Yayasan Sabah berada di bawah satu lesen dan mustahil ia ‘hilang’ atau diberikan kepada pihak ke-3. Tanah itu kekal di bawah Yayasan Sabah.”

Dalam kenyataan hari ini, Musa mempersoalkan motif Shafie membuat dakwaan itu yang segelintir komuniti dijadikan “anak emas” oleh kerajaan terdahulu berkaitan pemberian tanah.

“Seseorang tidak boleh dipersalahkan, sekiranya beranggapan ucapan Shafie sarat dengan elemen perkauman.

“Tidak banyak kejayaan yang ditempa Warisan sejak mereka secara tidak berperlembagaan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan yang dibentuk selari perundangan, pasca PRU14.

“Dengan hanya berbekalkan pertumbuhan KDNK berkadar 0.5%, terendah di Malaysia untuk 2019, Shafie dan barisan menterinya tampak gembira tatkala menghabiskan masa menghadiri keramaian dan majlis potong reben untuk merasmikan projek serta program yang dirintis pentadbiran kerajaan sebelum ini,” dakwa Musa.

Musa berkata, Warisan pakar dalam mengumumkan projek berbilion ringgit yang sehingga kini tidak nampak bayang langsung.

“Harus saya katakan, KPI Warisan dalam menabur janji kosong dan menyebarkan berita palsu semakin menjadi-jadi, tetapi saya risau dengan nasib Sabah, sekiranya ini saja yang mampu ditawarkan.”

#Sumber :   FMT 

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.