Tiga pelajar cedera dirempuh, dua lelaki parah ditembak
BANTING: Sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Telok Datok di sini, tengah hari tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari itu, dua lelaki itu dipercayai ditembak dua individu yang menaiki sebuah motosikal.
"Mangsa yang cedera terkena tembakan itu adalah seorang pengawal peribadi dan majikannya.
"Difahamkan, suspek mengekori kereta berkenaan seterusnya melepaskan tembakan dan siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa terkena beberapa das tembakan di dada dan beberapa bahagian badan," katanya.
Fadzil berkata, ketika dua mangsa cuba melarikan diri melalui hadapan sekolah, kereta mereka merempuh beberapa orang pelajar sekolah dan beberapa buah kereta.
Katanya, setakat ini, tiga pelajar mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan leher dan ketiga-tiga mangsa masih dirawat di hospital untuk mengenalpasti kecederaan lanjut.
Dua lelaki yang cedera terkena tembakan itu juga dikejarkan ke Hospital Banting dan masih dalam rawatan kecemasan.
"Setakat ini, polis sedang mengenal pasti suspek dan motif kejadian dipercayai membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan," katanya.
#Sumber : BHsila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan