Header Ads

Header ADS

Awie 'budak ajaib' wira Kuala Besut


Besut, 17 Oktober 2020
- Meskipun hanyalah orang biasa, namun nama Mohamad Najmi Daud kini menjadi popular di daerah Besut selepas kejayaannya menemukan mangsa lemas di dasar sungai berhampiran jeti kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut, di sini, 9 Oktober lalu.

Sikap berani dan keprihatinan lelaki kurang upaya (OKU) yang dikenali dengan panggilan Awie, 31, kini mendapat perhatian ramai dan namanya menjadi sebutan netizen selepas berjaya mengesan mayat, Azman Che Mat, 45, kira-kira 10 minit selepas beliau menyelam, walaupun keadaan arus sungai laju dan air keruh ketika itu.

"Setakat ini sudah dua mayat mangsa lemas telah saya temukan termasuk kejadian Jumaat lepas manakala kali pertama kira-kira dua tahun lalu membabitkan mayat seorang kanak-kanak," katanya yang bekerja mengambil upah mengangkat barang.

Atas usaha dan keberaniannya itu, Ketua Balai Polis Daerah Besut telah memberi surat penghargaan dan sumbangan kepada wira penduduk pekan nelayan itu pada 11 Oktober selain turut menerima lesen motosikal percuma yang dihadiahkan oleh pengusaha sekolah memandu daerah Besut.

Sememangnya anak jati Kampung Timor, Kuala Besut itu lama dikenali penduduk setempat kerana memiliki kebolehan luar biasa menyelam dalam tempoh beberapa minit tanpa memakai alat bantuan pernafasan atau kaca mata selam.


Mohamad Najmi yang mengalami kecacatan di mata sebelah kanan sejak lahir berkata, orang ramai termasuk pelancong sering meminta bantuannya mencari barangan berharga mereka yang tenggelam di dasar sungai sedalam kira-kira tiga meter berhampiran terminal pelancong ke Pulau Perhentian.

"Antara barang berharga yang sering terjatuh seperti barang kemas, telefon bimbit, spanar dan kunci kereta serta batu permata," katanya kepada Bernama ketika ditemui, di sini.

Mohamad Najmi yang masih bujang itu berkata, antara cabaran yang terpaksa dihadapinya ketika menyelam seperti keadaan air sungai keruh, lambakan sampah di dasar sungai, arus sungai laju dan risiko disengat spesies air berbisa.

Rakan Mohamad Najmi, Mohd Zulhibri Ibrahim, 37, berkata, penduduk menggelar Mohamad Najmi sebagai 'budak ajaib' kerana kemampuannya mengesan barang di dasar sungai meskipun sebelum itu telah dicari oleh ramai penyelam lain.

"Dia seperti ada kelebihan luar biasa kerana benda sekecil kacang pun dia mampu menemuinya walaupun berada di celah-celah sisa kayu-kayan yang berada di dalam sungai," katanya.


#Sumber : MyMetro   

    


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.