Header Ads

ads header

Flash News

Keputusan Biro Politik Umno Bukanlah Masalah Besar


Saya tidak melihat keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO pada 13 Oktober 2020 yang berbunyi bahawa “UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional dan akan memberi syarat baharu kepada Kerajaan Perikatan Nasional bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin” sebagai suatu masalah besar yang tidak boleh diselesaikan.

Di dalam mana-mana mana-mana kerjasama politikyang dinamik, adalah menjadi kelaziman untuk mana-mana pihak mengkaji kedudukan penyertaan mereka di dalam pakatan ini dari masa ke semasa.

Malah PAS, sewaktu menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO dari tahun 1973 ke tahun 1977 dahulu, pun pernah melakukan perkara yang sama.

Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-21 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 29 dan 30 Julai 1975 umpamanya pernah meluluskan usul Dewan Pemuda PAS Pusat, dengan pindaan Presiden PAS, yang berbunyi:

“Bahawa Muktamar Tahunan PAS yang bersidang pada hari ini bersetuju mengambil ketetapan supaya PAS mengkaji semula kedudukan penyertaannya dalam Barisan Nasional. Keputusan ini didasarkan kepada rasa tidak puas hati atas perlaksanaan dasar pembangunan rohani yang sampai kini masih belum seimbang dengan pembangunan jasmani. Sambil itu adalah jelas penyertaan parti-parti anggota di dalam Barisan Nasional di dalam jawatankuasa-jawatankuasa dan perbadanan-perbadanan di semua peringkat masih tidak menggambarkan semangat kerjasama dan perpaduan yang dikehendaki, terutamanya di negeri, daerah dan tempatan, (di mana) PAS tidak diberi peluang yang sewajarnya. Ditambah pula dengan sikap dan tindak-tanduk tokoh-tokoh Barisan Nasional dalam beberapa hal dan keadaan tertentu menekan dan menindas PAS. Oleh yang demikian, Muktamar Tahunan PAS yang bersidang pada hari ini bersetuju memberi mandat kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk menyelesaikan keadaan ini dalam tempoh setahun sehingga Muktamar Tahunan PAS yang akan datang bagi menentukan sikap sama ada PAS akan kekal atau keluar dari menjadi parti anggota dalam Barisan Nasional serta mengemukakannya dalam Muktamar Tahunan PAS tersebut.”

Begitu juga dengan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-23 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada 23, 24 dan 25 Julai 1977 yang pernah meluluskan usul PAS Ulu Kelantan, PAS Pagoh dan PAS Lipis yang berbunyi:

“Bahawa Muktamar Tahunan PAS yang bersidang pada hari ini bersetuju memberi kuasa penuh kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengkaji kedudukan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional dan menentukan sikap dari masa ke semasa, termasuk menarik diri dari Barisan Nasional, tanpa merujukkannya kepada Muktamar.”

Keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO ini bukanlah suatu masalah besar yang tidak boleh diselesaikan kerana lima sebab:

(1) Keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO ini hanya menyebut “UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional” dan bukannya “UMNO memutuskan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional”.

(2) Keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang menyebut “UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional” ini, bila dibaca bersama-sama satu keputusan lain yang menyebut “UMNO berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan”, pastilah membawa maksud “pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional” ini adalah untuk menjamin “kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi”.

(3) Keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang menyebut “UMNO akan memberi syarat baharu kepada Kerajaan Perikatan Nasional bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin”, bila dibaca bersama-sama satu keputusan lain yang menyebut “UMNO berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan”, pastilah membawa maksud syarat baharu ini adalah untuk menjamin “kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi”.

(4) Keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO ini bukanlah satu keputusan yang muktamad kerana Perlembagaan UMNO memperuntukkan bahawa “Majlis Tertinggi adalah menjadi badan yang menjalankan pentadbiran hal-ehwal UMNO di bawah kekuasaan dan perintah Perhimpunan Agung dan Majlis Tertinggi adalah berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan Agung pada masa ketiadaannya tetapi segala langkahnya itu hendaklah dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung”.

(5) Keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO ini tidak mampu membatalkan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini yang, mengikut kata-kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Tan Sri Annuar Musa, berbunyi bahawa UMNO akan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional sehingga PRU 15, dan sehingga tiada mana-mana Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang lain membatalkannya maka keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini masih kekal.

Oleh itu, sama-samalah kita menunggu keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang, mengikut kata-kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, pada 13 Oktober 2020, akan dilangsungkan “secara online, secara WEBEX Cisco Meeting, pada hari Sabtu, 17 Oktober 2020, jam 10:00 pagi”.

Masa sama, pandangan-pandangan yang mempersoalkan “timing” keputusan ini dibuat, iaitu pada malam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Yang di-Pertuan Agong, dan yang mempersoalkan ketiadaan maklumat rasmi mengenai “syarat baharu”, yang menimbulkan spekulasi, juga perlu dihormati.

Banyak pihak juga pastinya akan lebih merasa gembira jika isu yang sebesar ini dibawa untuk dibincangkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan akan berlangsung pada 19 Disember 2020 atau, jika ia dikira lebih mendesak, dibawa untuk dibincangkan di dalam satu Perhimpunan Agung Khas.

Kamarul Yusoff

MR :  Yang masalahnya kenapa sengaja diheboh?  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan