Header Ads

ads header

Flash News

Adun Bugaya, Manis Muka meninggal dunia


KOTA KINABALU:
Adun Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, meninggal dunia di Hospital Gleneagles hari ini.

Sumber Warisan berkata wakil rakyat berusia 65 tahun itu dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang.

“Beliau dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) semalam dan meninggal dunia tengah hari tadi,” katanya.

Pada pilihan raya negeri yang lalu, Manis mempertahankan Bugaya dengan majoriti 6,005 undi selepas mendapat 8,557 undi.

FMT sedang mendapatkan respon daripada pemimpin Warisan.

---

Calon DUN Bugaya Manis Muka dedah rahsia di sebalik nama

SEMPORNA - Sebaik mendengar atau melihat namanya, pasti ramai yang tercari-cari dan ingin mengetahui siapakah empunya tuan badan pemilik nama seunik itu - Manis Buka Mohd Darah.

Rasa ingin tahu membawa wartawan Bernama untuk mengenali dengan lebih dekat figura berusia 65 tahun itu dan telah berkunjung ke kediamannya di Kampung Bugaya dekat sini baru-baru ini bagi mengetahui rahsia di sebalik nama yang barangkali hanya satu dalam sejuta.

Apabila diajukan soalan bagaimana beliau mendapat nama berkenaan, calon Parti Warisan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya itu, yang juga ibu kepada lima anak lelaki dan lima anak perempuan, tersenyum manis sebelum memulakan cerita.

“Sebenarnya nama ini adalah asal usul daripada nenek moyang saya kerana dulu di kepulauan (sebuah pulau di Semporna) itu, wanita tercantik namanya Manis Muka. Sebab itu arwah ibu bapa saya memberikan saya nama Manis Muka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang lebih popular dengan panggilan ‘Manis Muka’ dalam kalangan masyarakat Semporna dan Sabah amnya, berkata, berlaku kesilapan ketika pendaftaran apabila nama Manis Muka yang sepatutnya didaftarkan telah tersalah eja sehingga menjadi Manis Buka.

Disebabkan keunikan nama itu, Manis Muka berkata, beliau sering menjadi tumpuan sejak sekolah rendah malah sering dicari oleh pelawat yang berkunjung ke sekolahnya.

“Saya menangis dan meminta arwah bapa menukar nama saya sebab saya selalu kena cari tapi bapa saya cakap jangan, kerana itu nama nenek moyang saya,” katanya.

Begitu pun, Manis Muka tetap berbangga dengan keunikan namanya kerana ia berjaya memperkenalkan diri beliau kepada ramai pemimpin tertinggi UMNO sewaktu menyertai parti itu sebelum ini.

“Pernah suatu ketika saya terdengar sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata (beliau) mahu mencari siapa perwakilan yang namanya Manis Buka ini sebab ini nama ganjil... sedangkan dia tidak sedar saya berada di belakangnya,” katanya.

Manis Muka, yang mempertahankan kerusi DUN Bugaya, berdepan pertandingan tujuh penjuru dengan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon bebas.

Katanya, ini merupakan kali pertama kawasan itu menyaksikan pertandingan sehingga tujuh penjuru namun beliau yakin mampu mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti yang lebih banyak kali ini.

Bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985 dan pernah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Wanita UMNO Semporna, Manis Muka kini merupakan Ketua Wanita Warisan Semporna. - Bernama





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan