Header Ads

Header ADS

Flash News

Bahtera UMNO makin karam menuju PRU15


UMNO
sudah melalui zaman kejatuhannya sebelum ini. UMNO juga dikatakan sedang menjalani fasa membetulkan diri dan cuba naik kembali dalam pelbagai strategi serta peranan pemimpin mereka.

Kerjasama parti Melayu paling lama negara itu dengan beberapa parti, termasuk yang pernah menghumban mereka keluar dari Putrajaya, menimbulkan pelbagai persepsi.

Ia sebenarnya memberi impak yang pelbagai dari semua perspektif serta pendapat positif dan negatif sekali gus membuka pelbagai andaian penganalisis politik kepada masa depan parti itu sendiri.

Namun, naluri parti mungkin dijentik apabila Tan Sri Annuar Musa menyatakan UMNO perlu sedar diri dan tidak berhak mempersoalkan layanan diterima parti itu dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kadang-kadang kita masih dalam kepompong. Kita rasakan UMNO sekarang masih macam UMNO dahulu yang mana kita perlu dilayan begini dan begitu.

"Kita lupa kita datang dari parti yang telah jatuh, dah kalah, tetapi secara berperingkat kita bina semula kekuatan. Jika bercakap soal layanan, layanan macam mana yang kita mahu," jelas Annuar semasa diwawancara portal parti itu baru-baru ini.

Teguran Annuar itu sebenarnya cukup berani dan jelas agar UMNO tidak mendabik dada sebagai seorang 'Abang Besar' yang sebelum ini menjadi pemutus keputusan untuk kerajaan - realitinya hari ini, UMNO sudah kalah dan jatuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Annuar sendiri pasti sudah menjangka dicemuh dengan kenyataannya yang seolah-olah berpihak kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ahli Parlimen Ketereh itu juga tentunya sedar sejak sehari dua ini menjadi topik perbincangan pelbagai pihak di dalam parti termasuk di laman sosial yang mendakwanya kini mendahului Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam isu taktikal serta dasar parti.

Tindakan Annuar ini membuka semula ruang perbezaan pendapat serta persepsi di kalangan pemimpin UMNO. Pada saat PRU15 dikatakan mahu diadakan juga dalam prosedur operasi standard (SOP) selepas beberapa negara lain berjaya menjalankan proses pengundian, situasi pasti menjadi lebih rumit untuk UMNO memberi penerangan kepada rakyat dalam menuju hari pembuangan undi.

Masih kabur

Rakyat di bawah masih kabur, masih perlu dijelaskan dalam pelbagai isu dalaman parti agar mereka tidak membuat pendapat sendiri di kedai kopi yang mungkin menjadi isu besar dan lebih menyedihkan tidak benar sama sekali.

Akar umbi mahu tahu apakah nasib Ahmad Zahid yang berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah dan kesan ke atas UMNO yang menjadi penentu hidup atau mati parti keramat orang Melayu itu.

Tiga juta ahli UMNO juga mahu jelas terhadap nasib bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak yang membawa imej besar dalam parti walaupun sudah didapati bersalah dalam kes melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Mereka juga ingin tahu apakah susulan khabar angin yang mengatakan langkah Najib serta sokongan untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimana tidak, migrain ahli UMNO perlu dicari penawar untuk menjelaskan cadangan bersama dengan Anwar dalam sebuah kapal yang bernama kerajaan selepas berpuluh-puluh tahun bergasak untuk menewaskan ikon reformasi itu sejak zaman Pakatan Rakyat (PR) sehingga ke Pakatan Harapan (PH).

Pada saat menanti apakah tindakan Ahmad Zahid, bagaimana strategi yang akan digunakan, teori apa yang perlu diaplikasi untuk membawa UMNO melayari bahtera bersama kesetiaan kepada seorang nakhoda, orang nombor dua, Datuk Seri Mohamad Hasan pula dilihat sepi tanpa berita.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga seolah-olah tidak melakukan apa-apa usaha untuk mengembalikan keyakinan pengundi selain penerangan hala tuju UMNO.


Masih senyap

Selain Ahmad Zahid dan Mohamad, panglima-panglima lain dalam UMNO juga perlu dipertikai kerana senyap seribu bahasa kini.

Apakah mereka sudah terlampau selesa dalam dunia masing-masing tanpa memperdulikan rintihan serta keresahan ahli yang semakin lama semakin keliru dengan apa yang sedang dan bakal berlaku?

Ahli bawahan ini juga sudah tersekat langkah dan tidak tahu apa lagi yang mahu diceritakan kepada rakyat terutama orang Melayu untuk menerangkan langkah susulan yang mahu dilakukan panglima-panglima parti demi masa depan yang lebih baik.

Menteri-menteri UMNO seperti Datuk Seri Ismail Sabri juga masih belum membuat penjelasan kepada akar umbi UMNO dalam isu hala tuju parti walau tidak dinafikan tampil hampir setiap hari di kaca televisyen dalam isu penerangan usaha menangani COVID-19.

Ahli UMNO juga menanti apakah langkah seterusnya Datuk Seri Hishammuddin Hussein setelah tidak mahu bertanding pada pemilihan UMNO sebelum ini selepas BN kalah pada PRU yang lalu.

Mereka melihat Hishammuddin saban hari terlalu sibuk dengan kerja-kerja di kementeriannya sehingga ahli-ahli UMNO ternanti-nanti maklumat dan strategi untuk mula bekerja menuju PRU15.

Situasi bertambah parah apabila beberapa menteri UMNO di dalam kerajaan PN yang sudah dicop 'berwajah UMNO tetapi berjiwa Bersatu' seperti dilabel ke atas Datuk Dr Noraini Ahmad dan Khairy Jamaluddin yang masing-masing menerajui kementerian penting pada masa ini.

Realitinya, akar umbi UMNO terpinga-pinga menantikan strategi, pelan tindakan dan hala tuju daripada pimpinan parti itu untuk digembelingkan dalam usaha mereka untuk kembali menang pada PRU akan datang, setidak-tidaknya mencatatkan prestasi lebih baik berbanding PRU14!

Keputusan lebih baik tentu mengembalikan kepercayaan rakyat yang satu masa dahulu melihat UMNO sebagai parti pemerintah dan boleh membantu akar umbi dalam pelbagai aspek.

Inilah masa paling tepat untuk bermuhasabah, mengenang kembali nasib, belajar dari sejarah serta menilai kembali kepimpinan teraju utama parti hari ini bukan lagi pimpinan yang layak untuk membawa UMNO kembali ke era kegemilangannya.

Jika tetap gagal, status 'Abang Besar' yang pernah dipegang akan menjadi lipatan sejarah selain diambil alih oleh Bersatu atau Pas.

Parti selain UMNO itu juga berpotensi untuk mendapat tempat di hati rakyat yang mahukan pemimpin yang bersih, kompeten dan mampu menyatukan semua, tidak kira parti atau kaum di negara ini.

Wan Syamsul Amly
wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI
lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan: