Header Ads

Header ADS

Isu Covid-19, penangguhan pilihan raya antara ‘menu’ hari pertama Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR:
Persidangan hari pertama Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Parlimen ke-14 hari ini akan menjawab banyak persoalan mengenai Covid-19 dan usaha kerajaan dalam menanganinya, termasuk dalam hal berkenaan pilihan raya.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, hampir majoriti soalan dalam turutan awal pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan adalah berkenaan Covid-19.

Dalam isu pilihan raya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadual menjawab soalan Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mengenai sama ada kerajaan bercadang meminda Perlembagaan atau mewujudkan rang undang-undang khusus bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik.

Selain itu, Muhyiddin turut dijadual menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PPBM-Sabak Bernam) yang mahu tahu sejauh mana impak ekonomi Covid-19 terhadap individu, isi rumah dan syarikat perniagaan, selain dasar dan langkah kerajaan dalam memacu ekonomi ke arah berdaya tahan.

Isu Covid-19 terus mendapat perhatian hari pertama dengan soalan daripada Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang mahu kepastian sama ada program atau kursus pembangunan keluarga dan masyarakat dapat dijalankan secara berterusan dalam keadaan wabak berkenaan.

Ia turut disentuh ahli Parlimen yang mahu tahu impaknya terhadap belia dan penjaja kecil.

Sidang Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan bacaan kali pertama untuk Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 dan RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 akan dibentang.

Sementara itu, RUU Koperasi (Pindaan) 2020, RUU Racun (Pindaan) 2019 dan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 akan dibentang untuk bacaan kali ke-2.

Parlimen yang kembali bersidang hari ini turut melihat semua ahli Parlimen dan petugas Parlimen dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di dalam dewan.

Mereka juga diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dibuat di bangunan Parlimen kira-kira seminggu sebelum sidang bermula.

Sesi Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

#Sumber : FMT 

  


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


1 ulasan:

Imej tema oleh A330Pilot. Dikuasakan oleh Blogger.