Header Ads

ads header

Flash News

Sekolah ditutup bukan bermakna tiada pembelajaran


KUALA LUMPUR:
Keputusan menutup sekolah bukanlah bermakna cuti sekolah, sebaliknya pelajar masih perlu mengikuti sesi pengajian di rumah menggunakan kaedah pembelajaran dari rumah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, berkata sesi pembelajaran terus berlangsung sama ada menerusi dalam talian, luar talian, luar kawasan seperti yang disarankan Kementerian Pendidikan terutama kepada calon peperiksaan awam.

"Ini bagi membolehkan calon peperiksaan membuat persiapan akhir dan juga untuk mereka lebih bersedia untuk menduduki peperiksaan awam mulai 22 Februari.

"Pada waktu ini, sebarang tugasan belum siap atau mereka yang belum mengambil peperiksaan percubaan, kita akan melaksanakannya sebelum peperiksaan sebenar pada Februari," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual bertajuk 'Penutupan persekolahan, perubahan kepada peperiksaan' yang disiarkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 RTM, hari ini.

Bermula Isnin lalu hingga 17 dan 18 Disember, kerajaan mengumumkan penutupan sekolah dan pindaan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada 22 Februari depan dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak ke 8 Mac 2021.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

Habibah berkata, peperiksaan percubaan tetap diteruskan kerana melaluinya kementerian dapat mengukur tahap kesediaan pelajar.

Setakat ini, katanya sebanyak 2004 sekolah atau 85 peratus daripada 2,350 sekolah menengah sudah mengadakan peperiksaan percubaan SPM, sebelum sekolah ditutup mulai 9 November lalu.

"Peperiksaan percubaan ia juga akan memberi maklum balas kepada kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah serta sekolah itu sendiri, bagaimana persediaan murid dan bagaimana kita boleh membantu lagi pelajar untuk menghadapi peperiksaan sebenar," katanya

Mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah tahun depan dan membenarkan menduduki peperiksaan, Habibah berkata, jika dilihat sesi persekolahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar kelas peperiksaan yang dibenarkan terlebih dahulu kembali ke sekolah apabila ia dibuka.

"Apabila sekolah mula dibuka pada pertengahan tahun, kita memasukkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang mana kadar kehadiran mereka sangat tinggi dan melebihi 90 peratus.

"Ini menunjukkan ibu bapa yakin dengan garis paduan dan langkah diambil kementerian untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar ketika berada di sekolah.

"Kita mendapatkan pandangan dan nasihat dalam menyediakan garis paduan itu termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai pihak lain," katanya.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan