Header Ads

ads header

Flash News

Cabaran pendidikan atas talian: Realiti atau fantasi?


SELAKU Mantan Menteri Pendidikan, saya hari ini merasa terpanggil untuk berbicara mengenai isu Pendidikan yang sedang hangat diperkatakan sekarang iaitu berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran Atas Talian.

Isu ini sememangnya sangat dekat dihati saya kerana saya sendiri pernah melalui pengalaman selaku guru dan pendidik untuk satu tempoh yang agak lama suatu ketika dahulu.

Dunia Pendidikan itu sendiri sebenarnya amat kompleks dan holistik. Pelbagai perkembangan telah berlaku sejak berkurun lamanya. Pelbagai pembaharuan dan inovasi juga sudah kita lihat sejak dahulu hingga kini.

Dalam konteks kita hari ini yang berdepan dengan bahaya pendemik COVID-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita lalui buat pertama kalinya dalam sejarah iaitu pada bulan Mac 2020 dan sekali lagi PKP 2.0 sekarang ini, menyebabkan sesi persekolahan secara bersemuka tidak lagi dapat diadakan.

Pilihan yang ada, hanyalah sesi pengajaran dan pembelajaran atas talian. Persoalannya, apakah fantasi kita dalam kaedah atas talian yang sempurna itu benar-benar menjadi satu realiti?

Kemelut timbul. Polemik menjadi-jadi. Ibu bapa bersuara. Murid menjadi apa? Guru nak buat apa?
Ternyata COVID-19 yang mencengkam dunia sejak awal tahun lalu menjadi asbab kepada penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran atas talian bagi sesi persekolahan.

Mengimbas masa lalu, teknologi internet mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 1983. Pada 1991, rangkaian komunikasi internet secara bersepadu menerusi JARING dengan kelajuan 64Kbps diperkenalkan di negara ini.

Sehingga suku kedua 2015, purata kelajuan internet Malaysia ialah 6.0 megabit sesaat. Malaysia ketika itu menduduki tangga ke-70 bagi senarai Negara Internet dunia.

Berdasarkan laporan The State of LTE oleh OpenSignal, setakat Februari 2018, Malaysia mempunyai kadar penembusan 4G sehingga 74.88 peratus.

Purata kelajuan capaian internet 4G di Malaysia pula pada kadar 14.83 megabit per saat (Mbps), iaitu antara yang terendah dalam kalangan 88 buah negara yang dikaji.

Kini, kelajuan terpantas internet sudah mencapai 1 gigabit sesaat (Gbit/s).

Suka tak suka, hakikatnya capaian internet di negara ini adalah antara yang paling perlahan dan paling mahal di dunia.

Itu cerita kelajuan internet di kawasan bandar utama di Malaysia. Di luar bandar dan kawasan pedalaman, kita semua maklum. Hingga ada pihak yang teruk mengecam dan dikecam apabila berlaku kejadian seorang pelajar universiti terpaksa mendirikan khemah di atas bukit di dalam hutan dan memanjat pokok untuk mendapatkan rangkaian internet.

Bercakap mengenai sekolah pula, statistik pada 31 Disember 2020 menunjukkan terdapat 10,225 buah sekolah di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 5,898 buah sekolah berada dalam kategori Kawasan Bandar dan 4,327 buah sekolah di Kawasan Luar Bandar.

Dalam kategori Sekolah Luar Bandar itu pula, sejumlah 645 buah sekolah terletak di Kawasan Pedalaman yang dibahagikan pula kepada tiga kategori iaitu 215 buah sekolah di kawasan Pedalaman Satu, 146 buah sekolah di Pedalaman Dua dan 284 buah sekolah di Pedalaman Tiga.

Manakala jumlah guru keseluruhannya adalah seramai 413,528 orang dan jumlah murid pula seramai 4,768,892 orang.

Daripada jumlah itu, 109,452 orang guru dan 1,036,829 orang murid berada di kawasan Luar Bandar.
Isunya sekarang ialah bagaimana dengan nasib sekolah, guru dan murid di luar bandar berdepan dengan realiti capaian internet?

Satu kenyataan yang agak pahit untuk ditelan sebenarnya untuk kita akui bahawa capaian internet di luar bandar amat menyedihkan.

Bukan berniat untuk mencari salah sesiapa. Hakikatnya, penyelesaian masalah capaian internet di luar bandar seharusnya diambil secara tanggungjawab bersama oleh pihak kerajaan dan syarikat pengendali telekomunikasi yang boleh dicapai secara menang-menang.

Kita jangan malu untuk melihat bagaimana negara lain seperti Indonesia, Nepal dan Vietnam melebarkan jalur rangkaian internet mereka hingga ke kawasan pedalaman.

Secara ringkasnya, saya menggariskan lima cabaran isu pengajaran dan pembelajaran atas talian ini iaitu:-

1. Ketiadaan peranti dan jaringan internet yang sempurna di Kawasan Luar Bandar
2. Persekitaran hidup murid yang kurang kondusif
3. Penguasaan kemahiran guru terhadap pedagogi digital
4. Mentaliti murid, ibu bapa dan guru
5. Tahap keberkesanan penyampaian pengajaran dan pembelajaran

Benar kata Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim bahawa pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah tidak hanya terbatas kepada pembelajaran atas talian semata-mata.

Ianya juga boleh diadakan secara di luar talian iaitu menerusi bahan bercetak dan juga TV Pendidikan di mana KPM sedang merancang untuk menambah siaran TV Pendidikan di saluran RTM dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menambahbaik kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam situasi COVID-19 sekarang.

Sebenarnya ramai yang tidak sedar bahawa siaran TV Pendidikan KPM telah lama beroperasi menerusi TV OKEY RTM, Astro Tutor dan NTV7.

TV OKEY boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV, saluran 146 di Astro dan Astro Njoi. Manakala siaran di Astro Tutor pula di saluran 601 dan 603.

Di sini juga, ingin saya berkongsi beberapa cadangan untuk penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran atas talian iaitu:-

1. Pembelajaran dalam talian yang bukan 'real time' seperti menggunakan Google Classroom dan aplikasi Telegram.

2. Mempraktikkan jadual waktu pengajaran dan pembelajaran atas talian secara anjal mengikut tahap murid bagi mengatasi masalah ibu bapa yang mempunyai masalah kekurangan gajet tetapi memiliki anak sekolah yang ramai. Dengan cara jadual waktu anjal itu, anak-anak boleh menggunakan gajet bukan secara serentak.

3. Menyediakan modul standard kaedah pengajaran atas talian kepada semua guru
Ternyata, sektor pendidikan ini sememangnya mempunyai pemegang taruh yang amat besar membabitkan jumlah sekolah, guru, murid dan juga ibu bapa yang mempunyai kepentingan di dalamnya.

Apa sekalipun, bagi saya aspek ‘Kemenjadian Murid’ menjadi satu elemen yang amat penting dalam apa jua kaedah pengajaran dan pembelajaran sama ada bersemuka di sekolah ataupun atas talian.

Bagi ibu bapa pula, pendidikan anak-anak tentunya merupakan pelaburan untuk masa depan.

Penting juga untuk ibu bapa kini mengambil sikap tidak lepas tangan di rumah dengan turut sama memikul tanggungjawab menjadi 'pembantu guru' untuk pembelajaran anak-anak.

Datuk Seri Mahdzir Khalid




Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan