Header Ads

ads header

Flash News

Umno yakin mampu kuasai Terengganu PRU akan datang


Umno Terengganu yakin parti itu dapat merampas semula kerajaan negeri itu daripada PAS jika mereka bertanding di semua kerusi DUN - serta parlimen - pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata pentadbiran negeri itu boleh bertukar tangan jika dilihat dengan rekod keputusan PRU sebelum ini.

Bekas menteri besar Terengganu itu turut membuat perbandingan antara PRU ke-10 (pada 1999) dan PRU ke-11 (pada 2004) membabitkan Umno dan PAS.

Pada 1999 kerajaan Terengganu jatuh ke tangan PAS yang ketika itu bekerjasama dengan PKR. Ia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh gerakan reformasi ekoran penyingkiran Anwar Ibrahim daripada Umno.

Bagaimanapun BN kembali merampas Terengganu dengan jumlah kerusi yang kukuh pada PRU berikutnya dan PAS kembali menjadi pembangkang.

Umno dan PAS kini diikat oleh piagam bersama melalui Muafakat Nasional. Bagaimanapun di Terengganu kerjasama itu dilihat rapuh dan Ahmad sudah beberapa kali menegaskan Umno akan tetap bertanding di semua kerusi yang ada di negeri berkenaan.

Jika ia menjadi kenyataan pada PRU akan datang Umno dan PAS akan bertembung sesama sendiri, selain kemungkinan dicabar oleh calon Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod di sebalik kerjasama rasmi dalam Muafakat Nasional, PAS juga menjadi parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu. Umno pula setakat ini secara umum dilihat memusuhi Bersatu.

Boleh berubah macam-macam

Kata Ahmad Umno memang yakin mampu memenangi semua kerusi yang ditandinginya nanti.

“Kita yakinlah sebab kita tengok Terengganu ni, sejarah dia... PAS perintah satu penggal saja,” katanya apabila ditanya tahap keyakinan Umno Terengganu dalam merampas semula kerajaan negeri.

“Contohnya pada 1999 kita kalah 28-4 (kepada PAS). Umno hanya tinggal empat kerusi, tapi bila 2004, apabila PAS tak mampu menunaikan tanggungjawab (seperti) Umno (lakukan) sebelum itu, kita ambil 28-4. (Perubahan) 360 darjah berpusing,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambah Ahmad PAS menang di Terengganu pada 1999 bukanlah kerana kekuatan parti itu sendiri tapi penyokong Umno ketika itu berpecah dengan wujudnya PKR.

Katanya Umno dilanda isu besar ketika itu dan diburukkan lagi dengan pemilihan calon merupakan penyebab parti itu kalah.

Ahmad bertemu Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pada 2020

Namun kata Ahmad dengan adanya isu semasa dan perbincangan dengan Umno bahagian sebelum calon diputuskan parti itu mempunyai peluang untuk menguasai Terengganu.

“Taklah sampai kita tinggal 10 (kerusi),” katanya yang merujuk kepada keputusan PRU 2018 lalu.

Secara keseluruhan Terengganu mempunyai lapan kerusi parlimen, dengan enam daripadanya dimenangi PAS manakala selebihnya - Hulu Terengganu dan Besut - dimenangi BN.

Namun, ahli parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, kemudian melompat parti menyertai Bersatu selepas PH membentuk kerajaan pusat.

Di peringkat DUN pula, PAS memenangi 22 kerusi dan baki 10 kerusi lagi dimenangi BN.

Mengulas lanjut mengenai keputusan Umno Terengganu untuk bertanding semua kerusi di negeri itu, Ahmad berkata PAS perlu faham, meskipun mereka menang pada PRU ke-14 dan mentadbir negeri tetapi rekod keputusan PRU sebelum ini wajar dilihat semula.

“Takkan dia (PAS) menang sekali kita nak beri terus kepada dia? Lagipun Terengganu ni kan ‘negeri yoyo’… Ia (pentadbiran) boleh berubah macam-macam.

“(Perkara sama) pernah berlaku di Kedah, sama juga - sekali (PAS) menang lepas tu Umno menang balik,” katanya.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


4 ulasan:

  1. Cukup la kalau setakat nk baham projek kjaan lg.

    BalasPadam
  2. Mat Said nak rebut jawatan MB la tu. Hem memang langsung Tak layak.

    BalasPadam
  3. Mengigau subuh hari dia ni kehkehkeh

    BalasPadam
  4. mustahil mad said masih ada pengikut...

    BalasPadam