DUNGUN:
Keseronokan lima sahabat mandi-manda di Sungai Dungun berhampiran
Kampung Minda, Jerangau di sini berakhir tragedi apabila dua daripadanya
mati lemas, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa yang terlibat
ialah Mohd. Subree Ahmad Tajuddin, 38, yang berasal dari Sungai Petani,
Kedah dan Ariff Razali, 34, dari Selayang, Selangor.
Kedua-dua mangsa adalah kakitangan syarikat minyak dan gas di Paka,
di sini yang datang berkhemah ke lokasi berkenaan sempena cuti umum di
Terengganu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, sebelum
kejadian, kedua-kedua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka mandi di
tengah sungai sebelum dihanyutkan arus.
“Bagaimanapun, pemuda berkenaan dapat menyelamatkan diri, namun kedua-dua mangsa hanyut dan tenggelam ke dasar sungai.
“Mayat Mohd. Subree ditemukan terapung pada jarak 10 meter oleh
rakan-rakannya manakala mayat kedua ditemukan di dasar sungai oleh
pasukan penyelamat pada pukul 1.27 petang
kira-kira 40 meter dari lokasi terakhir dia dilihat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Baharudin berkata, mayat kedua-kedua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, salah seorang rakan mangsa, Aris Adam, 30, berkata,
dia yang ketika itu mandi di kawasan cetek panik selepas melihat dua
rakannya dihanyutkan arus.
“Saya dan beberapa rakan lain tidak tahu berenang jadi kami tidak
dapat menyelamatkan mangsa. Selang beberapa minit, kami nampak Mohd.
Subree terapung dan segera menariknya ke tebing namun dia sudah
meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan