Ucapan Perasmian Sayap Wanita Pemuda dan Puteri UMNO oleh YB Datuk Seri Utama Mohamad Bin Hasan
Para perwakilan sekalian,
- Saya sangat berbahagia dapat bersama dengan semua
perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri pada pagi ini. - Dalam gawatnya pandemik ini, Allah SWT terus
mengizinkan kita berhimpun untuk melangsungkan urusan
parti dan negara. - Maka marilah kita memanjat setinggi-tinggi syukur dan
pengEsaan kepada Allah SWT yang Maha Mengasihi dan
yang Maha Mengetahui atas semua yang telah ia aturkan
kepada kita.
Para perwakilan yang saya hormati,
- Tahun ini genap 75 tahun usia UMNO. Tiada yang
keramatnya UMNO ini tetapi yakinlah, orang Melayu dan
Malaysia tidak boleh tidak mempunyai UMNO dalam
persadanya. - Dalam usia yang sangat matang ini, insya-Allah UMNO
akan terus mengemudi watan ini dengan sebaik-baiknya.
Akan UMNO jaga tanahair ini dengan seelok-elok jagaan
dan asuhan. - Tidak akan lupa kita pesan pendiri UMNO, Almarhum Dato’
Onn Bin Jaafar. “Kita hendaklah mengesek biola dengan
kuat akan lagu gesekan kita. Jangan sampai orang lain
mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu
gesekan”.
Para perwakilan yang dikasihi;
- Kita berhimpun pada kali ini dalam keadaan yang masih
tidak menyenangkan. Pentas politik, persekitaran ekonomi
dan kedudukan sosial bangsa Malaysia sedang berada
pada saat genting dan getir. - Keadaan yang secara ringkasnya boleh digambarkan
dengan istilah ‘kerancuan’ – iaitu satu situasi kucar kacir,
terumbang ambing dan bercempera. - Wabak Covid-19 telah meletakkan keseluruhan negara dan
rakyat dalam keadaan yang sangat sukar. - Dalam sekelip mata, kita kehilangan status quo sebagai
negara membangun paling berjaya. Jumlah rakyat kita
yang jatuh ke dalam kelompok miskin berlipat ganda. - Mereka yang hilang pekerjaan semakin tidak terhitung oleh
angka. - Peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang terpaksa
menutup perniagaan, tidak pasti jika mereka akan
berupaya beroperasi semula. - Golongan kelas menengah semakin mengecil. Anak-anak
sekolah ketinggalan dalam pendidikan sehingga
mewujudkan jurang yang ketara. - Universiti tidak dibuka. Mahasiswa kehilangan nikmat dan
peluang menimba pengalaman hidup yang selayaknya
mereka rasai. - Demokrasi negara ini juga semakin merosot. Ruang
kebebasan bersuara semakin mengecil. Malah sering
sahaja dikongkong. Parlimen sebagai entiti yang
mengangkat nilai sebenar demokrasi dilumpuhkan dan
perlembagaan tidak dijunjung dengan luhur. - Ahli Parlimen memperjudikan mandat rakyat dengan
sesuka hati demi kepentingan peribadi masing-masing. - Iklim politik kita seperti dilanda langkisau1. Ramai yang
sasau, ramai yang meracau. - Mereka melompat dari satu kolam ke kolam yang lain.
Tanpa malu tanpa segan silu. Seakannya negara kita
dalam tempoh pandemik ini, lebih memerlukan larangan
rentas parti, berbanding larangan rentas negeri. - Semua ini sesungguhnya ujian besar dari Allah SWT.
Namun, dalam setiap ujian yang diberikan, sabar dan tabah
itu hanyalah sebahagian sahaja dari cara kita
menghadapinya. - Sebahagian lagi mestilah diisi dengan kesungguhan dan
ikhtiar untuk keluar dari kesukaran ini. Tawakal kita, pasrah
dan reda kita, mesti selari dengan semangat dan usaha
kita. Hanya dengan yang demikian, Insya-Allah, dampak
pandemik ini dapat kita hadapi dengan baik.
Saudara dan saudari sekalian,
- Kita mesti mengakui, sekali pun ada kelemahan di sana
sini, wabak COVID-19 di negara kita sebenarnya masih
terkawal jika dibandingkan dengan negara-negara luar. - Selama setahun, kita telah mengharunginya dengan baik
melalui kepelbagaian intervensi pada setiap ruang dan
dimensi.
1 Angin deras, ribut dari pelbagai arah.
- Seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Di
Raja Malaysia, Angkatan Tentera dan semua kakitangan
pelbagai agensi yang menjadi barisan hadapan, sangat
komited dan profesional dalam menjalankan
tanggungjawab mereka. - Kita sangat berterima kasih kepada mereka. Marilah kita
semua memberikan satu penghargaan yang sangat ikhlas,
mendalam dan tidak terhingga kepada mereka semua.
Para perwakilan yang saya hormati; - Perpaduan ummah telah menjadi terma yang begitu tular
dan lumrah kebelakangan ini. - Semua pihak bercakap mengenainya. Seolah-olah ummah
telah berpecah belah sehingga ke tahap yang sangat
parah. - Saya mempunyai pandangan yang berbeza. Pada saya,
kedudukan perpaduan orang Melayu tidaklah terlalu
meruncing. Sesekali sudah pasti ada sedikit kocakan
disana dan sini. Itu lumrah. Bumi mana tidak ditimpa hujan. - Tetapi secara umumnya, perpaduan orang Melayu
sebenarnya semakin mengukuh. Semenjak UMNO dan
PAS menerokai jalan perpaduan, orang Melayu dalam
kedua-dua parti besar ini semakin erat dan akrab, sehingga
membuahkan pelbagai kejayaan dalam beberapa PRK
yang lepas. Kita leraikan pergeseran silam, kita bersatu
atas nama Islam dan Melayu. - Namun, tentu sekali kita akan melihat perpecahan jika
konsep perpaduan bangsa Melayu itu ditafsirkan dalam
konteks politik semata-mata. Jadi, janganlah perpaduan
ummah itu, pada kita tidak lebih dari sekadar parti-parti
Melayu duduk bersama dalam sebuah perikatan politik. - Tafsiran sebegini sangat cetek. Ini kerana, jumlah orang
Melayu yang diwakili oleh kedua-dua parti besar Melayu
sebenarnya hanyalah dalam lingkungan 4 juta sahaja. - Sedangkan, berbelas-belas juta lagi orang Melayu di luar
sana yang tidak berparti, tidak menyertai UMNO dan PAS,
apatah lagi PPBM. Namun mereka membentuk sebahagian
besar ummah yang kita sebut-sebutkan ini. - Jadi, seruan kepada perpaduan ummah mestilah dibaca
dalam konteks yang lebih besar. Ia mesti benar-benar
bertujuan menyatukan semua orang Melayu. Merentas
ideologi politik, merentas kepentingan kuasa dan merentas
status sosial. - Ia mesti menjangkaui laba politik dan tidak menjadi sekadar
strategi untuk menang dalam pilihanraya. Sedangkan nasib
dan masa depan ummah belum tentu akan dipedulikan
selepas itu. - Atas dasar itu, saya ingin membuat penegasan penting.
Bahawa sebagai gerakan yang telah lama
memperjuangkan orang Melayu, iltizam UMNO terhadap
kepentingan ummah jangan sesekali dipersoalkan. - UMNO telah lama merintis kesepakatan bangsa Melayu,
merentas parti dan ideologi, semasa menentang Malayan
Union. - UMNO telah terlebih dahulu menggembleng pelbagai
usaha mengumpul dana, sokongan dan bantuan orang
Melayu, Cina dan India bagi merunding dan menuntut kemerdekaan. - UMNO memeta, jalan perpaduan pelbagai pihak dan kaum,
selepas berlakunya peristiwa 13 Mei dan memulihkan
semula kestabilan politik di Malaysia. - Setelah diisytiharkan haram pada 1988, UMNO terus
berupaya menyatu padukan Malaysia dengan sokongan
pelbagai parti komponen. Malah masih terus memimpin
Kerajaan. - Sewaktu peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri
pada tahun 1997, ramai orang Melayu marah dan
menunjuk perasaan. Ramai yang turun ke jalan, menggila
dan berdemonstrasi. - Namun, kerana matlamat yang jelas dan kerja keras,
Alhamdulillah, UMNO terus menang dengan majoriti dua
pertiga. Dan perkara itu berlaku kerana, UMNO mempunyai
sokongan dan keyakinan pelbagai lapisan masyarakat
untuk terus mengurus Malaysia. - Jangan kita lupa, dalam segala perselisihan yang pernah
wujud, UMNO tetap menerima kembali Semangat 46 ke
pangkuan perpaduan bangsa. - Dan bila UMNO gagal membentuk Kerajaan 3 tahun lalu,
UMNO menghulur tangan perpaduan kepada PAS
sehingga terbentuknya Muafakat Nasional. - Jadi, kepada pemimpin serpihan parti Melayu yang baru
setahun jagung usianya, usahlah tuan-tuan berbicara
tentang perpaduan ummah dengan UMNO. Bila tuan-tuan
sendiri tidak punya sebarang rekod menyatu padukan
bangsa Melayu dan rakyat Malaysia. - Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan
UMNO, kalau tuan-tuan sendiri berentap dengan mereka
yang sebelum ini tuan-tuan peluk dan dakap mesra. - Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan
UMNO, kalau yang tuan-tuan tahu, hanyalah memancing
dan mengutip sesiapa sahaja yang pantas meninggalkan
perjuangan bangsa. Termasuklah mereka yang selama ini
tidak berhenti-henti menghina dan merendah-rendahkan
orang Melayu. - Mereka inilah yang sebenarnya anti perpaduan Melayu.
Mereka tidak pernah memperjuangkan sebarang usaha
perpaduan. Sehinggalah apabila nyawa mereka seperti
telur di hujung tanduk, kelangsungan parti mereka menjadi
begitu getir, baharulah mereka mula tergagap-gagap
bercakap tentang perpaduan bangsa. - Lebih menjelikkan, bila mereka yang meninggalkan PKR
turut tidak malu mahu bercakap berkenaan perpaduan
ummah. Sedangkan selama berpuluh-puluh tahun,
perjuangan mereka tidak pernah sekali pun menjurus
kepada kebaikan orang Melayu, apatah lagi perpaduan
ummah. - Maka dengarlah wahai seluruh perwakilan UMNO dan
bangsa Melayu. Saya tegaskan dengan setegas-tegasnya.
Bahawa perpaduan bangsa Melayu, adalah cita-cita besar
yang UMNO telah dan akan terus dukung dengan tegas
dan setia. - Ia tidak akan kami lacurkan dalam matlamat politik yang
sempit. Ia tidak akan kami leburkan dalam perlumbaan
kuasa yang tidak cerdik. - Yang akan UMNO usahakan adalah, perpaduan seluruh
bangsa Melayu. Yang berpolitik atau tidak, yang berparti
atau tidak dan yang dalam kerajaan mahupun
pembangkang. Semuanya akan kita pandang dan kita
undang. Rukunnya hanya satu, iaitu Melayu! - Semua ini mesti kita jayakan dengan hanya satu tujuan.
Iaitu demi membangunkan kebingkasan orang Melayu.
Dan bukan untuk menyelamatkan mana-mana individu
atau perikatan politik tertentu. - Dan saya tegaskan juga. Pada UMNO, perpaduan Melayu
bukan sekadar mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu,
tetapi juga perpaduan nasional. - UMNO dan BN akan memperjuangkan perpaduan Melayu
dan perpaduan nasional tanpa terpisah-pisah. Ia bergerak
seiring dan akan saling diperkuat. - Alasannya mudah. Masa depan Malaysia tidak akan cerah
dan mencukupi dengan jaminan perpaduan Melayu sahaja. - Tetapi, jaminan masa depan Malaysia yang baik, harus
hadir bersama perpaduan semua kaum. Perpaduan yang
saling berakar, mengukuh satu sama lain, demi Malaysia
yang kita cintai.
Para perwakilan sekalian,
- Dalam perhimpunan agung lepas, saya telah
mengutarakan pandangan saya tentang ‘The Era of
Disruption’ dan bagaimana kita akan menghadapi ‘Massive
and Mega Disruption’ dalam setiap aspek kehidupan
ekonomi, perniagaan, sosial dan politik. - Semuanya dipacu oleh perubahan sikap, gaya hidup dan
pemikiran. Kerana lambakan maklumat yang luar biasa
derasnya dek kemajuan teknologi yang kita nikmati pada
hari ini. - Politik Malaysia juga tidak terkecuali. Apa yang kita lalui
waktu ini, menunjukkan bahawa politik Malaysia telah
sangat terusik atau ‘Severely Disrupted’. - Walau bagaimanapun, kecelaruan politik Malaysia tidak
berlaku kerana ledakan teknologi dan maklumat. Tetapi
ledakan nafsu serta kegilaan terhadap kuasa dan
kedudukan. Sehingga melenyapkan segala sistem nilai,
kompas moral dan prinsip murni yang selama ini memimpin
kita dalam politik. - Realitinya, kita sedang melalui krisis politik yang tidak
pernah kita lalui sebelum ini. Bahkan, tidak nampak tanda-
tanda bahawa krisis politik kita akan berakhir segera. - Semua ini mengundang kebimbangan yang sangat mendalam.
- Pertama, dengan segala kegilaan yang kita lihat
sekarang ini, apakah bentuk pengakhirannya? - Kita hanya boleh meneka-neka. Apakah ada keuntungan
dari semua ini kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia?
Dan jika pun ada sekelumit untung, sejauh mana dan
setakat manakah ia akan bertahan? - Kedua, tidakkah krisis politik yang kita hadapi ini, akan
memudarkan kepercayaan rakyat terhadap gerakan
politik dan budaya demokrasi? - Sekarang ini rakyat sudah mual dan jelak dengan orang
politik. Jangan sampai rakyat Malaysia hilang segala
kepercayaan serta muak dengan semua kita. Sehingga
mereka membuang terus apa-apa sahaja idealisme yang
ada. - Ketiga, apakah peranan UMNO dalam menghadapi
krisis ini? Bagaimana UMNO mesti mengurus
kecelaruan ini, sekali gus memastikan kita kembali,
menjadi lebih kuat dan lebih berpengaruh seperti
sebelumnya? - Kita telah merasai peritnya kekalahan apabila tumbang dan
ditolak semasa PRU 2018 yang lalu. Kita tidak mahu
melaluinya sekali lagi. - Kita mesti menyegerakan pencarian solusi kepada semua
kecelaruan ini, melalui strategi yang tuntas dengan
kesungguhan yang mendalam daripada semua perwakilan. - Penyelesaian yang UMNO ketengahkan mestilah bukan
sahaja untuk memulihkan kestabilan politik negara. - Yang lebih penting, ia mesti memastikan kita mampu
mengembalikan kepercayaan rakyat dari pelbagai kaum
terhadap UMNO. Untuk menjadi induk politik yang kuat,
UMNO mesti diterima dan disokong oleh semua Melayu
dan Bukan Melayu.
Para Perwakilan yang saya hormati sekalian;
- Jika hari ini kita dilanda krisis dan kecelaruan daripada
segenap sudut, maka percayalah bahawa pintu-pintu
peluang juga, sebenarnya sedang terbuka luas. - Dalam erti kata lain, permasalahan politik yang Malaysia
sedang lalui sekarang, turut membuka ruang dan peluang
keemasan kepada UMNO. Cuma, kita mesti bijak untuk
memanfaatkannya. - Rakyat telah menyaksikan kegagalan 22 bulan
pemerintahan PH. Kini, rakyat sedang melihat pula
ketidakcekapan dan kelembapan PN menguruskan
negara. - Walaupun UMNO adalah sebahagian dari Kerajaan PN,
namun peranan UMNO sangat terpencil dan tidak dominan.
Kita lebih duduk tunduk dari bangun menjadi induk.
Ditambah pula dengan pendirian jelas, UMNO untuk tidak
menyertai parti PN sejak awal dahulu. - Sedar atau tidak, senario-senario ini sebenarnya
memberikan UMNO kesempatan unik untuk
mengetengahkan semula BN sebagai Kerajaan pilihan
rakyat. Sama ada dalam kalangan Melayu mahupun bukan
Melayu. - Prestasi BN sebagai Kerajaan selama 60 tahun adalah jauh
lebih baik dan lebih berjaya. Belum nampak sebarang
petunjuk bahawa kerjasama politik seperti PH mahupun
PN, mampu menterjemahkan formula BN yang kita
laksanakan dulu. - Jadi, rakyat sebenarnya boleh diyakinkan, bahawa BN
harus dikembalikan segera untuk memerintah demi
kemakmuran Malaysia. - Kita bukan mahu mendabik dada, menyatakan hanya kita
yang paling pandai, paling tahu semua perkara. Bukan itu
maksud saya. - Cuma, BN yang diterajui oleh UMNO sebagai induk itu, ada
kelebihannya yang tersendiri, yang telah terbukti, malah
yang cuba ditiru oleh orang lain tetapi gagal. - Punca kegagalan mereka sebenarnya ialah, meminggirkan
UMNO sebagai parti terbesar Melayu. - Justeru, demi kestabilan politik di Malaysia, rakyat harus
diyakinkan bahawa, tidak ada kerajaan yang akan stabil
tanpa sokongan parti Melayu terbesar. Dan tidak ada parti
Melayu yang mempunyai pengaruh dan kesederhanaan
seperti UMNO. - Mungkin ramai yang menyoal. Bagaimana BN akan
memerintah kalau hanya dengan empat parti komponen? - Jawapan saya mudah. UMNO dan BN ini adalah entiti
politik. Ia hidup, dinamik dan progresif. Ia senantiasa
terbuka dengan segala rumus baharu dalam politik. - Ia bukan entiti pegun, yang tidak berevolusi. UMNO sedar
bahawa perubahan itu adalah sesuatu yang tidak boleh
dielakkan. - Maka demi masa depan Malaysia, UMNO melalui BN, wajib
meneroka semua kemungkinan yang wujud untuk
dimanfaatkan. - Jadi, berbekalkan keanjalan yang UMNO dan BN ada ini,
ia memungkinkan kita untuk “memeta pembaikan politik”,
atau “political correctness” yang baharu dan strategik. - Kenapa saya menganjurkan kesediaan untuk melakukan
pembaikan politik atau political correctness ini? - Pertama, kerana kita sedang berada dalam era ‘disruption’
dan ‘survival mode’. - Era ini menuntut kita keluar dari zon selesa dan
melepaskan diri dari sebarang kejumudan pendekatan
politik, yang selama ini membelenggu kita. - Telah tiba masanya untuk UMNO meneroka, jalan progresif
dengan memikirkan percaturan serta pembaikan politik
yang lebih sesuai zaman. - Kedua, jika parti lain memilih meninggalkan UMNO dan
BN, ia menandakan kita semakin menua dengan citra
ketinggalan zaman. Maka kita harus meremajakan citra
UMNO ini dengan menjadikan ia lebih baik dan bermutu. - Dan ketiga ada banyak cara dan jalan yang lebih baik
untuk mencapai pembaikan politik ini. Sama sekali bukan
dengan mengorbankan moral dalam berpolitik. - UMNO mesti memilih jalan yang lebih matang, unggul,
diterima dan bermaruah. Jalan yang tidak membiarkan
sesiapa berasa ditinggalkan, ditipu dan dikhianati. - Suka atau tidak, kita mesti mula menerima hakikat. Bahawa
sekarang ini adalah zaman kebarangkalian dengan seribu
kemungkinan. Akan sampai waktu UMNO, mesti meneroka
pembaikan politik dengan terbuka dan berani. - Selagi mana yang demikian itu dapat menyumbang kepada
penyelesaian kecelaruan politik di Malaysia tanpa
menggadaikan perkara-perkara asas yang kita pegang dan
perjuangkan. - Pendek kata, pembaikan politik yang ingin kita terokai dan
pertimbangkan, mesti dipagar dengan nilai, prinsip dan
syarat-syarat yang ketat. - Satu, ia mesti menguntungkan UMNO, orang Melayu
dan Islam. Mesti. Tidak ada kompromi. Perjuangan dan
kepentingan orang Melayu dan Islam tidak akan
ditinggalkan dan dikompromikan oleh UMNO. Apa guna
memegang kuasa kalau Melayu binasa. Apa guna
bekerjasama kalau Melayu kekal di takuk lama. - Dua, ia mesti melonjakkan UMNO menjadi induk dalam
pemerintahan negara. UMNO mesti memimpin segala
bentuk perkongsian kuasa atau kerjasama politik untuk
mengurus negara. Tiada pemerintahan, tanpa UMNO
sebagai induk dan terajunya. - Tiga, pembaikan politik ini mesti memberikan
kestabilan politik yang lestari. Bukannya sekadar sebuah
kerjasama terdesak, yang bersifat menangguk di air keruh,
dan dipenuhi dengan gunting dalam lipatan. Sehinggakan,
segala prinsip dan pendirian, terpaksa digadaikan berkali-
kali. - Kita tidak mahu ada lagi aktiviti kotor melelong ahli
Parlimen. Tidak ada lagi ugut-mengugut. Tidak ada lagi
senario mempergunakan darurat demi kelangsungan
kuasa politik. Dan tidak ada lagi percaturan tidak bermoral,
yang melingkupkan nilai dalam berpolitik dan amalan
demokrasi. - UMNO melalui BN akan bekerjasama hanya dengan
mereka yang berprinsip dan diterima rakyat. - Empat, biar apa pun pembaikan politik yang kita mahu
lakukan, ia mesti bersifat terangkum dan menjadi
wahana keadilan dan kebaikan untuk semua. Orang
Melayu, Bukan Melayu serta Malaysia. - UMNO akan menyantuni semua dan meneroka
persefahaman dengan semua. Parti politik atau bukan parti
politik, Kerajaan atau bukan kerajaan, rakyat biasa atau
golongan pemodal, yang tua atau remaja. Semua harus
menjadi pemegang taruh dalam pembaikan politik ini. - Ringkasnya, sebarang pembaikan politik yang kita mahu
ikhtiarkan, mesti menjadikan UMNO sebagai teras,
Malaysia sebagai asas dan kestabilan politik sebagai
matlamat, yang dipertahankan bersama, secara saksama. - Jadi, bagaimana UMNO akan menguruskan pembaikan
politik baharu ini? - Satu perkara yang pasti, UMNO tidak akan terburu-buru.
Membangun menjadi lebih baik, lebih bermutu dan lebih
unggul tidak akan ada jalan pintas. - Kalau kita benar-benar mahu memeta satu pembaharuan
politik, saya jamin pada semua, bahawa kepimpinan
UMNO akan mengambil pendekatan berhati-hati, dengan
perkiraan jangka masa panjang yang matang. - Ia akan berpandu nilai, mendapat dukungan akar umbi
parti, terangkum dan tidak meminggirkan mana-mana
pihak. - InsyaAllah, pembaikan politik yang UMNO usahakan
akhirnya mesti menjadikan politik di Malaysia lebih baik.
Dan dengan politik yang lebih baik ini, UMNO akan
mengusahakan sebuah pemerintahan, yang berpotensi
memulihkan Malaysia.
Para perwakilan yang saya hormati,
- Berdasarkan apa yang telah saya ucapkan, sudah pasti
ramai yang mula membuat perkiraan ataupun telahan.
Adakah kita akan benar-benar membuat satu pembaikan
politik yang baharu? Bilakah semua ini akan dimulakan?
Siapa yang akan kita pilih untuk di dampingi? - Jawapan jujur saya, belum ada sebarang ketetapan.
Semua ini masih kekal sebagai satu kemungkinan.
Semuanya harus melihat kepada keperluan dan keadaan.
Masa akan menentukan. - Tetapi, yang boleh ditegaskan, semua keputusan dan
tindakan dalam pembaikan politik ini, mesti diputuskan
oleh semua dan bukan segelintir. Ia mesti disepakati
dan bukan di paksa-paksa. - Sebab UMNO ini bukan parti terdesak. Kita bukan mereka
yang menjaja janji demi mengemis kuasa. - Kita akan kekal sebagai kita. Satu gerakan kebaikan, yang
tidak akan berhenti memberi kebaikan kepada orang
Melayu, orang Bukan Melayu dan tanah air Malaysia. - Namun apa jua yang strategik kepada UMNO, yang
diasaskan kepada nilai dan syarat, yang
menguntungkan UMNO, Melayu dan Islam serta demi
kepentingan Malaysia dan rakyatnya, setelah
mendapat sokongan akar umbi UMNO, maka UMNO
sangat bersedia untuk duduk berbincang, dan
meneroka jalan, bagi menyelesaikan krisis politik
negara. - Yang penting, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama
dengan kita, mesti meyakini kemampuan UMNO, untuk
menjadi pengemudi induk. Bukan pemain kedua, yang
sekadar dikutip, untuk memenuhi kuota, atau bilangan
kerusi yang diperlukan. - Tidak ada mana-mana pihak ataupun individu, yang boleh
memberitahu, atau mengarahkan UMNO, tentang
bagaimana dan dengan siapa, kita harus berunding untuk
membentuk sebuah kerajaan. - Tetapi buat waktu ini, biarlah UMNO memilih, untuk
memperlihatkan kekuatan sebenarnya, sebagai parti
politik, dengan keunggulan tersendiri, tanpa
mengorbankan kepentingan strategiknya. - Dan ini bermakna, UMNO tidak akan memperjudikan
mana-mana kerusi UMNO. Kerusi UMNO adalah kerusi
UMNO, dahulu, kini dan selamanya. Ia bukan untuk
dilepaskan, demi memberi talian hayat kepada mana-mana
pihak. - Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan UMNO. Kita
tidak akan mengalah. Kita tidak akan melatah. - UMNO tidak akan terpedaya, dengan retorik kepentingan
ummah, dan perpaduan Melayu, yang dibuat-buat. - Perpaduan ummah dan penyatuan Melayu, mesti dipimpin
oleh UMNO. Ia bukan umpan undi yang ditabur oleh
pendusta politik, yang bernaung dengan ‘kuasa tanpa
mandat’ dan tanpa kekuatan sebenar. - Yang pasti, dalam hasrat kita untuk memimpin semula
Malaysia, UMNO tidak akan mendesak sesiapa untuk
menyertai BN. - Sebaliknya, kita akan menggunakan pendekatan “Bekerja
dengan BN”. Agar satu keampuhan politik, boleh dibentuk
untuk mengurus negara selama 5 tahun mendatang,
dengan stabil dan cemerlang. - “Bekerja dengan BN” akan menjadi slogan yang membuka
pelbagai ruang, untuk UMNO meneroka pelbagai bentuk
kerjasama strategik, tanpa perlu terikat dengan pelbagai
konsensus politik, dan pensyaratan yang sempit dan
merugikan. - Bukan struktur dan formaliti yang kita utamakan. Tetapi ‘a
working formula’.
Para perwakilan sekalian;
- Adakah usaha pembaikan politik ini akan berjaya?
- Persoalan sedemikian tidak perlu PUN untuk dijawab.
Kerana tugas UMNO ialah untuk menjayakannya dengan
sebaik mungkin. Bagaimana UMNO akan menjayakannya?
Itu rahsia UMNO. - Yang pasti, kejayaan tidak akan tertunda, jika UMNO
meletakkan sasaran dan fokus dengan sasaran tersebut. - Jika UMNO sebelum ini mampu memerdekakan tanah air
dari penjajah, berupaya menjadikan Malaysia sebagai
negara membangun paling berjaya, maka UMNO sudah
pasti, lebih daripada layak, untuk mengepalai satu
pembaikan baharu dalam politik Malaysia ini. Insya-Allah.
Para perwakilan yang saya hormati;
- Perkara seterusnya yang saya ingin perkatakan pada pagi
ini ialah, segala pembaikan politik ini, tidak akan berlaku
tanpa kemenangan, dalam pilihanraya akan datang. - Ikhtiar membina semula Malaysia dan membaiki negara,
atau ‘the Remaking of Malaysia’ ini hanya akan berlaku, jika
kemenangan berpihak kepada kita. Apabila kita berjaya
memenangi PRU mendatang, barulah kita boleh
menggerakkan misi, sebagai pembaik pulih politik baharu
Malaysia. - Kerana itu, keutamaan UMNO sekarang ialah, memenangi
pilihanraya. Kita buang ke laut segala perkara lain. Kita
lupakan segala percaturan politik yang tidak bermanfaat
dan tidak bermoral. Kita mara dengan cara kita. - Kita mesti bersedia, berhadapan dengan rakyat dan
meyakinkan mereka, bahawa kita akan menjadi kerajaan
yang stabil, terangkum dan berfungsi. - Oleh hal yang demikian, keutamaan kita adalah,
mengusahakan persediaan yang mantap untuk
menghadapi pilihanraya nanti. - Pesan saya kepada seluruh perwakilan yang hadir, PRU
kali ini adalah ibu segala pertempuran, ‘the mother of all
battles’. - Kenapa saya berkata sedemikian? Ada dua perkara yang
menjadi sandaran saya. - Pertama, ia adalah PRU untuk mengembalikan semula
maruah UMNO yang tertewas dalam PRU lepas. - Bangkit dari sebuah kekalahan bukan perkara yang mudah.
- Ini adalah peluang terbaik untuk UMNO, mengembalikan
wibawa dan harga dirinya sebagai parti induk orang
Melayu. - Kedua, ia adalah satu-satunya peluang terdekat dan
terbesar untuk UMNO kembali menjadi Kerajaan dan
mentadbir negara ini. - Usah kita menunggu sepenggal dua lagi. UMNO mesti
segera kembali menjadi Kerajaan dengan cara yang
bermaruah, demokratik dan berdasarkan mandat sebenar
rakyat. - Maka, pilihanraya ini adalah perkara yang sangat
mustahak. Hanya dua kemungkinan yang ada. - Sama ada kita menang dan memerintah, atau kita sekali
lagi menjadi pembangkang dan diperkotak-katikkan! - Yang pasti. Kita tiada Pelan B atau apa-apa pelan lain pada
waktu ini. We must WIN. - Kita optimis untuk menang. Kita mesti memerintah semula.
Dengan usaha dan aliran pemikiran sedemikian, Insya-
Allah kita boleh dan akan menang. - Tetapi kemenangan, mesti diusahakan dengan sikap dan
mentaliti yang betul untuk menang. Ia tidak akan datang
bergolek. Oleh itu, pada perhimpunan kita kali ini, kita harus
segera membicarakan tentang cara dan strategi kita untuk
menang. - Yang pasti, untuk menang dalam PRU akan datang, ada
beberapa perkara yang mesti kita fahami. - Pertama, UMNO tidak boleh terkeliru tentang siapa
musuh kita sebenarnya. - Ini kerana menghadapi musuh yang nyata adalah lebih
mudah, dari menentang musuh yang tersembunyi. Api
dalam sekam sifatnya membakar lebih teruk, lebih sakit
dan lebih memusnahkan. - UMNO sepatutnya sudah tahu siapa mereka, walaupun
tanpa perlu untuk disebutkan di sini. Cuma, beringatlah,
musuh kita amatlah licik dan sanggup berbuat apa sahaja
untuk memusnahkan kita. - Kedua, UMNO mesti menguruskan mereka yang
berpura-pura mendukung UMNO tetapi jiwa mereka
sebenarnya telah dibeli dengan murah sekali. - Mereka ini masih memerlukan UMNO untuk bernaung,
tetapi cinta dan hati mereka sudah kepada orang lain.
Mereka telah digelapkan dengan kesenangan yang bersifat
kebendaan. Pada mereka, UMNO tidak lebih dari sekadar
tunggangan. Bila kuat, mereka dekat. Bila lemah, mereka
mengalah. - Ingat, UMNO ini bukan dayus. Sesiapa yang curang dan
khianat, wajar ditinggalkan selama-lamanya. - Ketiga, UMNO mesti menegaskan kembali, bahawa
sesiapa yang memusuhi orang Melayu dan Islam
adalah musuh UMNO. - Selagi mereka tidak melepasi batas ini, UMNO sangat
terbuka untuk meneroka segala jalan kerjasama yang
ditawarkan. - Namun, setakat mengenali musuh sahaja, tidak akan
menjayakan UMNO dalam PRU akan datang. - Untuk menang, UMNO perlu kerja keras. Jangan lagi kita
terlalu asyik dan fokus dengan perbincangan politik di
media sosial seperti Whatsapp dan Facebook. - Perbahasan di media sosial tidak akan membawa UMNO
ke mana-mana. Yang akan memenangkan kita ialah,
dengan menyantuni isu, menyelesaikan permasalahan
serta bebanan rakyat. - Santunilah semua anggota masyarakat. Pengundi dan
bukan pengundi. Melayu dan bukan Melayu. Santuni
semua. Kerana UMNO adalah parti khidmat dan amal bakti
untuk semua. - Inilah sifir dan formula yang menjadikan kita pemerintah
selama 60 tahun iaitu amal dan usaha kita. - Gandakan khidmat dan bakti kita. Lebih-lebih lagi dalam
kegawatan ekonomi negara waktu ini. - Kepada ahli yang berada, berkorbanlah dengan berbahagi
dan memberi kepada yang memerlukan. Kepada yang
tidak berpeluang untuk memberi, hulurkan silaturahim dan
keringat dalam kerja gotong royong kita kepada
masyarakat. - Kepada Pergerakan Wanita dan Puteri, giatkan kunjungan
kita kepada jiran dan tetangga demi ukhuwah dan setia
kawan dalam bermasyarakat. - Kepada Pemuda, santuni semua anak muda di seluruh
Malaysia, kerana mereka sangat memerlukan dukungan
kita. - Saya faham. Semua ini sedikit sukar pada waktu ini, kerana
kita bukan induk kepada Kerajaan yang memerintah. Tetapi
kerja keras adalah nilai setia dan kasih kita pada parti dan
bangsa. - Sesuaikanlah strategi kita dengan keadaan setempat. Parti
kita adalah parti yang demokratik. Kita memberikan
kepercayaan kepada setiap bahagian, merencanakan
strategi pilihanraya mereka, mengikut keperluan bahagian
yang mereka wakili. - Jangan tunggu kepimpinan atasan melakukannya.
Lakukanlah apa yang terbaik untuk kepentingan setempat,
kerana anda semua lebih tahu apa yang sesuai dan baik
dalam kawasan masing-masing. - Strategi besar sebagai rujukan utama, akan dikongsikan
oleh kepimpinan UMNO Pusat dari masa ke semasa. - Tetapi kita semua mesti mengambil langkah aktif dari
sekarang. Kerana agenda perjuangan ini bukan calang-
calang. Iaitu mengembalikan semula UMNO ke persada
pemerintahan Malaysia.
Para perwakilan sekalian,
- Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk
menyeru kepada kesatuan dalam UMNO dengan sebenar-
benar kesatuan. - UMNO ini tidak boleh terpecah-pecah. Hentikan segala
‘clustering’ yang sangat tidak menguntungkan ini. - Demi masa depan UMNO, marilah kita kembali kepada
tautan UMNO jua. Berkelahi di hujung batang, berbaik di
pangkal padang. Biduk lalu, kiambang bertaut. Serumpun
bak serai, sesusun bak sireh. InsyaAllah. - Saya ingatkan seawal-awalnya di sini. UMNO ini adalah
jalan yang kita pilih dengan penuh sedar. Kita tidak dipaksa
oleh sesiapa. Dan kita tidak memaksa sesiapa. - Jadi, di tangan kitalah segala-galanya terletak. Cuma,
bersedialah. Jalan kita di hadapan pasti berliku. Akan ada
ranjau, akan ada yang menghalang dan mengacau. - Akan ada ujian, akan ada kejian. Akan ada musuh dalam
selimut. Akan ada gula menjerat semut. - Inilah yang dinamakan sunnah berjuang.
- Kita jangan gentar. Tidak ada ikhtiar dan niat baik yang
tewas pada kebatilan. Tidak ada usaha besar untuk bangsa
dan agama yang berakhir dengan kegagalan. - Marilah kita bersama-sama memastikan kejayaan milik
kita. Insya-Allah.
Nyior Gading Puncak Mahligai,
Buah Ketupat Berisi Inti,
Biar Daging Tulang Berkecai,
UMNO Diperjuang Sampai Mati.
Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan
Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk
tahun 2020.
Assalamualaikum.
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan