Header Ads

ads header

Flash News

Yayasan Akalbudi tak boleh terima sumbangan politik dari pihak ketiga


Yayasan Akalbudi tidak boleh menerima sumbangan politik daripada pihak ketiga, kata pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bercakap sebagai saksi ke-99 perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan Ahmad Zahid Hamidi, Khairudin berkata, ini memandangkan Yayasan Akalbudi bukanlah satu badan politik.

Dia berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zaidi bertanya Khairudin apakah menjadi satu kesalahan sekiranya Yayasan Akalbudi menerima sumbangan politik, yang digunakan untuk menjalankan kegiatan politik.

Ahmad Zaidi memberikan contoh TS Consultancy & Resources (TS Consultancy) yang menerima sumbangan daripada Yayasan Akalbudi pada 2015 dan 2016, untuk menguruskan pendaftaran pengundi - yang menurutnya satu bentuk kegiatan politik.

Ahmad Zaidi: Kalau ada sumbangan politik (kepada Yayasan Akalbudi) dan digunakan untuk aktiviti politik (seperti dijalankan TS Consultancy), adakah itu menjadi kesalahan? Adakah ia menjadi satu isu dalam kes ini?

Khairudin: Yayasan Akalbudi tak boleh (terima sumbangan politik). Sebab dia bukan satu badan politik. Dia yayasan.

Ahmad Zahid merupakan pemilik Yayasan Akalbudi serta pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal yayasan berkenaan.

Khairudin turut tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa selain sumbangan amal jariah, Yayasan Akalbudi turut ada menerima sumbangan berbentuk sumbangan politik daripada pihak ketiga.

Malah menurutnya, sepanjang siasatannya, tidak ada pihak ketiga memberikan sumbangan politik kepada yayasan berkenaan.

Daripada keterangan Khairudin dan saksi sebelum ini, TS Consultancy menerima RM360,000 daripada Yayasan Akalbudi untuk menjalankan pendaftaran pengundi, soal selidik serta kajian pengundi.

Yayasan Akalbudi bukan syarikat pinjaman wang berlesen

Selain itu, Kharudin juga tidak bersetuju pinjaman yang diberikan Yayasan Akalbudi kepada Armada Holdings (Armada Holdings) Sdn Bhd pada 2015 sebenarnya merupakan satu bentuk pelaburan.

Ini, cadang Ahmad Zaidi, memandangkan Armada Holdings membayar balik pinjaman tersebut pada jumlah RM10.069 juta kepada Yayasan Akalbudi, yang merupakan satu keuntungan buat yayasan.

“Untuk membuat pinjaman, mestilah daripada badan yang mempunyai lesen sebagai syarikat peminjam wang berlesen. Yayasan Akalbudi bukan syarikat pinjaman wang berlesen.

“Satu lagi perkara, untuk satu-satu aktiviti dengan jumlah pengeluaran yang begitu besar, RM10 juta, memerlukan pandangan dan persetujuan daripada ahli-ahli pemegang amanah yang lain,” kata Khairudin.

Ahmad Zaidi: Itu pandangan daripada Encik Khairudin.

Khairudin: Ya

Ahmad Zaidi: Bukan pemegang amanah yang lain?

Khairudin: Pemegang amanah lain tak pernah dimaklumkan.

Ahmad Zaidi: Berdasarkan siasatan, ada atau tidak mana-mana pemegang amanah membantah aktiviti ini (pinjaman kepada Armada Holdings)?

Khairudin: Dia tak dimaklumkan, macam mana dia nak bantah?

Ahmad Zaidi: Ada tak (mereka) buat laporan kepada SPRM, polis, dan sebagainya?

Khairudin: SPRM tidak ada. Polis saya tak tahu.

Menurut keterangan pengarah syarikatnya sebelum ini, Armada Holdings ialah syarikat yang mengimport dan membekal arang batu sebagai sumber tenaga kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pinjaman itu bertujuan mendapatkan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Adakah dana Yayasan Akalbudi dari gaji Zahid?

Ahmad Zaidi turut bertanyakan Khairudin sama ada dia tahu atau tidak sumber dana Yayasan Akalbudi kesemuanya datang daripada Ahmad Zahid - iaitu daripada gajinya, pendapatan sahamnya dan sebagainya.

“Daripada keterangan Datuk Seri Zahid, ada menyebut dia ada menyumbang untuk dana yayasan ini. Daripada keterangan saksi lain, tiada,” jawab Khairudin.

Bagaimanapun, dia menjawab “tidak tahu” apabila Ahmad Zaidi cuba merujuk dan bertanya kepadanya tentang keterangan saksi-saksi di mahkamah, memandangkan dia tidak hadir sekali di mahkamah mendengar mereka disoal balas.

Dia juga mengaku tidak menyiasat kesahihan rakaman percakapan beramaran Ahmad Zahid tentang sumbangannya kepada dana Yayasan Akalbudi itu. Justeru, dia mengaku tidak tahu jumlah yang disumbangkan Ahmad Zahid ke dalam dana yayasan.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid dituduh menyeleweng RM31 juta dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan yang masuk hari ke-52 di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan