Header Ads

ads header

Flash News

Pas Leak: Peringatan untuk semua parti


ALOR SETAR -
Penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Pas atau Pas Leak harus menjadi peringatan untuk semua parti politik.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia melambangkan politik negara masih bersifat mengambil kesempatan atas kesempitan pihak lain.

Menurutnya, ia juga menunjukkan politik dan amalan demokrasi dalam negara memerlukan gelombang perubahan dengan pemain dan pendekatan baharu.

“Jika tidak, kita akan kekal di takuk lama. Ini adalah peringatan untuk semua ahIi politik. Politik itu bukanlah bersifat kotor, cuma di dalamnya ada ‘lumpur’. Kegagalan kita untuk bawa diri dengan baik akan beri kesan kepada semua pihak terutama rakan seperjuangan.

“Marilah kita mengambil isu ini sebagai peringatan untuk sentiasa perbaiki diri dan memastikan kita tidak menjadi sang kerbau yang membawa lumpur kepada kumpulannya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Shaiful Hazizy berkata, ia bukan budaya yang baik dan tidak wajar menjadi amalan sama ada kepada Pas, mahupun UMNO/Barisan Nasional (BN) atau mana-mana parti politik sekalipun.

“Ia ibarat ‘menangguk di air keruh’, sekiranya strategi dan perbincangan yang tertera dalam dokumen tersebut adalah benar, ia bukan berasaskan kepada pertembungan idea besar atau siapa lebih bersedia membawa agenda masa depan yang jelas kepada negara,” katanya.

Menurutnya, politik dan demokrasi negara tidak akan matang dan berkembang sekiranya kita terus mengangkat polemik yang dibawa oleh individu yang tabiatnya suka ‘membaling batu sembunyi tangan’.

“Politik adalah tentang keberanian mengambil tanggungjawab. Ia pertarungan bersifat anak jantan, berani buat berani tanggung. Bukannya cuit-mencuit tanpa keberanian untuk ambil tanggungjawab. Ia juga bukan pentas untuk mereka yang bermuka-muka,” katanya.

Shaiful Hazizy berkata, walaupun sehingga kini Pas menafikan kebenaran atau ketulenan kandungan dokumen tersebut, namun banyak pihak menggesa supaya Pas membuat laporan polis.

“Di pihak UMNO, sudah pasti Pas digesa perjelaskan ketulenan dokumen tersebut. Kepimpinan tertinggi kedua-dua parti besar ini harus bijak untuk mendefinisikan hubungan Pas dan UMNO/BN selepas ini,” katanya.


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan