Header Ads

ads header

Flash News

Penentuan 1 Syawal: Serah kepada pihak berautoriti


KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengambil maklum berkenaan dengan sebaran mesej yang mengatakan perubahan tarikh 1 Syawal yang sedang tular di ruangan media.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya terus fokus kepada ibadah yang berbaki dalam bulan Ramadan.

“Segala pengumuman dan perkara teknikal kita serahkan kepada pihak berautoriti.

“Moga kita terus bertenang dan terus mengejar malam yang penuh barakah iaitu lailatul qadar,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau, semalam.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut merujuk isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini yang sedang tular di media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, sebagaimana maklum, Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha.

“Kaedah ini adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui oleh semua negeri,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, berkaitan penentuan awal Syawal 1443 atau tarikh Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan bersamaan 1 Mei ini.

Katanya, aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulama, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Beliau menambah, data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM.

“Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidil Fitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, ujarnya JAKIM menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini yang telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti. – HARAKAHDAILY 28/4/2022





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

MindaRakyat Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Tiada ulasan