Debat Najib vs Anwar: Tidak jantan serang peribadi, yang tenang akan menang
TIDAK sampai 24 jam lagi dua tokoh ‘gergasi’ politik negara iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertembung di atas satu pentas.
Debat perdana kedua-dua tokoh tersebut yang akan berlangsung pada pukul 9 malam esok dianggap sebagai perdebatan abad ini yang telah ditunggu-tunggu sejak keduanya menjadi seteru politik pada 1997.
Ramai yang tidak sabar untuk menonton debat yang berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di ibu negara.
Pentas yang akan dihadiri oleh 400 penonton itu, suka atau tidak, bakal menjadi gelanggang ‘pertarungan’ yang akhirnya akan disimpulkan oleh rakyat – siapa lebih hebat, siapa betul dan dan siapa yang tersungkur!
Kelebihan, kekurangan Anwar, Najib
Awal-awal lagi banyak pihak berpendapat Anwar akan menang dan kelihatan hebat sekiranya berdebat dengan Najib.
Ini kerana latar belakang Anwar sebagai bekas pemidato dan penguasaan bahasa Melayunya yang amat baik.
Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram berkata, tidak dapat dinafikan Anwar seolah-olah kelihatan mempunyai kelebihan berbanding Najib.
“Anwar pejuang bahasa. Dia akan gunakan kelebihan itu. Kajian saya melibatkan teks ucapan Anwar ketika pembentangan belanjawan 1998 bahawa dia telah menggunakan 18 peribahasa.
“Dia menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa walaupun itu ucapan ekonomi, belanjawan, angka dan kewangan namun boleh dimasukkan dengan peribahasa. Itu kehebatan Anwar.
“Tidak dapat dinafikan Anwar pejuang bahasa. Itu kelebihan. Najib, melihat latar belakang pendidikan dia, mungkin dia tidak menguasai selok-belok bahasa namun dia boleh lawan berbahas dengan Anwar,” kata Dr. Norazlina yang aktif berpidato sejak tahun 1989.
Juri pelbagai pertandingan pidato itu berkata, hanya individu yang berbahas dengan tenang, penuh fakta dan tidak beremosi akan mendapat sokongan audien.
Kemungkinan, secara tidak langsung pendapat umum akan memilih dia sebagai pemenang.
Dan Najib, kata Dr. Norazlina, boleh menyaingi Anwar sekiranya sikap cool yang ditunjukkan Ahli Parlimen Pekan yang digelar Bossku, diteruskan ketika berada di atas pentas nanti.
“Kalau awak tahu bahasa Melayu dengan baik pun tidak tahu teknik berkomunikasi tidak berguna.
“Najib mungkin tidak menggunakan perkataan yang hebat macam Anwar tetapi boleh tundukan pihak lawan dengan kematangan, ketenangan dalam berhujah,” katanya.
Bukan anak jantan jika buat serangan peribadi
Menurut juara beberapa siri pidato termasuk Debat ASEAN 1997, Pidato Piala Diraja Selangor 1990 dan Semarak Merdeka 2019 itu, pembahas yang tenang boleh bercakap dengan baik dan dapat menarik perhatian penonton.
Orang yang tenang menurut Dr. Norazalina, selalunya akan dilihat berada sebagai pihak yang benar. Ini kerana biasanya pembahas yang tenang dapat mengeluarkan hujah secara berfakta.
“Fakta itu perlu dipermudahkan supaya khalayak yang berada dalam pelbagai peringkat pemikiran boleh memahami. Sebab itu perlu ada ketenangan.
“Mental dan emosi kena jaga sebab pihak lawan akan psiko dengan pelbagai cara. Yang penting tenang. Bila tenang dia dapat sampaikan hujah dengan baik, tidak mengeluarkan bahasa kesat dan mengeji bagi menjatuhkan pihak lawan,” katanya.
Antara ciri-ciri pembahas yang tidak tenang adalah penggunaan nada suara yang sangat tinggi dan nyaring serta fakta diberikan tidak tepat dan berpusing-pusing.
Dr. Norazalina menegaskan, sebagai pembahas penting untuk Najib dan Anwar tidak mengunakan pentas berkenaan untuk melakukan serangan peribadi.
Jika ada yang membuat serangan peribadi individu itu boleh dianggap sebagai pihak yang kalah dan tidak ‘jantan’.
“Satu kegagalan bila buat serangan peribadi. Jangan cakap hal peribadi pembahas tetapi ketengahkan isu. Bila kita buat serangan peribadi, kita sebenarnya bukan anak jantanlah.
“Debat ini bukan hendak bercakap tentang karakter Najib atau Anwar. Tak. Kita nak bercakap mengenai usul yang dibawa. Kalau ungkit kes mahkamah pihak lawan juga merupakan satu bentuk serangan peribadi.
“Bila kita buat serangan peribadi kita tidak profesional. Kalau kita ada strategi dalam komunikasi kita serang dengan cara psikologi,” tegas Dr. Norazalina.
Akhir sekali menurut Dr. Norazalina, audien ingin melihat penggulungan Anwar dan Najib, sama ada mereka menggunakan saat yang diberikan dengan baik atau tidak untuk merangkumkan keseluruhan perbahasan yang dibuat.
“Yang penting dia dapat kawal emosi, bila dia tenang dia dapat sampai hujah dengan berkesan, rasional, matang dan nampak bukan berjuang untuk diri sendiri tetapi berjuang untuk rakyat, agama dan bangsa,” katanya.
Tiada yang menang atau kalah
Selain MalaysiaGazette, debat perdana Najib dan Anwar akan dikendalikan secara bersama dengan tiga media terpilih iaitu Astro Awani, Sinar Harian serta Sin Chew Daily.
Editor MalaysiaGazette Haslina Ar. Kamarudin dipilih sebagai moderator oleh pihak Najib dan Anwar.
Menurut Haslina dia berasa bangga kerana MalaysiaGazette dipilih sebagai moderator dan ia merupakan satu tanggungjawab besar terutama dalam memastikan Najib dan Anwar mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
“Kita ada peraturan debat. Menjadi tanggungjawab besar sebagai moderator untuk memastikan tidak ada yang menyentuh hal peribadi, berkaitan mahkamah dan hal yang tidak menyentuh kerangka debat.
“Sekiranya ada pendebat yang keluar daripada konteks moderator akan menggunakan kuasa sepenuhnya untuk menyekat hujahan itu,” katanya.
Tambah Haslina, tidak ada mana-mana pihak akan diumumkan sebagai pemenang pada akhir perdebatan yang memakan masa selama satu jam 30 minit itu.
“Kita tidak ada juri. Debat ini bukan hendak cari siapa menang, siapa kalah. Kita hendak dengar idea masa depan Malaysia sahaja bukan berkaitan hal lain.
“Kedua-dua tokoh ini berpengalaman dan bijak menjawab soalan. Saya akan jadi diri sendiri ketika menjadi moderator nanti,” tegas Haslina.
Debat Perdana Najib dan Anwar menyentuh dua perkara utama. Isu pertama melihatkan persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd. perlu diselamatkan atau sebaliknya.
Persoalan kedua berkaitan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.
“Debat ini melibatkan dua topik besar dan empat pusingan. Mula-mula mukadimah, lepas itu penghujahan, soal jawab dan penggulungan.
“Untuk mukadimah dan penggulungan setiap seorang akan diberikan masa empat minit. Untuk hujah dan menjawab soalan tiga minit diperuntukkan bagi setiap satu.
“Hanya Najib dan Anwar akan berada di atas pentas. Tidak ada pembantu lain,” kata Haslina.
Bagi mengamalkan konsep kebebasan bersuara dan demokrasi, penonton juga diberi ruang untuk bertanyakan soalan kepada dua pendebat berkenaan.
Pun begitu menurutnya, audien tidak dibenarkan untuk bersorak, bertepuk tangan dan ‘boo’ kepada pendebat sebelum, ketika dan selepas perbahasan.
Ia bagi memastikan tidak menganggu hujah dan emosi pendebat serta tidak mencetuskan sebarang provokasi. Pihak keselamatan seperti polis turut dijemput untuk mengawal keadaan. – MalaysiaGazette
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Tiada ulasan