Header Ads

ads header

Flash News

Mahkamah Berlin larang guru wanita Islam bertudung di sekolah


Sebuah mahkamah Berlin pada Rabu telah menolak permohonan seorang guru sekolah rendah wanita beragama Islam yang ingin memakai tudung di tempat kerja, lapor agensi berita China Xinhua.

Mahkamah buruh itu memutuskan bahawa keputusan pentadbiran sekolah tidak membenarkan guru tersebut memakai tudung adalah selaras dengan undang-undang berkecuali yang melarang penjawat awam, termasuk guru, polis dan pegawai keadilan daripada memakai simbol-simbol keagamaan.

"Undang-undang berkecuali itu tidak bercanggah dengan peruntukan perlembagaan," menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mahkamah itu di laman sesawangnya.

Guru itu tidak hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan tersebut. Peguamnya berkata wanita itu akan memutuskan sama ada beliau ingin merayu atau sebaliknya keputusan mahkamah.

Meskipun beberapa negeri di Jerman melarang pemakaian tudung dalam kalangan guru wanita, negara itu tidak mempunyai undang-undang yang melarang pelajar wanita daripada memakainya di sekolah atau universiti.

Mahkamah Perlembagaan Jerman telah mengenepikan larangan memakai tudung di kalangan guru wanita pada 2015, atas alasan kepentingan kebebasan beragama.

Kesemua 16 negeri Jerman diberi kebebasan dalam menangani isu itu.

Kira-kira 4.7 juta orang Islam tinggal di Jerman, yang melindungi kebebasan beragama di bawah Undang-Undang Asas Jerman, atau persekutuan perlembagaan.

- Bernama



......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Tiada ulasan