Header Ads

ads header

Flash News

MB Terengganu angkat sumpah malam ini


Calon menteri besar daripada PAS akan mengangkat sumpah bagi mengetuai kerajaan negeri Terengganu yang baru di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Terengganu 9 malam ini.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Hussien Awang ketika mengesahkan perkara itu berkata, nama menteri besar yang baru dan barisan exco hanya akan diketahui sebaik sahaja majlis angkat sumpah selesai.

“Kita telah mengadap Sultan untuk dapatkan tarikh bagi angkat sumpah menteri besar dan exco di Istana 9 malam ini.

“(Namun calon) belum mendapat perkenan Sultan, (jadi) kita tak boleh umum. Kita akan putuskan tapi tak akan umum sebelum mendapat perkenan Sultan,” katanya dalam sidang media di Rusila, Marang, hari ini.

PAS berjaya menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu selepas memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi malam tadi sebaik selesai PRU ke 14.

Hal itu diumumkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut mempertahankan kerusi parlimen Marang

BN pula hanya menang di 5 kerusi manakala Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak memenangi sebarang kerusi.

Sebuah parti hanya memerlukan sekurang-kurangnya 17 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Terengganu.

Dijangka mulakan tugas Isnin

Mengulas lanjut, Hussien berkata menteri besar baru dan barisan exco PAS hanya akan memulakan tugas dan memasuki Wisma Darul Iman pada Isnin ini berikutan 13 Mei iaitu Ahad diisytihar sebagai cuti umum.

“Menteri besar dan barisan exco akan mula memasuki Wisma Darul Iman 14 Mei ini dan ketika kami memasuki Wisma Darul Iman kita akan adakan solat hajat dan adakan pengalihan tugas daripada bekas menteri besar (lama) kepada menteri besar baru.

“Kita mahu mengambil alih tugas dengan suasana tertib dan berakhlak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya segala urusan kerajaan tempatan mahu pun agensi kerajaan akan berjalan seperti biasa.

“Seluruh kerajaan tempatan dan agensi kerajaan harus berjalan seperti biasa dan tidak akan ada mana-mana balai raya yang akan tutup, jika ada sekali pun ia adalah tindakan sabotaj dan PAS tidak bertanggungjawab,” katanya.

Tambah Hussien, peralihan kuasa BN kepada PAS bukan untuk menzalimi sesiapa.

“Hari ini ialah hari kita membina kasih sayang dan kita mengambil alih kerajaan negeri bukan untuk menzalimi sesiapa tetapi semata-mata menjalin kasih mesra antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya.



......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

1 ulasan: