Header Ads

ads header

Flash News

UPKO umum keluar BN, Gabung dengan WARISAN


UPKO hari ini mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan campuran dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Pemangku Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) UPKO yang diadakan hari ini.

MT UPKO sebulat suara bersetuju untuk keluar daripada BN dan membentuk kerajaan campuran dengan Warisan, katanya pada sidang media singkat, di sini.

Sejurus selepas pengumuman itu Tangau bergegas meninggalkan sidang media, difahamkan menuju ke Istana Negeri untuk mengadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Pagi tadi, Tangau dilaporkan telah menemui Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kediamannya di sini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) semalam, UPKO menang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen iaitu Tuaran menerusi Tangau.

Lima DUN berkenaan ialah DUN Kadamaian menerusi Ewon Benedick, Paginatan (Datuk Abidin Madingkir), Nabawan (Datuk Bobbey Ah Fang Suan), Kuamut (Datuk Masiung Banah) dan Kuala Penyu (Datuk Limus Jury).

Susulan keputusan UPKO tersebut BN kini hanya menguasai 24 daripada 60 kerusi DUN Sabah.

BN Sabah sebelum ini terikat 29 kerusi dengan Warisan berserta sekutunya sementara baki dua kerusi lagi dimenangi Parti Reformasi Negeri (Star).

- Bernama



......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Tiada ulasan