Header Ads

ads header

Flash News

Politik kasih sayang pacu perubahan


DALAM ucapan awalnya sewaktu dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR menyentuh soal 'kasih sayang' dan tentunya berkaitan soal 'persaudaraan' dalam mencorak masa depan negeri dengan slogan: Maju Berkat Sejahtera.

Kasih sayang, perkataan yang tidak kedengaran disebut oleh mana-mana pemimpin Pas selama ini dalam politik dan pentadbiran, diselit tentang usahanya mengemudikan negeri sekali gus diharap dapat mengikis sisa fahaman politik keterlaluan yang memisah hubungan sesama rakyat dan hubungan rakyat dengan kerajaan.

Beliau dianggap sebagai pemimpin tenang oleh rakanrakannya, mampu membawa ketenangan bagi negeri.

Wartawan MINGGUAN MALAYSIA, WAN ZULKIFLI WAN YAAKOB dan ROSALINDA SAID berpeluang menemui beliau di pejabatnya kelmarin yang antara lain bertanya ke mana arah hala tuju Terengganu selepas peralihan kuasa berjalan lancar dan tertib.

MINGGUAN: Siapa sebenarnya Dr. Ahmad Samsuri yang berkelulusan Ph.D dalam bidang aeroangkasa dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, malah mengejutkan ramai apabila dilantik sebagai Menteri Besar?

SAMSURI : Saya cuma budak kampung Pulau Panjang Jerteh Besut. Arwah ayah seorang guru, namun ada beberapa relung sawah di belakang rumah. Di situ salah satu medan permainan kami.

Tiada apa-apa istimewanya saya ini, yang menikmati sistem pendidikan negara yang mencorakkan pencapaian saya. Bermula dengan sekolah rendah di kampung sebelum ke Kuala Terengganu belajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan kemudiannya ke universiti.

Apa yang mendekatkan dengan Pas sejak remaja?


SAMSURI: Saya berada dalam suasana politik di Pantai Timur. Setiap kali pilihan raya sebagai suatu musim pesta besar. Seronok tenguk bendera dikibar sana sini dan bersama dalam gerak kerja politik walaupun awalnya tak memahami dan menyedari arah tujunya.

Saya membesar ketika isu-isu yang panas era Islamisasi, zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai UMNO, memuncaknya isu kafir-mengkafir dan ceramah-ceramah yang hangat.

Selaku anak muda jauh dari kampung, kita akan mencari sesuatu untuk kekuatan diri merasa ketenangan apabila terlibat dalam aktiviti surau dan masjid. Zaman itulah zaman kuliah yang hangat di Rusila dan Batu Enam yang akhirnya mempengaruhi pendirian dan kefahaman saya.

Malah menjadi asas kepada penglibatan sebagai aktivis pelajar termasuk semasa di United Kingdom dan menjadi salah seorang kumpulan pemikir bagi Pas kemudiannya.

Dr. merupakan salah seorang perintis dalam program kejuruteraan aeroangkasa negara, suatu bidang strategik. Tidakkah pengaliran keluar ahli akademik dan teknokrat seperti Dr. ke dalam politik suatu kerugian bagi dunia akademik?

SAMSURI: Dahulunya bidang ini menggunakan kepakaran ekspatriat dari luar negara dan ia bergerak pantas sehingga saya menjadi penasihat Kementerian Pendidikan Tinggi dan terlibat dalam jemaah dekan progam kejuruteraan aeroangkasa negara dengan turut diminta menulis kertas Kabinet mengenai hala tujunya.

Saya telah buat perkara asas beri sumbangan selain penyelidikan. Saya rasa telah buat terbaik, dan dengan apprentice yang ada, cukuplah saya di situ untuk teroka bidang politik tanpa meninggalkan bidang berkenaan. Masing-masing ada rakan dalam industri penerbangan yang menghubungi dan dapatkan pandangan. Saya telah lepaskan baton untuk generasi berikutnya.

Keputusan pilihan raya seolah-olah memperlihatkan sokongan golongan muda di negeri-negeri dominasi Melayu kepada Pas meningkat, apabila mereka masih menaruh harapan kepada parti itu menterjemahkan pendekatan Islam. Adakah harapan mereka mampu diyakinkan dalam tempoh sepenggal ini?

SAMSURI: Saya mengambil kesempatan untuk menterjemahkan apa yang kita capai melalui politik Islam dalam masyarakat dengan pendekatan baharu lebih sesuai dengan suasana semasa, seiring dengan pendekatan politik matang dan sejahtera.

Suasana politik beberapa dekad lalu mungkin sesuai pada waktu itu dengan pendekatan keras, lantang dan tegas namun suasana masyarakat dan politik kini berbeza yang memerlukan pendekatan berbeza.

Kita akan cuba yang terbaik dalam membudayakan kehidupan Islam dalam segenap bidang, mendahulukan apa yang perlu diutamakan. Tidak drastik agar tidak menimbulkan ketegangan dan kebimbingan.

Memulakan langkah awal pentadbiran dengan ungkapan kasih sayang. Mengapa sifat itu diberi keutamaan?

SAMSURI: Ini merupakan satu anjakan paradigma. Memahamkan masyarakat supaya jangan takut dengan politik dan perubahan, Kita nak bawa politik harmoni kasih sayang, tak timbul kebencian. Tiada pendekatan balas dendam, penuh kesederhanaan dan cakna kepada setiap permasalahan.

Sudah terlalu lama kita berpolitik sehingga berlaku ketegangan, bergaduh antara keluarga, tak bertegur sapa, nafsu amarah. Saya lahir di Besut, saya tahu suasana dan kesannya. Ini tidak membantu ke arah keharmonian negeri, tanpa keharmonian timbulah masalah sosial yang lain. Kita harus berani lakukan perubahan dengan politik kasih sayang.

Bersedia dan mampukah Pas menerajui negeri berdasarkan Pelan Induk Terengganu Sejahtera dengan kemungkinan tanpa royalti minyak yang merupakan punca utama hasil negeri?

SAMSURI: itu adalah satu cabaran yang perlu kami lalui dengan landskap negara berbeza pada 1999 dulu (sewaktu Pas memerintah Terengganu) walaupun pemainnya yang sama ketika ini tetapi latar belakang politik semasa berbeza.

Kita akan ambil pendekatan berhemah, berbincang tentang keperluan membawa hasrat negeri dan rakyat berhubung sumber negeri ini dibincang dan diselesaikan bersama.

Selain royalti minyak yang menjadi punca melemahkan pentadbiran Pas pada masa silam, penubuhan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) sebagai penghubung di peringkat akar umbi menimbulkan keresahan. Adakah institusi ini akan dihidupkan semula?

SAMSURI : Kita masih belum putuskan lagi kerana perlu difikir lebih mendalam untuk penambahbaikan agar dapat menjaga kesejahteraan di peringkat kampung dan menjadi suara rakyat dan bersama dengan kerajaan negeri menggerakkan perubahan.



......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat

2 ulasan:

  1. alhamdulillah DR , permulaan yg baik smoga terus maju menerajui trengganu darul iman

    BalasPadam
  2. Tak setuju JSR dihidupkan semula.
    Ahli parti sibuk nak melobi jadi JSR.
    Kerja parti di Cawangan dan Kawasan jadi layu. Sibuk nak tunjuk hero dgn JKKK utk faraidh harta kerajaan negeri.


    Waktu sekarang adalah utk merancang pertarungan PAS dan PH utk PRU15.
    Ahli parti kena bersedia utk melawan perang fitnah daripada PH dan sampaikan maklumat kepada semua.

    Sudah-sudahlah dgn JSR.
    Tiru model Kelantan yg jauh lebih bagus tanpa JSR dan telah terbukti memerintah negeri lebih 25 tahun. Kita mahu Terengganu kekal lebih dari satu penggal.

    JSR perangkap maut parti.

    BalasPadam