Header Ads

ads header

Flash News

Sentimen tempatan jejas bursa


Bursa Malaysia susut 2.2 peratus atau 40.78 mata kepada 1,804.25 semalam berikutan kebimbangan pelabur mengenai dasar kewangan negara serta pendedahan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Turut mencetus kegusaran pelabur adalah mengenai pengumuman hutang kerajaan yang ketika ini mencecah lebih RM1 trilion.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mendedahkan antaranya, bahawa kerajaan menyelamatkan 1MDB dengan membuat pembayaran balik pinjaman sebanyak RM6.98 bilion.

Maklumat itu adalah bercanggah dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sebelum ini bahawa syarikat itu berupaya membayar hutangnya menerusi pelan rasionalisasi yang dilaksanakan.

Indeks penanda aras Bursa Malaysia, Indeks FBM KLCI dibuka pada paras 1,845.03 mata sebelum ditutup 40.78 mata kepada 1,804.25.

Kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 763 berbanding 237, dengan 365 kaunter tidak berubah, 543 tidak didagangkan dan 20 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.69 bilion saham bernilai RM3.34 bilion berbanding 2.35 bilion unit bernilai RM2.74 bilion semalam.

Pelabur luar jual saham RM2.48B

Di kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank jatuh 20 sen kepada RM10.68, TNB rendah 40 sen kepada RM14.94, Public Bank susut 10 sen kepada RM25.10, CIMB berkurangan 43 sen kepada RM6.22 dan IHH Healthcare satu sen lebih rendah kepada RM6.32.
Di kalangan kaunter aktif, Sapura Energy jatuh 4.5 sen kepada 71.5 sen, MYEG merosot dua sen kepada 91.5 sen, Airasia X susut setengah sen kepada 37.5 sen, NETX tidak berubah kepada tiga sen, sementara Drbhicom meningkat 28 sen kepada RM2.03.

Kelmarin, pelabur antarabangsa dilihat menjual saham bernilai AS$625 juta (RM2.48 bilion) minggu lalu, terbesar sejak 2013.

Ia dilaporkan bahawa AS$937.8 juta (RM3.72 bilion) aliran masuk dana ke dalam pasaran saham tempatan beralih keluar hanya dalam tempoh lebih seminggu berikutan kebimbangan dasar ekonomi di bawah kerajaan semasa.

Setakat 21 Mei, aliran keluar asing daripada pasaran saham berada pada paras bersih AS$21.2 juta (RM84.11 juta), selepas pelabur asing menjual sejumlah AS$949 juta (RM3.76 bilion) nilai saham dalam tempoh 11 hari berturut-turut.

Penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kejatuhan Bursa Malaysia berikutan beberapa faktor global dan ia juga sejajar dengan kejatuhan pasaran serantau.

Beliau berkata, antara faktor adalah dialog untuk mengekang perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka positif kini dilihat tidak seperti yang diharapkan.

“Rundingan negatif senjata nuklear Presiden AS, Donald Trump dengan Korea Utara juga adalah faktor, sementara Rizab Persekutuan AS mungkin meningkatkan penanda aras kadar faedah akan mendorong pengaliran keluar wang dari pasaran.

“Secara jelas, kejatuhan ini bukan disebabkan sentimen pelabur asing yang terjejas terhadap ekonomi Malaysia seperti hutang negara RM1 trilion atau skandal 1MDB.

“Malaysia masih mempunyai ekonomi yang kukuh, tetapi pelabur mungkin ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dasar fiskal semasa yang akan dilaksanakan kerajaan semasa,” katanya.

Pada 2017, Bursa mencatatkan aliran masuk sebanyak AS$2.4 bilion (RM9.52 bilion).
Sementara harga minyak memberi ruang peningkatan hasil kerajaan apabila berada pada paras AS$79.11 satu tong semalam, masih terlalu awal untuk memberitahu sama ada ia dapat menampung pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Harga minyak yang lebih tinggi mungkin dapat meningkatkan pendapatan kerajaan, namun masih belum pasti bagaimana dasar ekonomi akan dilaksanakan oleh kerajaan semasa.

Zarina Zakariah 
 zarinaz@mediaprima.com.my


......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat

2 ulasan:

  1. Pelabur luar hanya akan masuk atau kekal berada dalam pasaran bersandarkan kepada sentimen dan prestasi semasa.

    Menyalahkan pentadbiran terdahulu boleh memberikan satu kepuasan kepada pentadbir sekarang tetapi dalam masa sama memberikan gambaran negatif terhadap pasaran.

    Makanya diharapkan pentadbir sekarang agar cukup-cukuplah mengkritik, kotakanlah janji dan berilah tugasan mengkritik pada orang lain pulak.

    BalasPadam
  2. Apabila pasaran saham jatuh akibat mulut menteri kewangan - "saya tidak tahu, saya bukan broker saham". Ha ha..ini jawapan sgt2 'brilliant'
    Whoa..ada kredibiliti ke jawapan mcm ni?

    BalasPadam