Header Ads

ads header

Flash News

Exco & Adun Terengganu ambil Inisiatif Bersihkan Pantai


KUALA TERENGGANU – Terengganu terkenal dengan keindahan pantainya yang cantik dan indah, sekali gus sentiasa menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan asing untuk beriadah dan berkunjung ke negeri itu.

Pemandangan indah yang dijanjikan itu, bagaimanapun seringkali dicemari dengan sampah sarap, sisa makanan serta kotoran yang ditinggalkan pengunjung yang kurang kesedaran dalam menjaga kebersihan begitu sahaja tanpa membuangnya di dalam tong sampah atau kawasan yang disediakan.

Malah tinjauan Bernama di Pantai Kuala Ibai mendapati ada antara pengunjung yang sengaja meninggalkan lampin pakai buang bayi mereka merata-rata tanpa membuangnya di dalam tong sampah yang disediakan.


Nor Akhmar Mohd Dagang, 37, berkata sikap kurang prihatin untuk sama-sama menjaga alam sekitar dalam kalangan pengunjung tempatan terutamanya, menjadi antara faktor utama berlaku situasi begitu.

“Mari pantai balik nanti bersepah juga dengan botol air, plastik dan pampers (lampin pakai buang). Kalau sediakan tong sampah banyak pun tak guna juga jika kesedaran sivik individu sendiri kurang,” katanya.

Penjawat awam itu berkata perkara tersebut dapat dibendung sekiranya orang ramai sedar mengenai tanggungjawab bersama-sama membantu pihak berkaitan menjaga kebersihan alam sekitar, terutamanya pantai agar tidak dicemari dengan sampah sarap.

Bagi peniaga, Asrol Hisyam Mohd Alias, 37, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan tong sampah dengan lebih banyak bagi memudahkan pengunjung membuang sampah di tempat disediakan.

“Bagaimanapun masing-masing perlu mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan pantai dan kesedaran mengenai perkara ini perlu diterapkan dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed @Hashim berkata budaya membuang sampah di pantai yang dihadapi sejak sekian lama perlu diperbetulkan.

Justeru, beliau bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah mengambil inisiatif turun padang mengutip sampah bersama orang ramai di pantai itu sebagai langkah untuk memupuk budaya menjaga kebersihan dalam kalangan pengunjung.

“Apa yang kita buat ini adalah langkah awal dan mesej ini akan sampaikan kepada rakyat, sekali gus memberi kesedaran berkaitan kebersihan kepada mereka sejajar dengan ajaran Islam yang pentingkan kebersihan,” katanya.

Menerusi program selama sejam yang berjaya mengumpul sampah hingga enam plastik itu, pengunjung turut diberikan plastik sampah bagi memastikan sisa makanan serta sampah sarap dibawa pulang atau dibuang dalam tong sampah yang disediakan di sekitar kawasan pelancongan itu. – BERNAMA


MR : Usaha ini patut diteruskan terutamanya disemua pekan di Terengganu....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan