Header Ads

ads header

Flash News

Jho Low sedia bertemu pasukan petugas siasatan 1MDB di Dubai


KUALA LUMPUR 13 Jun – Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang didakwa membuat penampilan di Dubai, memaklumkan bahawa beliau sedia bertemu dengan pasukan petugas yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di negara tersebut.

Menurut laporan sebuah portal yang memetik sumber kerajaan, sebelum pertemuan itu, beberapa peguam Jho Low juga dijangka bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dubai bagi membincangkan perkara berhubung siasatan yang boleh dibantu oleh anak guam mereka.

Laporan itu turut mendakwa, peguam Jho Low telah mengesahkan bahawa perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia sudah bermula, namun sumber tersebut enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenainya.

Menurut laporan itu lagi, pihak berkuasa Malaysia yakin ahli perniagaan yang berasal dari Pulau Pinang itu boleh membantu dalam usaha mendapatkan semula dana atau aset yang dibeli dengan dana 1MDB.

Laporan itu turut menjelaskan pasukan petugas yang menyiasat 1MDB percaya bahawa beliau boleh mengesan aset-aset lain termasuk barangan kemas mewah yang disorok.

Sebelum ini, memetik laporan Bloomberg pada 7 Jun lalu, Jho Low telah pun menyatakan kesediaannya untuk membantu siasatan berhubung skandal 1MDB selepas dipanggil oleh SPRM.

Jho Low dikatakan sudah mengarahkan pe­guamnya untuk menghubungi SPRM selepas dimaklumkan bahawa suruhanjaya berkenaan mencarinya bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pentadbiran kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan siasatan terhadap 1MDB sebagai keutamaan untuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr. Mahathir baru-baru ini juga berkata, kerajaan mengetahui di mana lokasi ahli perniagaan itu berlindung namun sukar untuk menangkapnya.


......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
Whatsapp MR
Telegram MR
Facebook MR

# Boleh pilih (klik) nak komen guna facebook atau blogger

Tiada ulasan