Header Ads

ads header

Flash News

Veteran MCA: Risiko besar MCA guna logo ‘bintang’


KUALA LUMPUR: Langkah MCA menggunakan logo parti itu sendiri dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bulan depan, bukannya logo Barisan Nasional (BN), berkemungkinan merugikan parti tersebut, kata bekas pemimpinnya.

Bekas naib presiden 3 penggal MCA, Datuk Yap Pian Hon berkata, walapun beliau tidak membantah keputusan itu, namun ia harus diikuti dengan “strategi yang sangat mantap” dalam kempen parti tersebut untuk mendapatkan sokongan di kubu kuat DAP itu.

Beliau berkata, walaupun Balakong adalah kerusi majoriti pengundi Cina, tetapi kira-kira 40% pengundi Melayu dan India di situ, yang merupakan penyokong BN, mungkin akan berfikir 2 kali sekiranya calon yang bertanding tidak lagi dilihat turut mewakili Umno dan MIC.

“Kita tidak pasti tentang tindak balas mereka, dan itu akan memberi kesan sama ada mereka akan terus menyokong MCA sebagai “rakan” dalam gabungan politik yang sama.

“Apakah rancangan pemimpin MCA untuk pergi ke kawasan berkenaan secara bersendirian sekiranya penyokong Umno dan MIC tidak mahu membantu mereka? Ini boleh menyebabkan kekalahan lebih besar berbanding pilihan raya lepas,” katanya.

Dalam pilihan raya Mei lepas, calon MCA Lim Chin Wah hanya mendapat 10% (5,784) undi berbanding calon DAP, mendiang Eddie Ng Tien Chee yang menang dengan majoriti besar 35,538 undi.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemimpin parti memutuskan untuk tidak menggunakan logo BN, tetapi mahu menggunakan logo “bintang” biru-kuning MCA.

Liow berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada “pembaharuan dalaman” yang dijalankan parti itu berikutan kekalahan teruk MCA dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Sekiranya ia berlaku, ia merupakan kali pertama MCA bertanding dalam pilihan raya menggunakan logonya sendiri sejak penubuhan BN pada 1973.

Yap berkata, keputusan itu juga menunjukkan BN kini hanya wujud pada namanya sahaja.

“Ini mungkin cara kepimpinan baru MCA memberitahu orang ramai bahawa mereka kini sedang bergerak ke arah pendirian lebih bebas dalam kerangka gabungan BN,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun katanya, tidak dapat dipastikan sama ada MCA akan mendapat sokongan dengan memisahkan diri daripada BN.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada MCA berkata, parti itu kini “menguji keadaan” dalam landskap politik baru yang wujud, dan menambah kepimpinan parti sudah menjangka akan kalah dalam pilihan raya lepas.

“Mereka tahu akan kalah, jadi tiada kerugian apa-apa,” kata bekas Adun Subang jaya, Datuk Lee Hwa Beng.

Beliau menyetujui pandangan Yap bahawa parti itu lupa bahawa ia memerlukan sokongan pengundi bukan Cina kerana pengundi Cina “begitu kasih kepada DAP”.

“Peratus pengundi bukan Cina besar di Balakong,” katanya.

MCA, MIC dan Umno kini merupakan 3 parti yang membentuk BN, setelah beberapa parti komponen lain meninggalkan gabungan itu berikutan kekalahan dialaminya pada Mei lepas.

Lee berkata, cakap-cakap MCA mahu meninggalkan BN tidak kena masa kerana parti itu bukan tandingan DAP dari segi sokongan pengundi Cina.

“Pengundi Cina kini menyokong DAP, tapi percintaan ini mungkin tidak lama, jadi mereka (MCA) perlu menunggu masa yang tepat,” kata beliau.



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :



1 ulasan:

  1. Memang tepat pemerhatian veteran MCA -- kasihnya China pada Dap adalah sementara -- kerana ia pernah terjadi sebelum ini pada PM5. Ia pernah terjadi pada Makros dll. Kasihnya Melayu pada PM5 hanya bertahan kurang dari dua penggal. Bila lirik lagu kasihnya undi masa berada dihayati, kasihnya undi pada Dap adalah menghitung hari.

    BalasPadam