Header Ads

ads header

Flash News

Buku ‘Billion Dollar Whale’ hanyalah gosip tanpa bukti, kata Jho Low


PETALING JAYA: Ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low hari ini mengutuk buku ditulis 2 wartawan Wall Street Journal (WSJ) tentang dakwaan penglibatan beliau dalam skandal 1MDB, dengan menyifatkannya sebagai “pensabitan bersalah kerana gaya hidup dan perbicaraan melalui media paling buruk”.

Jho Low yang kini melarikan diri daripada pihak berkuasa di Malaysia dan beberapa negara lain berhubung kes 1MDB menuduh Tom Wright dan Bradley Hope cuba “menulis sejarah segera” tanpa sokongan bukti, hatta sebelum isu berkaitan diselesaikan.

Satu kenyataan dikeluarkan jurucakapnya menyebut, ulasan dan komentar daripada Financial Times dan Australian Finacial Review antara lain menyebut bahawa “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World” umumnya adalah berkaitan transaksi yang dilakukan institusi kewangan dunia, dana kerajaan dan pengurus 1MDB yang berpengalaman dan “tahu dengan jelas apa-apa yang mereka lakukan”.

“Malah Low tidak ada dalam naratif ketika dakwaan penipuan itu berlaku, tetapi kemudiannya dituduh – tanpa apa-apa bukti – bertanggungjawab ke atasnya,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, “penceritaan begini tidak akan melariskan jualan buku atau menyebabkan penulisnya ditawarkan kontrak filem”, sekali gus mendakwa “Billion Dollar Whale” ditulis dengan “tuduhan dipersembahkan sebagai fakta dan gosip dijadikan seperti pelaporan sahih”.

“Naratifnya dibingkaikan begitu bagi membolehkan penulisnya menulis tentang selebriti, model dan parti tanpa perlu membuktikan mana-mana dakwaan yang dibuat.

“Tanpa menunggu fakta sebenar berhubung kes ini muncul, penulis memilih untuk menerbitkan dongeng mereka sewaktu kes sedang berjalan dan prosiding belum diselesaikan di AS, malah sebelum secebis keterangan pun dikemukakan ke mana-mana mahkamah.”

“Billion Dollar Whale” diterbitkan untuk pasaran oleh Hachette Books Selasa lepas.

Jho Low dilaporkan cuba mengharamkan buku itu, beserta buku “The Sarawak Report” yang ditulis oleh editor lamanweb pemberi maklumat, Clare Rewcastle-Brown.

Beliau juga dikatakan mengupah beberapa orang peguam yang mempunyai hubungan politik untuk membela kepentingannya dalam penyiasatan Jabatan Kehakiman AS.

Low, yang dikehendaki di Malaysia kerana dakwaan pengubahan wang dan disifatkan dalam pemfailan di mahkamah AS sebagai individu yang menggelapkan lebih AS4 bilion daripada 1MDB antara lain menggunakan khidmat guaman bekas gabenor New Jersey Chris Christie dan firma guaman pengantara presiden Donald Trump, Kasowitz Benson Torres.

Beliau juga mendapat khidmat guaman Bobby Burchfiel dari firma King & Spalding di Washington.

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan