Header Ads

ads header

Flash News

Kelahiran anak lembu merah ‘ancam’ Masjid Al-Aqsa


Tatkala Yahudi heboh memperkatakan mengenai kelahiran seekor anak lembu betina berwarna merah di wilayah Israel setelah 2,000 tahun, Pihak Berkuasa Palestin (PA) memberi amaran rejim Zionis merancang membahagi dua Masjid Al-Aqsa.

Sebahagian bagi umat Islam beribadat dan sebahagian yang lain untuk Yahudi, kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, hari ini.

Bercakap pada pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), beliau berkata, sudah ada tanda dan bukti di mana rejim pengganas Israel akan bertindak demikian.

Rejim Zionis itu juga merancang bertindak demikian di Masjid Ibrahimi di Hebron, katanya.

“Setakat yang diketahui, kita sedang berbincang dan mendapatkan pandangan saudara kita di Jordan, bagi mencapai persetujuan bersama-sama membawa kes ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.

Jordan adalah penjaga masjid yang terletak di timur Baitulmaqdis itu, turut menyalurkan dana kepada Jabatan Wakaf iaitu pihak yang mengurus dan mentadbir Masjid Al-Aqsa.

Masjid Al-Aqsa menjadi titik perbalahan dan ketegangan antara rakyat Palestin dan Israel. Yahudi mendakwa Masjidil Aqsa terletak di atas bukit yang menjadi tapak suci mereka iaitu kuil pertama dan kedua.

Rakyat Palestin telah lama bimbang mungkin suatu hari nanti Israel akan berusaha untuk mengenakan kawalan penuh ke atas tapak suci itu.

Walaupun ditadbir Jordan, Masjid Al-Aqsa kekal di bawah kawalan ketat pasukan keselamatan rejim pengganas Israel, yang secara rutin menyekat kemasukan ke masjid berkenaan.

Julai lalu, askar rejim Zionis menggempur pekarangan masjid berkenaan dan melepaskan tembakan peluru hidup ke arah umat Islam yang beribadat di situ.

Orang Yahudi dilarang memasuki pekarangan masjid berkenaan, tetapi pasukan keselamatan Israel biasanya membenarkan ratusan pendatang Yahudi memasukinya.

Ekstremis Yahudi seperti Temple Mount Faithful dan Temple Institute, yang mendapat dana daripada kerajaan rejim Israel, kerap menyuarakan matlamat mereka untuk membina kuil ketiga di kawasan itu dan meruntuhkan Masjid Al-Aqsa.

Malah, kelahiran anak lembu merah yang heboh diperkatakan – kelahiran pertama selepas 2,000 tahun – dijadikan ramalan bahawa dunia sudah hampir kiamat, Dajjal akan muncul, dan pembinaan kuil ketiga di atas runtuhan Masjid Al-Aqsa mesti dipercepatkan.

Bagaimanapun, Temple Institute berkata, mereka akan memeriksa sama ada warna anak lembu itu keseluruhannya merah.

Kumpulan fundamentalis Yahudi percaya jika anak lembu itu didapati bebas daripada sebarang kecacatan dan keseluruhannya berwarna merah, Temple Institute akan mengisytiharkan anak lembu betina itu akan mengembalikan kesucian dan kegemilangan Yahudi di dunia.

Dalam Bible yang digunakan sesetengah penganut Kristian dan Yahudi, anak lembu merah itu berada di tengah-tengah ramalan mengenai Hari Kiamat.

Selepas mengorbankan lembu merah itu, ramalan berkenaan menyatakan pembinaan kuil ketiga boleh dimulakan di Baitulmaqdis.

Pembinaan kuil ketiga di Bukit Moriah (nama yang disebut dalam Book of Genesis) adalah matlamat yang hendak dicapai oleh Temple Institute dan beberapa kumpulan di seluruh dunia, supaya ramalan itu menjadi kenyataan.

Pengarah Antarabangsa Temple Institute, Chain Richman berkata, masanya sudah tiba untuk pembinaan kuil ketiga berikutan kelahiran anak lembu betina merah itu. – Agensi

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan