Header Ads

ads header

Flash News

Izzah Anwar menyangkal Kenyataan Datuk S Amiga soal nepotisme dalam PKR


Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyangkal bahawa akan wujud soal nepotisme dalam parti itu sekiranya bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi anggota Parlimen nanti.

Memandang positif kritikan dan pandangan yang dilemparkan, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau akan menumpukan tumpuan pada kerja serta tugas yang diberikan oleh rakyat kepadanya.

Nurul Izzah menegaskan, bagi menangkis tanggapan itu (nepotisme), seharusnya pemberian kontrak dan dana tidak diberikan kepada mereka yang tergolong dalam keluarga apabila memegang jawatan dalam kerajaan.

" Pada saya kita ambil secara positif dan kita juga dengan penuh rendah diri memahami dalam skop akan ada suara-suara yang tidak bersetuju dengan kita. Alhamdulilah saya tidak termasuk dan tergolong dalam Kerajaan Pusat , saya amat-amat bersyukur diberikan peluang oleh rakyat Permatang Pauh yang menjadi suara kepada isu-isu termasuklah pemerkasaan anak-anak muda dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Pada saya, kita harus pastikan jangan diberikan juga pemberian kontrak atau pemberian berupa dana kepada mereka yang tergolong dalam keluarga kita, bila kita memegang jawatan dalam kerajaan,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Malaysiaku Mini RTC Pulau Pinang di Mengkuang Titi di Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga, yang mempersoalkan langkah untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Ambiga dilapor berkata peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal itu mencetuskan dakwaan amalan nepotisme dalam PKR.

Sementara itu berhubung permintaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Port Dickson yang tidak mahu Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turun berkempen di kawasan itu (Port Dickson), Nurul Izzah berkata beliau menghargai perkara itu.

"Saya hargai kenyataan pimpinan utama BERSATU (Port Dickson) dan saya harap dalam suasana ini kita lahirkan keharmonian yang kita mahukan iaitu untuk menunaikan janji dan agenda kita buat rakyat. Ini menunjukkan BERSATU pun sudah bersuara," katanya.

Mengenai PRK Port Dickson itu, Nurul Izzah berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

"Menteri Besar merangkap pengerusi PKR Negeri Sembilan telah mengeluarkan kenyataan semalam di mana mesyuarat telah bermula dan saya akan berbincang dengan beliau. Sudah tentunya isu isu tempatan akan di fokuskan. Dan sudah tentu kita perlukan gerak kerja dari semua dengan hasrat untuk menjadikan suara di parlimen itu suara yang dapat didengari dan mengesankan."

- Bernama


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan