Header Ads

ads header

Flash News

Benarkah hanya ada dua pilihan?


POLITIK merupakan medan pertembungan yang terkadang memaksa kita untuk memilih sama ada mahu berpihak kepada siapa. Selalunya hasil dari saringan konflik berpanjangan, akhir sekali membentuk dua blok yang mempunyai kekuatan dan pengaruh yang setara. Ketika itu, apakah sikap kita?

Rom vs Parsi
Semasa berlaku perang besar antara Rom dan Parsi, masyarakat Musyrikin memilih untuk berpihak kepada Parsi. Kecenderungan mereka atas faktor anutan keberhalaan yang dianut oleh masing-masing. Adapun Nabi dan para Sahabat, memilih untuk menyokong Rom kerana mereka merupakan Ahli Kitab yang dinilai lebih hampir dengan Islam. Dari peristiwa tersebut, Allah turunkan ayat:

غُلِبَتِ الرُّومُ (٢) فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (٣) فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (٤)

"Rom telah dikalahkan. Di negeri yang terendah dan mereka setelah kekalahannya itu akan menang. Dalam beberapa tahun, bagi Allah jualah urusan sebelum dan selepas. Dan ketika kemenangan mereka, orang-orang beriman bergembira" (al-Rum: 2-4)

Sekadar sokong
Jika kita melihat Sirah Nabi, Baginda dan para Sahabat cukup cermat, hanya menyokong Rom secara berpada. Sokongan moral itu sebagai reaksi terhadap keangkuhan Musyrikin yang terlalu berlagak dengan kemenangan Parsi.

Bermaksud sokongan Nabi dan para Sahabat kepada Rom, tanpa sebarang komitmen. Nabi tidak menghantar tentera bantuan, biaya sokongan dan usaha-usaha lain yang membebankan fokus membina kekuatan sendiri ketika itu. Kebijaksanaan Nabi dalam situasi tersebut menyebabkan Islam tidak terbeban dengan isu-isu Rom. Jika Nabi menyokong Rom dengan komitmen, kelak ia akan menjadi modal peluang untuk musuh mengaitkan skandal korupsi dan kezaliman Rom dengan Islam.

Rom mensabotaj
Rom sebagai sebuah kuasa besar yang dianggap hampir anutannya dengan Islam, selang beberapa tempoh akhirnya mensabotaj umat Islam. Rom didapati membiaya gerakan Munafiqin bagi membina Masjid Dirar yang berfungsi untuk memecah-belahkan umat Islam di Madinah. Hasil dari perkhabaran Jibril, Nabi memerintahkan agar para Sahabat membakar masjid tersebut.

Sememangnya resam gerakan Munafiqin, pasti mempunyai hubungan sulit dengan pihak asing dan menikmati laba untuk menjalankan misi-misi tertentu.

Dari sejarah ini, menggambarkan Nabi dan para Sahabat cukup bersedia untuk bertindak balas ke atas Rom. Walaupun pada asalnya mereka menyokong Rom, tetapi sokongan tersebut dibuat dengan cermat tanpa sebarang komitmen dan tidak membabitkan untung rugi politik yang sedang dipacu oleh Nabi. Sokong yang sekadar sokong.

Perang dingin
Begitu juga ketika era moden, umat Islam sekali lagi didesak untuk memilih sama ada mahu bersama Blok Barat atau Blok Timur. Dalam hambatan senario tersebut, umat Islam seakan-akan lupa potensi diri sendiri. Merelakan hegemoni politik diserahkan sahaja kepada salah satu antara dua kuasa besar yang sedang bertelagah. Kononnya tidak mahu bersikap retorik berbicara berkenaan idealisme dan jati diri sendiri. Sedangkan mereka menjadi mangsa retorika pihak asing untuk sekadar menjadi pemberat kepada neraca persaingan politik sesama kuasa besar.

Dari senario yang berlaku ketika Perang Dingin, memperlihatkan ada umat Islam yang didorong oleh kumpulan-kumpulan tertentu untuk bersama dengan Blok Barat. Mereka tajam menentang Komunisme bawaan Soviet. Ada pula yang didorong untuk bersama Blok Timur. Mereka tajam menentang projek pembaratan bawaan AS. Dalam keadaan tidak sedar, kecenderungan mereka dimanfaatkan oleh pemain politik kuasa besar untuk berjimat dalam berkonflik. Mendorong umat Islam bertempur bagi pihak mereka.

Ambil kesempatan atau mangsa kesempatan?
Corak politik yang dibentuk kononnya kita hanya mempunyai dua pilihan dan terpaksa memilih salah satu, merupakan falasi dilema yang cukup berkesan untuk mengheret kita ke dalam konflik mereka, lalu diperalatkan.

Ramai yang secara santai berfikir, kita perlu mengambil kesempatan terhadap perkelahian yang sedang dialami oleh musuh. Tanpa mengambil kira sejarah bagaimana umat Islam didorong untuk diperalatkan. Sentimen agama kerap kali menjadi umpan membakar semangat kita untuk memilih sama ada mahu menyertai blok yang mana satu.

Muhammad Qutb ketika menceritakan sejarah panjang Perang Dingin yang menyaksikan banyak slogan Islam diperdagangkan dan ramai umat Islam yang dieksploit, beliau mengingatkan:

"Barangsiapa yang meletakkan harapan nasib umat Islam bergantung kepada pelbagai konflik (antara blok-blok kuasa besar), maka dia akan menjadi orang yang hanya menunggu tetapi sedikit hasilnya. Malah sama sekali tidak memperolehi apa-apa. Nihil"

Begitu juga Fathi Yakan menyatakan kekesalan akan cara fikir umat Islam yang masih belum mampu keluar dari dikotomi pihak luar. Kita belum cukup berjatidiri untuk membina kekuatan yang tersendiri:

"Sesungguhnya tiada yang lebih sesat dari golongan yang mengatakan sekiranya umat Islam tidak menjadi golongan kanan, mereka mestilah menjadi golongan kiri. Sekiranya mereka tidak menjadi Komunis, mereka mestilah menjadi Kapitalis. Umat Islam wajib menyedari dengan sebenar-benarnya bahawa mereka memiliki sifat-sifat keperibadian yang tersendiri. Keperibadian yang tidak berfahaman kanan atau kiri"

Relevansi blok ketiga
Inilah formula ampuh demi survival perjuangan umat Islam. Sejak dari zaman berzaman, pasti akan ada persaingan antara dua blok besar. Islam menganjurkan jalan yang paling selamat, iaitu tidak masuk campur dengan persaingan pihak asing. Menyelamatkan diri dari terbeban dengan risiko-risiko yang diada-adakan. Menumpukan soal pembinaan jenama dan blok sendiri. Agar kita tidak berterusan sekadar menjadi pemberat kepada neraca persaingan mereka. Yang pastinya apabila salah satunya kalah, ketika itu kita sudah cukup bersedia untuk menghadapi blok mereka yang menang. Sifat unik inilah yang telah difirmankan oleh Allah:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ

"Dan demikianlah Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) sebagai umat pertengahan. Agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas perbuatan kamu" (al-Baqarah: 143)

ABDUL MU'IZZ MUHAMMADKetua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
4 Oktober 2018

MR : Jika ada 2 kumpulan A dan B. Anda berkecuali, anda adalah kumpulan C yang mungkin diserang oleh 2 kumpulan A dan B. Jadi baik sokong A serang B atau sokong B serang A..he he he....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

IKLAN BERBAYAR :

Tiada ulasan