Cegah maksiat dan khalwat kewajipan kerajaan
KENYATAAN Dato' Dr
Mujahid Yusuf Rawa berkenaan isu pencegahan ke atas maksiat peribadi
termasuklah khalwat tersembunyi bukanlah urusan kerajaan adalah jelas
tidak memahami konsep amar makruf dan nahi munkar.
Sedangkan pencegahan yang berstatuskan penguatkuasaan adalah tertakluk
pada kuasa yang dimiliki dan sudah pasti pihak kerajaan yang memiliki
kuasa tersebut.
Hal ini dapat difahami menerusi maksud
mencegah kemungkaran dengan tangan ialah merujuk kepada kuasa
sebagaimana hadis yang dibahaskan oleh para ulamak seperti berikut:
مَن
رَأى مِنكُم مُنكَرَاً فَليُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ
فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ
الإيمَانِ
"(Maksdunya) Sesiapa yang
melihat kemungkaran maka hendaklah dia cegah dengan tangannya (kuasa),
jika dia tidak berkemampuan maka cegahlah dengan lisan, jika tidak juga
berkemampuan maka cegahlah dengan hatinya, dan demikian itu adalah
selemah-lemah iman.”
[Riwayat Muslim]
Pihak yang berautoriti dan memiliki
kuasa bertanggungjawab mencegah maksiat yang wujud serta khalwat yang
dilaporkan. Ia sama ada kuasa bersifat khusus seperti seorang bapa ke
atas anaknya atau juga kuasa bersifat umum seperti kerajaan ke atas
rakyat. Kemungkaran wajib dicegah apabila ianya:
i. Benar-benar berlaku,ii. Sedang dilakukan,iii. Disepakati kemungkarannya,iv. Pencegahan bukan bersifat tajassus (mengintai mencari kesalahan).
Dalam konteks penguatkuasaan pencegahan,
sememangnya yang diamalkan adalah berasaskan laporan yang diterima
aduan dan disahkan penelitiannya. Bermakna ia bukanlah bermaksud redahan
semberono tanpa sebarang aduan dan hujah. Ini kerana asas dalam aduan
ialah wujudnya bukti. Sabdaan Baginda S.A.W dalam sebuah hadis daripada
riwayat Ibnu Abbas R.A:
لَوْ
يُعْطَى النَّاسُ بِدعوَاهُمْ لادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَال قَومٍ
وَدِمَاءهُمْ، وَلَكِنِ البَينَةُ عَلَى المُدَّعِي، وَاليَمينُ عَلَى مَن
أَنكَر
"(Maksudnya) Sekiranya
diberikan (kebenaran) atas manusia semata-mata dakwaan mereka, nescaya
akan mendakwa seseorang akan (tuntutan) harta dan darah sesuatu kaum,
akan tetapi bukti dikenakan ke atas pendakwa manakala sumpah atas mereka
yang menafikan (dakwaan atasnya).”
[Riwayat al-Baihaqi]
Lantaran itu, ia bukanlah menceroboh hak
peribadi manusia tetapi penguatkuasaan pencegahan tersebut termasuk
mencegah kemungkaran yang telah dimaklumi berasaskan aduan yang diterima
dan disahkan penelitian sekalipun kes maksiat tersebut berlaku dalam
kediaman peribadi dan pada waktu tengah malam. Jadi, menjadi
tanggungjawab kerajaan untuk mengambil langkah pencegahan sepantas
mungkin bagi menyekat jalan maksiat yang lebih besar atau Saddu al-Zari'ah.
Menteri Agama berkenaan sepatutnya
membezakan antara maksiat yang dirahsiakan tanpa diketahui dengan
maksiat yang dimaklumi. Sekiranya yang dimaklumi seperti kes khalwat di
lokasi tertutup dan premis peribadi sekalipun, maka ianya wajib dicegah
jika aduan dibuat, jika tidak, dibimbangi termasuk dalam golongan yang
dilaknat oleh Allah kerana membiarkan kemungkaran yang diketahui
berleluasa. Firman Allah S.W.T:
لُعِنَ
الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ
وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا
يَفْعَلُونَ
"(Maksudnya) Orang-orang
kafir dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan
Injil) melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian
itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka tidak
melarang daripada perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi
sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.”
[al-Maidah: 78-79]
YB Menteri Agama sepatutnya memberikan
fokus dalam kerja-kerja penambahbaikan teknikal untuk lebih efisyen
dalam menghalang sebarang kemungkaran dan bukannya terus menerus
memberikan pandangan yang menimbulkan polemik negatif kepada tuntutan
Islam dan institusi agama Islam. Kepada yang terlanjur, ingatlah:
الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل
“Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”
“Islam Memimpin”
“Islam Jalan Penyelesaian”
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
26 Muharram 1440 / 6 Oktober 2018
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/






©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
IKLAN BERBAYAR :


Tiada ulasan