Header Ads

ads header

Flash News

Loket berlian merah jambu 22 karat hadiah putera raja


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menegaskan loket berlian merah jambu 22 karat yang dikatakan dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$27 juta adalah hadiah daripada putera raja dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bekas Perdana Menteri berkata, putera raja itu adalah Sheikh Mansour, saudara Putera Mahkota Sheikh Mohammed Zayed, yang juga Pengerusi International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Kita tahu Jho Low (Jho Taek Low) rakan rapat Sheikh Mansour dan cincin itu adalah hadiah daripada Sheikh Mansour,” katanya dalam satu wawancara bersama Aljazeera 101 Timur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai wang sebanyak AS$27 juta digunakan daripada dana 1MDB untuk membeli loket berlian itu untuk isterinya.

Ditanya mengenai pertemuan Datin Seri Rosmah dengan Jho Low dan tukang emas serta Rosmah maklum ia hadiah daripada Jho Low, Najib sekali lagi menegaskan loket itu adalah hadiah daripada Sheikh Mansour.

“Yang kami tahu ia hadiah daripada Sheikh Mansour. Siapa tahu dari mana wang atau siapa yang membayarnya. Kami pun tidak tahu nilai hadiah itu,” katanya.

Menjawab soalan mengenai anak tirinya, Riza Aziz, membiayai filem Wolf of Wall Street dan membeli hartanah mewah secara besar-besaran yang didakwa DoJ menerusi dana 1MDB, Najib berkata, Riza seorang penggemar filem dan akan berusaha menjadikannya (kisah itu) sebagai filem.

“Putera Mahkota Mohammed Zayed memberitahu beliau di hadapan saya bahawa dia akan melabur dalam filemnya. Kami mengandaikan sebarang pelaburan dari Abu Dhabi untuk membiayai filem itu akan menjadi pinjaman.

“Anak tiri saya bersedia untuk membayar kembali setiap sen yang diberikan kepadanya,” katanya.

Ditanya pandangan beliau jika masyarakat umum masih tidak mempercayai penjelasannya, Najib berkata, di sebalik kejujuran, ada kebenaran.

“Maksud saya, tiada apa yang boleh saya lakukan jika orang tidak percaya, tetapi itulah kebenaran. Sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, negara ini membangun dan mengecapi pelbagai kejayaan,” katanya.



............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan