Header Ads

ads header

Flash News

Naikkan gaji untuk tarik pekerja tempatan dahulu, baru automasi, kata MTUC


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata automasi dan mekanisasi tidak seharusnya menyebabkan pengangguran dan kerajaan perlu menaikkan gaji bagi menarik pekerja tempatan.

“Tidak ada gunanya automasi dan pemodenan kerja sekiranya upah minimum masih rendah kerana ia tidak akan menarik pekerja tempatan dan Malaysia akan terus bergantung pada pekerja asing,” kata Setiausaha Agung MTUC J Solomon.

Oleh sebab itu kerajaan perlu mengkaji dengan teliti kesan dasar sedemikian ke atas sektor pembuatan dan pertanian, katanya.

“Sistem Binaan Industri (IBS) bagi mengurangkan pekerja asing berkemahiran rendah bukanlah idea yang baik sekiranya ia bertujuan menghapuskan terus penyertaan dan intervensi manusia,” katanya.

Beliau memberi respons terhadap keputusan kerajaan untuk menggalakkan automasi dan mekanisasi, terutamanya dalam sektor pembuatan dan pertanian bagi mengurangkan pergantungan pada pekerja asing seperti digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11.

Dalam sektor pembuatan, kerajaan akan terus menggalakkan pelaksanaan IBS bagi mengurangkan pekerja berkemahiran rendah.

Solomon berkata, apabila pekerja dibuang kerja kerana automasi mereka akan kehilangan maruah diri, dan menambah, mereka juga mungkin merupakan penyara tunggal keluarga masing-masing.

Katanya pekerja tidak boleh beralih kerja ke tempat lain kerana mereka kini dianggap tidak berkelayakan dalam persekitaran baru yang tercipta.

“Mereka tidak boleh dilatih semula kerana umur yang telah lanjut,” katanya dan menambah, ini merupakan salah satu kos sosial yang perlu diambil kira.

Bagaimanapun katanya, automasi boleh dilaksanakan dalam sektor tumpuan pekerja asing, yang menyebabkan upah tertekan, selain sektor yang terlalu bergantung pada pekerja asing.

Dalam pada itu, naib presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Nathan Suppiah menyambut baik rancangan meningkatkan automasi dan mekanisasi bagi mengurangkan pergantungan pada pekerja asing.

Nathan berkata, terdapat banyak masalah dalam menggaji pekerja asing. Ini termasuklah masalah “tanpa kesudahan” dalam mendapatkan pekerja, kesukaran untuk memperbaharui permit kerja dan wujudnya ejen di setiap aras yang menambahi halangan sedia ada.

Bagaimanapun katanya, perlu wujud perkongsian awam-swasta bagi menyediakan program sokongan dalam mendorong industri menerima pakai automasi dan mekanisasi.

“Seperti banyak negara maju dan perindustrian, sektor industri di Malaysia juga cepat menerima manfaat Revolusi Industri 4.0.

“Tetapi ini mengambil masa kerana kita perlu meningkatkan dan memperbaharui kemahiran pembanguan sumber manusia kita terlebih dahulu,” katanya.
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. telinga yang ada dalam kabinet dapur sentiasa terbuka untuk mendengar luahan mana-mana persatuan sementelahan 10 juta undi dari anda-andi yang telah meletakkan ketua kabinet dapur di Putrajaya. ayuh mintalah, pastinya permintaan anda-andi adalah ibarat yang pipih datang melayang dan bulat datang bergolek.

    BalasPadam