Header Ads

ads header

Flash News

Pandang Pertama: Xiaomi Mi MIX 3 – Skrin Penuh Tanpa Takuk Dengan Variasi 10GB RAM


Akhir-akhir ini kita menyaksikan banyak jenama daripada China menghasilkan inovasi yang menarik untuk penghasilan peranti dengan rekaan skrin sepenuhnya. Ia bermula daripada syarikat jenama Jepun iaitu Sharp menerusi Sharp Aquos Crystal (2014) dan kemudiannya “gerakan” ini dipopularkan menerusi Xiaomi Mi MIX (2016). Tahun ini sahaja, kita melihat tiga model yang beraksi untuk memperlihatkan konsep yang terbaik, antaranya Vivo NEX (dengan rekaan kamera yang dikeluarkan), OPPO Find X (dengan bahagian atas yang boleh dikeluarkan secara automatik), dan terkini Xiaomi Mi MIX 3 yang meneruskan legasi rekaan skrin penuh tanpa takuk.

Xiaomi Mi MIX 3 telah menggunakan konsep bahagian belakang yang boleh diluncurkan ke atas, dengan perletakkan kamera hadapan, sensor, dan saluran pendengaran pada bahagian ini. Konsep ini mengingatkan saya dengan rekaan Nokia N95 (2006), yang juga memerlukan pengguna meluncurkan bahagian belakang ke atas untuk mengakses butang muzik dan multimedia. Saya cukup gembira kerana rekaan seperti ini telah kembali untuk tahun 2018, bagi memperlihatkan lagi konsep rekaan yang pratikal untuk penghasilan peranti berskrin sepenuhnya.

Rekaan

Sebagai permulaan, Xiaomi Mi MIX 3 didatangkan dengan spesifikasi tinggi, seperti kehadiran skrin 6.39-inci Full HD+ dengan panel AMOLED, cip Snapdragon 845, pilihan memori 6GB / 8GB / 10GB RAM, dan pilihan storan dalaman 128GB / 256GB UFS 2.1. Ia juga menawarkan beberapa sambungan standard seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, NFC, bersama kapasiti bateri 3200 mAh.

Dari segi rekaan, binaan belakangnya masih dibina berasaskan bahan seramik, bersama binaan sisi yang dibina berasaskan logam 7000-series. Rekaan seperti ini dilihat sangat premium, namun kelihatan mudah untuk memerangkap kesan cap jari. Walaupun hadir dengan binaan belakang yang boleh dikeluarkan, ia tidak tebal, malah ketebalannya hampir sama iaitu 8.5mm vs 8.1mm pada Xiaomi Mi MIX 2s. Cuma saya dapati ia terasa sedikit berat, melalui berat 218g berbanding 191g pada model Mi MIX yang sebelumnya.



Seperti Mi MIX 2s, Mi MIX 3 turut mengekalkan fungsi Qi Wireless Charging, yang membolehkan anda mengecas peranti ini dengan meletakkannya pada pad pengecas berasaskan Qi. Tetapi apa yang cukup menarik, pengecas Qi berasaskan 10W turut disertakan di dalam kotak pembelian peranti yang mana agak jarang dibekalkan pada kebanyakan peranti. Ia tidak menampilkan pengimbas cap jari di bawah skrin seperti Mi 8 Pro, dengan mengekalkan lokasi pengimbas cap jari yang sama iaitu pada bahagian belakang.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa dan butang pelarasan suara di bahagian kanan, manakala slot dwi-sim ditempatkan di bahagian kiri. Agak menarik pada bawah slot sim ini, ia menempatkan butang pengaktifan pembantu maya, yang membolehkan anda melancarkan Google Assistant untuk set antarabangsa. Seperti Mi MIX 2s juga, ia tidak menampilkan bicu audio 3.5mm dan IR blaster pada mana-mana bahagian dan hanya menawarkan pembesar suara mono dan sambungan USB-C pada bahagian bawah.

Bergerak ke bahagian hadapan, antara perkara yang menjadi topik bualan kepada peranti ini semestinya rekaan belakang yang boleh dikeluarkan ke atas. Ia dibina berasaskan magnetik, jadi anda perlu menaikkannya secara manual, berbanding Oppo Find X yang dapat membuka ruang atas peranti secara automatik. Xiaomi mengatakan bahagian ini mempunyai ketahanan sekitar 300,000 kali pembukaan, atau kira-kira 8 tahun sekiranya anda membuka bahagian ini sebanyak 100 kali sehari.



Dengan perletakkan kamera pada bahagian ini, Xiaomi Mi MIX 3 berjaya mencapai nisbah screen-to-body ratio setinggi 93.4%, dengan mengecilkan bingkai di bahagian bawah skrin peranti ini. Paparannya hadir dengan saiz skrin AMOLED sebesar 6.39-inci, dengan resolusi skrin Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Dengan penggunaan AMOLED, ia memberi kontras warna yang lebih terang berbanding IPS LCD, disamping menjimatkan bateri untuk apabila terdapat paparan berwarna gelap.

Dari segi variasi, Xiaomi Mi MIX 3 ditawarkan dalam empat variasi berbeza, iaitu 6GB RAM + 128GB, 8GB RAM + 128GB, dan 8GB RAM + 256GB. Agak menarik pada variasi paling tinggi, ia menawarkan konfigurasi memori setinggi 10GB RAM, menerusi variasi 10GB RAM + 256GB yang didatangkan bersama edisi The Palace Museum. Namun seperti Xiaomi Mi MIX 2s, ia tidak menawarkan slot kad mikroSD, namun ia telah menerima penaiktarafan storan dalaman daripada 64GB kepada 128GB untuk variasi paling asas.

Sistem

Xiaomi Mi MIX 3 dijana dengan antaramuka MIUI 10, iaitu iterasi antaramuka MIUI terkini yang dibina berasaskan sistem operasi Android 9.0 Pie. Antaramuka ini kelihatan sangat moden dan menyerupai sejumlah tampilan yang hadir pada Android P. Seperti MIUI sebelum ini, ia masih kelihatan ceria dan menyajikan sejumlah pilihan tema yang boleh dimuat-turun oleh pengguna. Paparan utamanya juga masih menampilkan paparan berasaskan aplikasi dan widget, tanpa sokongan talam aplikasi untuk perletakkan aplikasi-aplikasi ini.



Xiaomi juga turut mendatangkan beberapa aplikasi mereka sendiri pada antaramuka ini, seperti Mi Drop untuk penghantaran fail pantas, dan aplikasi Screen Recorder untuk memudahkan anda mengambil rakaman skrin. Aplikasi-aplikasi asas seperti Gallery, Weather, dan File Manager turut tersedia, sekaligus memudahkan anda menggunakan sejumlah aplikasi ini secara terus tanpa perlu memuat-turun aplikasi tambahan. Dengan penyertaan MIUI 10, anda juga dapat menikmati kawalan berasaskan gesture dan paparan pertukaran aplikasi yang diberi nafas baru.

Prestasi

Dari segi prestasi, Xiaomi Mi MIX 3 dijana dengan cip yang sama digunakan pada kebanyakan peranti mercu tahun ini, melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 845. Ia membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz + 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 630. Cip ini merupakan cip yang terpantas untuk siri Snapdragon tahun ini, dengan membolehkan pengguna memainkan sejumlah permainan terkini seperti Fornite dan PUBG Mobile pada tetapan grafik tertinggi.


Kamera

Dari segi penggambaran, Xiaomi Mi MIX 3 membawakan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor utama 12MP Sony IMX363 (f/1.8, 1/2.55″, 1.4µm) dan sensor kedua 12MP f/2.4 untuk membantu penghasilan bokeh. Ia juga didatangkan dengan sistem penstabilan optikal (OIS) empat paksi, yang juga dibantu dengan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan penggambaran. Ia turut dilengkapi dengan lampu flash LED dan fungsi Night Mode untuk menerangi penggambaran malam.

Seperti Xiaomi Mi 8, ia dilengkapi dengan pengoptimasian daripada kecerdasan buatan (AI), bagi membolehkan kamera mengenal pasti sesuatu subjek dan mengoptimasikan kontras dan cahaya berdasarkan subjek tersebut. Seperti contoh, sekiranya anda menghalakan kamera ke arah makanan, ia akan meningkatkan konstras warna makanan tersebut agak menjadikannya kelihatan lebih menarik. Menurut DxOMark, hasil penggambarannya masih mirip seperti Mi 8, namun kini mempunyai warna yang lebih tepat dan memberi penstabilan imej yang lebih baik ketika membuat rakaman video.




Xiaomi turut menampilkan sistem dwi-kamera hadapan pada Mi MIX 3 ini, dengan membawakan sensor utama 24MP dan dan sensor kedua 2MP untuk penghasilan bokeh. Ia membawa peningkatan yang besar berbanding Xiaomi Mi MIX 2s yang hanya didatangkan dengan sensor 5MP. Dengan rekaan kamera hadapan yang disorokkan ini, sekiranya anda mengaktifkan fungsi kamera hadapan ini dalam keadaan tertutup, kamera akan memberitahu anda untuk menaikkan bahagian ini terlebih dahulu sebelum anda dapat meneruskan penggambaran swafoto.



Dari segi fungsi, Xiaomi Mi MIX 3 menawarkan rakaman video setinggi 4K@60fps, dengan kebolehan rakaman gerak perlahan setinggi 960fps. Dengan fungsi Night Mode yang didatangkan, ia membolehkan penggambaran malap diterangkan seperti yang dilihat pada Huawei P20 Pro. Fungsi Manual Mode juga turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran ISO, fokus, white balance dan shutter speed.


Bateri

Dari segi bateri, Xiaomi Mi MIX 3 membawakan kapasiti bateri yang sedikit dikurangkan, menerusi kapasiti 3200 mAh berbanding 3400 mAh pada Mi MIX 2s. Namun dengan penggunaan cip 10nm melalui cip Snapdragon 845, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan nyalaan skrin yang lama.

Dengan padanan kapasiti 3200 mAh dan Snapdragon 845, ia dijangka dapat memberi bacaan nyalaan skrin (SoT) sekitar 5 jam untuk penggunaan dari pagi sehingga ke waktu malam. Ia juga didatangkan dengan pengecas Quick Charge 3.0, namun anda boleh menyingkatkan masa pengecasan peranti ini dengan membeli pengecas Quick Charge 4+ secara berasingan.

Rumusan

Xiaomi Mi MIX 3 dilihat membawa peningkatan yang besar berbanding Mi MIX 2s, seperti rekaan skrin penuh yang lebih menyeluruh tanpa lagi rekaan bawah yang tebal. Kedudukan kamera dan sensor telah pun ditempatkan pada bahagian belakang yang boleh diluncurkan ke atas, yang dilihat sangat inovatif berbanding rekaan bertakuk. Ia juga kini menyajikan penggunaan panel berasaskan AMOLED, berbanding IPS LCD yang telah digunakan pada tiga generasi Xiaomi Mi MIX sebelumnya.



Peranti ini juga telah dinaiktaraf dengan cip yang lebih pantas menerusi Snapdragon 845 yang kini mesra dengan tugasan berasaskan kecerdasan buatan (AI). Keupayaan kameranya juga telah ditambahbahbaik dari segi sokongan perisian, selain kamera hadapannya menerima penambahbaikan yang drastik. Tetapi yang menarik, ia kini telah dilengkapi dengan storan permulaan yang lebih besar iaitu 128GB walaupun anda memilih konfigurasi paling asas.



Dari segi jualan, Xiaomi Mi MIX 3 dijangka akan memasuki pasaran tempatan seawal November ini iaitu tempoh yang hampir sama untuk jualan di China. Harganya masih tidak diketahui namun apabila melihat harga untuk pasaran China, Xiaomi Mi MIX 3 ini dijual pada harga jualan ¥3299 RMB (~RM1984) bagi 6GB RAM + 128GB​, ¥3599 RMB (~RM2164) bagi 8GB RAM + 128GB, dan ¥3999 RMB (~RM2405) bagi 8GB RAM + 256GB. Untuk konfigurasi tertinggi, ia ditawarkan bersama edisi The Palace Museum yang dijual pada harga ¥4999 RMB (~RM3006) bagi variasi 10GB RAM + 256GB.

Sumber
https://amanz.my


MR : Jika sanggup habiskan duit followlah teknologi HP..he he....


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan