Header Ads

ads header

Flash News

Henti niaga 15 minit, tunai solat maghrib!


KUALA NERUS - Kerajaan negeri bercadang untuk memperluaskan kempen berhenti rehat 15 minit pada waktu Maghrib yang ketika ini hanya dilaksanakan di Medan Selera Jerteh, Besut ke lokasi-lokasi lain.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pelaksanaan di lain-lain tempat hanya akan dibuat selepas kemudahan asas seperti surau dan tempat berwuduk disediakan.

"Kita memulakan kempen ini (berhenti rehat 15 minit) iaitu 5 minit sebelum azan Maghrib dan 10 minit selepas di Besut, pada 15 Syawal yang lalu dan medan selera itu sememangnya mempunyai kemudahan untuk solat.

"Tidak dapat dinafikan pada awalnya ada peniaga yang membantah kerana ia merupakan waktu ramai pelanggan yang datang.

"Bagaimanapun, selepas ia dilaksanakan peniaga mematuhi kempen yang diadakan dan sehingga kini ia diteruskan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 Negeri Terengganu di Mydin Mall Gong Badak, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Menurut Mohd Nurkhuzaini lagi, perbincangan secara lebih lanjut dengan semua pihak termasuk persatuan penjaja di daerah-daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dibuat dalam masa terdekat ini untuk memastikan hasrat untuk melaksanakan kempen ini secara menyeluruh akan terlaksana.

"Pelaksanaan di medan selera kita tidak mempunyai masalah besar kerana boleh dikatakan semua lokasi itu mempunyai kemudahan untuk solat.

"Cuma pelaksanaan di tapak-tapak pasar malam memerlukan penelitian secara lebih lanjut,"katanya.

Menurutnya, usaha yang dilakukan itu bukan untuk membebankan rakyat, sebaliknya ingin memastikan peniaga dan pelanggan Islam dapat menunaikan kewajipan solat dengan sebaiknya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, KPDNHEP menyenaraikan 16 barangan harga terkawal musim perayaan Deepavali tahun ini.

Pemantauan dan pemeriksaan akan dijalankan melibatkan 119 pegawai penguatkuasa dan 60 pegawai pemantau harga di seluruh Terengganu sepanjang 7 hari tempoh pelaksanaan skim kawalan harga itu dibuat.
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan: