Header Ads

ads header

Flash News

Tangani isu wanita


Di Malaysia, wanita tidak lagi dianggap sebagai pilihan terakhir untuk memenuhi jawatan yang seringkali didominasi oleh kaum lelaki. Wanita kini mempunyai peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara dan ummah secara keseluruhan.

Namun, dalam era globalisasi ini golongan wanita masih tidak dapat lari daripada isu-isu mendesak seperti keganasan rumah tangga, permerdagangan manusia, penganiayaan terutama hak sebagai isteri, gejala pembuangan bayi dan sebagainya.

Selain melalui saluran kerajaan, perjuangan hak-hak wanita juga memerlukan sokongan kuat daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka mungkin boleh menggesa pihak-pihak tertentu termasuk di peringkat pembuat keputusan supaya bersikap lebih praktikal dan efektif.

Sokongan dan bantuan secara langsung daripada pertubuhan-pertubuhan ini tentunya boleh menjadi pemangkin yang amat berkesan dalam usaha pemerkasaan hak-hak wanita terutama wanita Islam di negara ini.

Adanya pertubuhan-pertubuhan wanita yang boleh dijadikan wadah informasi kepada permasalahan sosial, isu-isu wanita boleh dibincangkan dalam kelompok yang lebih besar selain peranan mereka perlu dipertingkat dan diperluaskan.

Wanita Ikram, yang merupakan sayap kepada Pertubuhan Ikram Malayasia, memulakan langkah pertama mereka untuk sama-sama menggembeleng tenaga dalam memperjuangkan isu-isu wanita di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain membela hak-hak golongan tersebut seperti digariskan oleh syarak.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita Ikram, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, bergerak sebagai sebuah NGO, Wanita Ikram menjadikan syariah sebagai penyelesaian kepada permasalahan ummah.

“Kami mahu masyarakat kita boleh mengadakan perkongsian yang adil terhadap ruang dan peluang penglibatan, manfaat pembangunan dan sumber-sumber antara wanita dan lelaki.

“Islam telah mempersembahkan keseimbangan dan wasatiyah yang boleh diketengahkan sebagai penyelesaian yang sejahtera.

“Namun kini, tanpa disedari telah terbentuk kelompok feminis (penyokong feminisme ) radikal yang sesetengah perjuangan mereka melanggar batas-batas agama dan semakin menarik perhatian generasi muda," katanya ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra Wanita Ikram bersama Media di Pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia, Seri Kembangan, Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, Wanita Ikram bukan sahaja memperjuangkan isu wanita malah merangkumi usaha dalam pembangunan belia, ekonomi, politik, pendidikan, kepimpinan wanita, undang-undang syariah, dan dakwah.

“Kami percaya bahawa dalam memperjuangkan isu-isu ini, kami tidak akan bergerak bersendirian malah kami ingin menjalin hubungan dan membina gabungan dengan pertubuhan wanita yang lain tidak kira dalam mahupun luar negara," ujarnya.

Selaras dengan pengiktirafan Islam akan kepentingan peranan wanita dan lelaki dalam pembangunan sesebuah masyarakat dan negara, pertubuhan itu telah memperkenalkan Piagam Wanita Islam yang menyatakan pendirian Wanita Ikram terhadap peranan, tanggungjawab dan hak wanita dan lelaki.

Menurut Che Asmah, mereka mengangkat tiga penegasan bagi menjelaskan asas perjuangan kaum wanita masa kini yang sepatutnya dilakukan, bukan dengan hanya membuta tuli memperjuangkan secara radikal tentang konsep feminis.

“Penegasan pertama melalui pengiktirafan kepentingan peranan wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat di mana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi dalam usaha mewujudkan umat pertengahan.

“Di samping itu, kita juga mahu pengiktirafan diberi terhadap prinsip kesamarataan dan kesaksamaan lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam dengan mengambil kira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat.

“Yang terakhir ialah mengiktiraf dan menuntut lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan serta mengukuhkan institusi keluarga," katanya.

Che Asmah berkata, harapan Wanita Ikram adalah untuk menjadikannya sebagai iktibar buat golongan wanitanya khususnya mengenai kelemahan dan kedaifan mereka apabila berhadapan dengan lelaki.

“Pemerkasaan hak-hak wanita Islam itu perlu bermula pada diri wanita itu sendiri. Wanita Islam seharusnya mempunyai pengetahuan dan kefahaman asas yang sempurna.

“Cetek ilmu serta tidak mengetahui pelbagai hak yang telah direncanakan oleh Yang Maha Esa pada golongan wanita, kadang kala membuatkan mereka tersepit," katanya.

NURSYAMIMI SAIDI

MR :  Wanita tiang seri...


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Sistem Mudah Untuk Anda Menjana Pendapatan Online Secara Sambilan
 Anda Perut BUNCIT, Usus Kotor, Berat Badan Berlebihan? KLIK SINI UNTUK DETOKS TUBUH ANDA
 BERMINAT MENCARI pendapatan tambahan dan ingin menggunakan simkad terbaru?Boleh layari onlinekerjaya.com/9867 untuk maklumat lanjut





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan