Header Ads

ads header

Flash News

Melurus sejarah Ustaz Fadzil: PAN tidak wajar memperingati almarhum


APABILA parti serpihan PAS yang ditubuhkan oleh DAP berusaha untuk memperingati almarhum Ustaz Fadzil, perasaan ahli-ahli PAS sangat terganggu. Sebelum ini mereka juga memperalatkan nama mantan Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk kepentingan politik mereka. Sewajarnya jika tokoh yang ingin dijulang oleh PAN ialah pimpinan besar DAP atau pun penggerak awal IRC, aljamaah atau pun HIS. Ustaz Fadzil semenjak muda sehingga dijemput Ilahi kekal bersama dengan PAS, meredah kepayahan dan badai perjuangan sehingga almarhum meninggalkan kita dengan seribu keteladanan. Telah 17 tahun, sosok ini meninggalkan kita namun namanya tetap harum di lubuk hati kita semua.

Dato' Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir Ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibu bapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.

Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanah air iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda .

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar.

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya rejim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada Ustaz Fadzil. (Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu)

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (Dun) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70-an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihan raya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, di tengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh.

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS di mana 8,000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70-an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Ustaz Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70-an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80-an terutama selepas Anwar menyertai Umno.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70-an.

Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama-ulama untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah.

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihan raya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Beliau menghadapi saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu peristiwa Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah di mana dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini.

Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan Dun Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihan raya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihan raya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan Dun Bukit Raya berikutan kematian ahli Dun tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan Dun Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN, Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN, Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di Dun Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana Dun ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam.

Beliau juga sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan latarbelakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. Di perhimpunan aman seperti di Lebuh raya KESAS, di hadapan kedutaan asing, beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan, kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel atau Amerika.

Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam situasi antarabangsa. Apabila tentera Russia meninggalkan Afghanistan, beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabngsa yang lain seperti Sheikh Mustapha Masyhur, Qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk mendamaikan kumpulan yang bertelingkah. Begitu juga, apabila berlaku reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta, mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh yang bersatu. Bayangkan apa sikap almarhum jika kelompok serpihan PAS keluar dan menubuhkan parti?

Sang murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam, semenjak zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam masyarakat disedari oleh umat, beliau mengharungi zaman payah perjuangan, melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan. Ustaz Fadzil sentiasa mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh umat, didoakan selepas meninggalkan alam yang fana ini.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia ramai menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah Bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya di hati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah.

Almarhum tetap istiqamah memperjuangkan Islam dan kemuliaannya, malangnya sosok ini cuba dirampas sejarahnya oleh PAN. Mereka memperingati Ustaz Fadzil untuk apa? Untuk menguar -uarkan pada umum bahawa merekalah legasi perjuangan almarhum? Mereka salah memahami sejarah emas sosok besar perjuangan Islam ini, DAP keluar daripada pemuafakatan dengan PAS di zaman almarhum iaitu pada tahun 2001. Almarhum pernah duduk sepentas dengan Presiden Umno dalam berhiwar tentang isu Palestin di Dewan Bahasa dan Pustaka. Amalan itu diteruskan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam isu Rohingya pada Disember 2016, namun merekalah paling kuat melalak dan memperlekeh usaha murni Presiden PAS. Mereka tak layak membicarakan sejarah almarhum jika sekadar menjadi khadam kepada DAP dan bermanis muka dengan jahiliah moden! – HARAKAHDAILY 24/6/2019


DR RIDUAN MOHAMAD NOR

AJK PAS Pusat.

MR :  AMANAH macam UMNO sebelum ini cuba menyeleweng Sejarah kemerdekaan


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-
 Dapatkan MADU LEBAH ASLI Disini...Makanan Sunnah Terbaik. Beli Madu Online >>>>KLIK SINI<<<< Penghantaran PERCUMA Ke Seluruh Negara!
 Anda Peminat Kopi? Dapatkan Kopi Ginseng Tongkat Ali Disini >>KLIK SINI<< Sedap Pekat Melekat KAW KAW. PENGHANTARAN PERCUMA.
 Sakit BerTAHUN-TAHUN, Akhirnya SEMBUH apabila dia terjumpa SESUATU yang ...... >>KLIK SINI<< untuk info lanjut.
 Kelas Kek, Roti, Bun, Puff, Danish Dgn Video Chef. Belajar dari rumah. Klik Sini >>>






............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

2 ulasan:

  1. PAN INI MANGKOK AYON .. DIA TAK ADA INTERGRITI DAN TAK ADA PEMIMPIN SEBELUM INI... NAK GUNA SEJARAH ..PEMIMPIN DIA...SEMYA KAKI JILAT TELOQ DAP..TUNGGU PRU 15 NANTI.. KITA GANYANG DAN HANCURKAN PAN MACAM SEBUK KUNYIT..

    BalasPadam