Header Ads

ads header

Flash News

Wajar mansuh Akta Hasutan


TIDAK berapa lama dahulu, media sosial kecoh dengan berita bahawa Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah menyahaktifkan akaun Twitternya, @cheminahsayang.

Pada masa itu, ramai membuat spekulasi bahawa penyahaktifan itu adalah disebabkan oleh komen-komen negatif dan toksik daripada sesetengah pengguna Twitter.

Namun demikian, itu semua hanyalah spekulasi kerana Raja Permaisuri Agong sendiri tidak membuat apa-apa kenyataan mengenai penutupan akaun Twitternya.

Ada netizen yang terlalu bersemangat kemudiannya telah ‘mengenal pasti’ beberapa orang yang kononnya telah menyebabkan Tunku Azizah menyahaktifkan @cheminahsayang. Beberapa laporan polis telah difailkan terhadap individu-individu itu.

Disebabkan laporan telah dibuat, polis seperti biasa membuka kertas siasatan termasuklah di bawah Akta Hasutan. Pada 13 September 2019, telah dilaporkan bahawa seorang individu telah ditahan di bawah Akta Hasutan kerana disyaki menghina institusi diraja.

Akta Hasutan kita adalah peninggalan penjajah yang telah lapuk. Ia telah digubal sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan digunakan oleh pihak British untuk mengawal rakyat tempatan yang memberi ancaman kepada pemerintahan mereka.

Akta tersebut menjenayahkan ‘hasutan’ dengan menjadikan ia suatu kesalahan untuk melakukan apa-apa yang mempunyai ‘kecenderungan menghasut’ atau menutur apa-apa perkataan menghasut.

Apa yang ditakrifkan sebagai mempunyai kecenderungan menghasut adalah luas. Hampir kesemua perkara boleh mempunyai kecenderungan tersebut. Apa yang ditutur atau dilakukan, walaupun boleh dijustifikasi, masih menjadi suatu kesalahan.

Malahan, niat juga langsung tidak relevan.

Sekatan ke atas kebebasan bersuara ini tidak mendokong semangat demokrasi yang menjadi asas kerangka perlembagaan negara kita. Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Apa-apa sekatan ke atas kebebasan itu mestilah berkadar dan tidak melampau.

Dalam manifesto Pakatan Harapan, mereka telah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan. Kerajaan juga telah berkali mengulangi niat mereka untuk memansuhkan akta tersebut. Namun sehinggalah akta tersebut dimansuhkan, ia masih mengikat dan berkuat kuasa.

Dalam kes individu yang ditahan baru-baru ini, Tunku Azizah telah mengaktifkan semula akaun Twitternya untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebab beliau meninggalkan Twitter tidak ada kena-mengena dengan komen netizen tetapi atas sebab-sebab peribadi.

Raja Permaisuri Agong juga menzahirkan rasa kecewanya dengan tindakan polis terhadap mereka yang telah ditahan. Menurut Raja Permaisuri Agong, Malaysia adalah sebuah negara yang bebas.

Kenyataan Raja Permaisuri Agong itu amat dialu-alukan. Masyarakat kita sedang belajar bagaimana mahu mengurus persekitaran yang lebih bebas, yang dibenarkan oleh kerajaan yang lebih toleran terhadap kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat.

Kenyataan seperti itu dapat membantu proses menguruskan kebebasan-kebebasan ini tanpa perlu campur tangan kerajaan.

Proses ini tidak dapat berlangsung dengan berkesan sekiranya ada Akta Hasutan. Ada yang akan terus menggesa supaya kerajaan campur tangan melalui undang-undang dan tidak mahu mengambil tanggungjawab untuk mengurus kebebasan yang ada sendiri.

Ini tidak bermakna kata-kata wajar dibenarkan ditutur dengan bebas. Tetapi kita boleh bezakan di antara hate speech dengan kata-kata yang jelik atau menyakitkan hati. Hate speech wajar dibendung dengan undang-undang, manakala yang jelik atau menyakitkan hati boleh diurus oleh masyarakat.

Oleh sebab itu, kerajaan wajar memansuhkan Akta Hasutan dengan seberapa segera supaya masyarakat boleh mengurus kebebasan ini.

Sekatan ke atas kebebasan bersuara ini tidak mendokong semangat demokrasi yang menjadi asas kerangka perlembagaan negara kita."

Syahredzan Johan
P
eguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

Tiada ulasan