Header Ads

ads header

Flash News

PAS rayu campur tangan Raja-raja halang kontrak sosial dipertikaikan


Ahli Parlimen PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini memohon campur tangan Raja-raja Melayu supaya memandang serius tindakan beberapa pemimpin DAP yang didakwa menentang secara terbuka titah supaya kontrak sosial tidak dipertikaikan.

Beliau turut mencabar Pakatan Harapan (PH) supaya menendang keluar DAP dari pakatan itu selain menggesa pihak polis untuk menyiasat dan menangkap pemimpin yang mempersoalkan kontrak sosial, dengan mendakwa bahawa tindakan sedemikian berpotensi mendatangkan huru-hara dalam negara.

“Saya meneliti dengan amat bimbang tindakan pemimpin DAP mempertikaikan kontrak sosial yang menjadi tunjang utama kepada kemerdekaan negara.

“Bermula dengan ucapan ahli parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, di Parlimen Selasa lalu, sewaktu menyerang Kongres Maruah Melayu, terang-terang menyebut kontrak sosial ini tidak wujud dengan berkata there is no social contract, ia sengaja direka dan diambil entah dari mana untuk mengeruhkan keadaan,” katanya yang dipetik oleh Harakah Online.



Khairuddin berkata Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy juga menimbulkan isu itu ketika menyelar Majlis Profesor Kebangsaan (MPN) untuk mempertahankan tokoh akademik Zainal Kling berhubung komennya di kongres itu.

“Dia (Ramasamy) juga menyebut kontrak sosial ini tidak wujud dengan berkata the nebulous Social Contract was more a figment of Zainal’s imagination than anything else,” katanya.

Semalam, MPN sebulat suara mempertahankan ucapan Zainal dengan berkata kenyataan mengenai konsep kontrak sosial itu adalah "hakikat dan fakta sejarah.”



Justeru, kata Khairuddin, kenyataan-kenyataan ini membuktikan bahawa janji PH sebelum ini untuk mempertahankan perkara-perkara asas yang terkandung di dalam perlembagaan persekutuan menyentuh Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera adalah satu janji palsu.

“DAP biadab kerana menentang secara terbuka titah Raja-raja Melayu melalui Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-215 pada 2008 supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah serta tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

Begitu juga, katanya, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, pada 6 Ogos 2018 supaya “Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara.”

Pakar: Kontrak sosial tidak disebut dalam perlembagaan
Pada Mac tahun ini, pakar-pakar perundangan yang dipetik oleh portal The Star Online menegaskan bahawa kontrak sosial tidak disebut dalam perlembagaan persekutuan.



Pejuang kesederhanaan, Muhammad Tawfik Ismail berkata tidak ada ungkapan "kontrak sosial" semasa merangka perlembagaan.

Tawfik adalah anak bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman, yang adalah antara delegasi yang merundingkan syarat kemerdekaan Malaya di London.

Meskipun perlembagaan menyentuh tiga isu - kewarganegaraan bukan Melayu, bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu, beliau berkata ia jelas tidak menggariskan kontrak sosial.

Menurut Tawfik, tokoh politik negara, allahyarham Abdullah Ahmad mencipta ungkapan itu pada ucapannya di Singapura pada tahun 1986, di mana beliau dilaporkan berkata: "Sistem politik yang didomininasi oleh orang Melayu lahir daripada kontrak sosial yang mendahului kemerdekaan kebangsaan."

Atas sebab itu, Abdullah berkata sistem politik Malaysia mesti menjaga kedudukan orang Melayu.



Selepas istilah itu diterima oleh ahli politik, Tawfik berkata: "Orang ramai bercakap tentang kontrak sosial seolah-olah ia adalah perkara yang sebenar tetapi Abdullah adalah seorang ahli politik sepanjang jalan. (Kontrak sosial) sebenarnya fiksyen."

"Bagi saya, tidak ada seorang ahli parlimen pun yang mempertahankan perlembagaan sebagaimana sepatutnya dan seperti yang mereka telah bersumpah untuk lakukan," katanya.

Begitu juga, kata penganalisis dasar awam Lim Teck Ghee, bahawa ungkapan Abdullah tentang "kontrak sosial" sering diulangkan oleh BN dan penyokong mereka, sehingga menjadi kenyataan yang tidak boleh dipersoalkan oleh orang awam.

Kedua-dua Tawfik dan Lim bercakap di forum yang bertajuk "Kontrak Sosial dan Relevansinya di Malaysia Kontemporari."


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


-: Iklan Teks (hanya RM20 sebulan) :-


............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

1 ulasan:

  1. Saya merayu Raja-Raja membakul sampahkan sahaja sistem berpelembagaan inisecepat mungkin sebelum terlambat.
    Kerana system dajjal ini lah segala huru-hara dunia makin menjadi-jadi.

    BalasPadam