Header Ads

ads header

Flash News

Saya Dipenjarakan Kerana Sedekah Rm200 (Dua Ratus Ringgit)


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua ahli keluarga, sahabat handai, dan sesiapa sahaja yang mengenali saya. Saya menulis surat ini untuk menjelaskan apa sebenarnya terjadi kepada saya, yang menyebabkan saya “hilang” dan kesemua akaun media sosial saya (yang dahulunya aktif) menjadi sunyi sepi sejak 30 Oktober 2018. Mudah-mudahan surat ini dapat menjernihkan keadaan sekiranya ada pihak menyebarkan khabar berita yang tidak tepat tentang saya, insya Allah.

Pada 30 Oktober 2018, lebih kurang jam 10:15 pagi, bermula detik hitam dalam hidup saya, iaitu ditahan dan dipenjarakan atas tuduhan yang saya tidak bermaksud lakukannya. Saya ditahan di bawah SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747)), atas tuduhan “menyalurkan dana untuk tujuan keganasan” sebanyak RM200 (ya, RM200. Bukan RM2,000, RM20,000 atau RM200 ribu)! Berat untuk saya menerimanya ketika pertuduhan itu dibacakan terhadap saya pada 21 November 2018 di Mahkamah Sepang, kerana pada hakikatnya, ia hanyalah satu (ya, hanya satu) transaksi sedekah atas dasar ihsan kemanusiaan saya kepada seorang kenalan lama saya sewaktu di universiti dahulu.

Ketika saya aktif mendidik masyarakat tentang kewangan dan emas melalui akaun media sosial saya iaitu blog dan Facebook, saya disapa oleh kenalan lama tersebut, dan memohon sumbangan untuk “makan/minum” beliau bersama isteri dan anak-anaknya yang dalam keadaan serba kekurangan. Maka atas dasar ihsan kemanusiaan, saya memberikan sedekah tersebut pada 23 Februari 2017 melalui perbankan online, tanpa saya sedar niat baik saya itu menyebabkan saya dipenjarakan!

Sewaktu tempoh disoal siasat oleh polis cawangan Khas selama 23 hari, saya diberitahu bahawa kenalan saya tersebut telahpun diwartakan sebagai “pengganas”, maka saya dituduh “menyalurkan dana untuk tujuan keganasan” walaupun pada hakikatnya, bukan itu tujuan saya memberikan sumbangan tersebut. Hampir 3 bulan saya (serta isteri) mengalami trauma atas apa yang berlaku, terutama sekali bila teringat kembali saat saya diseksa mental dan fizikal dalam tempoh disoal siasat oleh polis. Berat untuk saya menerima hakikat bahawa niat baik saya itu dituduh sebagai ‘berniat jahat’. Dan lebih berat lagi apabila berhadapan dengan birokrasi undang-undang SOSMA yang jauh lebih sulit berbanding kes “mengedar dadah” ataupun “bunuh dengan niat”!

Kalau dikatakan undang-undang SOSMA ini “terlalu keras” sebagaimana dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan oleh Berita Harian bertarikh 13 Oktober 2019 ( https://www.bharian.com.my/…/anwar-sokong-polis-banteras-ke… ) saya sangat bersetuju. Saya salah seorang mangsanya. Saya tidak menyokong keganasan, bahkan hasil siasatan forensik polis terhadap telefon bimbit, dan kesemua komputer, external hard disk, pendrive, serta penggeledahan yang dibuat di rumah saya, tidak ada sebarang artikel, gambar atau video dalam simpanan saya yang boleh dikaitkan sebagai mempunyai ideologi menyokong keganasan. Tidak ada.

Saya cintakan keamanan. 10 tahun saya mendidik masyarakat tentang kewangan secara percuma di blog peribadi www.mohdzulkifli.com dan menyampaikan seminar secara percuma di seluruh Malaysia sejak 2016, adalah bukti saya seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan. Bahkan saya menghargai usaha polis mencegah keganasan, tetapi saya tidak bersetuju tujuan yang baik itu hingga menzalimi orang yang berniat baik.

Sebagai orang awam (layman), apa yang saya faham tentang undang-undang SOSMA, sesiapapun sahaja ditahan, dia pasti dihukum walaupun dia belum dibuktikan bersalah. Ini kerana tidak cukup dengan penderaan secara fizikal, emosi, malahan seksual, yang dilakukan oleh pihak polis dalam tempoh 28 hari siasatan bagi mendapatkan pengakuan, SOSMA turut menafikan hak tahanan untuk diikat jamin, tidak kira apa jua pertuduhan pun yang dikenakan, walaupun yang sekecil-kecilnya, seolah-olah mereka ini kesemuanya dan setiap satunya telahpun dianggap sebagai pengganas yang amat berbahaya!

Di saat saya menulis surat ini, saya belum lagi dibuktikan bersalah di mahkamah, tetapi gara-gara bersedekah RM200, saya telahpun dihukum dengan hukuman penjara selama 1 tahun! Dengan kata lain, saya sudah terpisah daripada isteri dan kesemua 8 orang anak saya sudah 1 tahun lamanya! Isteri dan anak-anak saya sudah hilang kasih sayang dan perlindungan dari saya sudah 1 tahun lamanya! Sedangkan saya tidak mencuri, sebaliknya saya memberi duit saya kerana mahu membantu orang yang saya percaya dia dalam kesusahan dan kesempitan hidup...

Semua orang tahu, perbuatan “mencuri” itu salah. Tetapi siapa yang tahu “bersedekah” juga menjadi satu kesalahan yang hukumannya lebih berat daripada mencuri? Itulah “grey area” (kawasan samar-samar) yang menyebabkan ramai yang terperangkap di bawah undang-undang SOSMA.

Saya tertarik dengan artikel Berita Harian 13 Oktober 2019 berkenaan tangkapan terhadap kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bertajuk “Etnik Tamil di Sri Lanka Dengan LTTE Jauh Berbeza” ( https://www.bharian.com.my/…/etnik-tamil-di-sri-lanka-denga… ). Artikel itu memetik kata-kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, katanya “Saya turut bersimpati dengan nasib etnik Tamil di Sri Lanka, tetapi saya tidak menyokong LTTE. Jangan terkeliru antara nasib etnik Tamil di Sri Lanka dengan kekejaman dan keganasan LTTE”.

Sebagai seorang tahanan dan berpeluang bergaul dengan banyak tahanan SOSMA, saya mahu memberitahu, majoriti yang ditahan di bawah SOSMA ialah orang yang “bersimpati” terhadap nasib orang lain, dan mereka “keliru” antara “simpati terhadap nasib orang lain” dan “menyokong pengganas dan keganasan” sebagaimana digariskan di dalam undang-undang SOSMA.

Ketika saya ditahan di Putrajaya, saya tidak tahu apa kesalahan yang telah saya lakukan. Sepanjang dibawa di dalam van polis sebaik sahaja ditangkap, beberapa kali saya bertanya kepada pegawai polis, “Apa salah saya, tuan?”. Saya benar-benar keliru. Bahkan saya fikir, polis tersilap membuat tangkapan. Sehinggalah penggeledahan dibuat di rumah saya, barulah saya ditanya tentang transaksi pindahan wang dari akaun yang saya buat hampir 20 bulan sebelum saya ditangkap. Barulah saya faham kenapa saya ditangkap.

Setelah merasai betapa peritnya terpenjara dan terpisah dengan isteri dan anak-anak yang amat dahagakan perhatian dan kasih sayang saya, saya pilih untuk dibebaskan secepat mungkin walaupun terpaksa “mengaku bersalah”.

Apa yang saya faham tentang undang-undang SOSMA, sekiranya saya mahu “lawan kes”, jangka waktu paling cepat saya akan bebas ialah 3 tahun lagi! Berdasarkan kes-kes sebelum ini, tahanan SOSMA hanya akan dibebaskan setelah melalui perbicaraan di dalam 3 peringkat mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi (1 hakim), Mahkamah Rayuan (3 hakim), dan Mahkamah Persekutuan (5 hakim). Setelah melalui pengalaman betapa peritnya 1 tahun dipenjara, saya tidak sanggup hadapinya untuk tempoh lagi 3 tahun. Maka setelah berbincang dengan peguam saya, saya pilih untuk “mengaku bersalah” supaya tempoh terpenjara lebih pendek daripada jangkaan lagi 3 tahun itu. 1 tahun penjara sudah cukup perit bagi saya, apatah lagi bila memikirkan kesalahan saya akibat “simpati dan terkeliru” itu.

Maka pada 15 November 2019 (lebih 1 tahun dipenjara), saya akan buat pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Walaupun saya tahu, ia akan meninggalkan rekod buruk terhadap nama baik saya, tetapi kasih sayang dan tanggungjawab saya terhadap isteri dan anak-anak saya jauh lebih penting daripada nama baik itu. Biarlah undang-undang menghukum saya, asalkan saya dapat hentikan air mata isteri dan anak-anak saya setiap kali mereka menziarahi saya di sebalik cermin dan tirai besi di penjara. Saya tahu, mereka benar-benar dahagakan kasih sayang, dan merindui kepulangan saya ke pangkuan mereka.

Mudah-mudahan, hukuman penjara ini dapat menghapuskan kesalahan saya di sisi undang-undang negara, dan juga dosa saya di sisi Tuhan Yang Maha Esa. Dan menjadikan saya orang yang lebih bersabar dan bersyukur. Insya Allah.

Buat sesiapa sahaja yang telah membaca surat saya ini, sila forward kepada ahli keluarga dan kawan-kawan yang terdekat. Saya percaya, lebih ramai golongan yang “bersimpati dan terkeliru” akan terperangkap dengan undang-undang SOSMA sekiranya tidak diberi peringatan dan kesedaran. Mudah-mudahan usaha kecil ini dinilai sebagai amal yang baik di sisi Tuhan dan diberi ganjaran pahala, insya Allah.

Mohd Zulkifli Shafie
29 Oktober 2019, 2:51 pagi
Bilik 27, Wing 2,
Blok Abadi 2,
Penjara Sungai Buloh


Surat dipetik dari FB Isterinya Najdah Mohammed Hussain








............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram Facebook Emel kepada MR Twitter RSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.

2 ulasan:

  1. Undang2 ciptaan manusia..
    memang tak ada keadilannya.

    BalasPadam
  2. Website paling ternama dan paling terpercaya di Asia
    Sistem pelayanan 24 Jam Non-Stop bersama dengan CS Berpengalaman respon tercepat
    Memiliki 8 Jenis game yang sangat digemari oleh seluruh peminat poker / domino
    Link Alternatif :
    arena-domino.net
    arena-domino.org
    100% Memuaskan ^-^

    BalasPadam